Lihat koleksi muzium-muzium pelik di Malaysia dan sekitar Asia

Lihat koleksi muzium-muzium pelik di Malaysia dan sekitar Asia

 

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

Kredit: Unsplash / NeONBRAND

Jangan rasa ketinggalan jika anda masih belum mempunyai rancangan Halloween. Kami ada beberapa cadangan tempat untuk anda mengalami babak-babak luar biasa yang pasti sukar dilupakan. Ini juga mungkin membantu anda untuk mencari inspirasi kostum sekiranya masih belum mempunyai keputusan! 

Jom ketahui selanjutnya: 

1. Penang Ghost Museum, Pulau Pinang  

Kredit: Facebook / Ghost Museum Penang

Jika anda peminat cerita hantu, boleh lah cuba mengunjungi Penang Ghost Museum di George Town untuk melihat pelbagai pameran patung hantu daripada kisah lagenda tempatan seperti pocong, orang minyak, dan pontianak. Yang pasti, lawatan ke sini sememangnya bukan untuk mereka yang lemah semangat! 

Muzium unik ini bukan sahaja mempamerkan patung hantu lagenda Melayu, malah pelbagai replika patung hantu di zon berlainan. Antaranya seperti zon hantu lagenda Cina untuk melihat Jiang Shi, zon Egypt untuk melihat mumia, zon Japan untuk hantu-hantu popular seperti The Ring, Ju-On dan Rokurokubi (hantu leher panjang), zon Zombie, zon Dracula, serta zon khas untuk Halloween. 

 

2. Thai Human Imagery Museum, Nakhon Pathom

Kredit: Facebook / Thai Human Imagery Museum

Thai Human Imagery Museum yang terletak kira-kira sejam dari Bangkok ini merupakan muzium patung lilin pertama di Thailand yang telah dibuka dari tahun 1989. Apa yang membuatkannya unik ialah hasil ukiran raut wajah patung-patung ini yang diperbuat oleh gentian kaca — yang kelihatan terlalu REAL dan mengganggu — seolah-olah mereka hidup! 

Berjalan menerusi lorong gelap di sini, terasa seperti perjalanan anda diekori oleh mata yang memerhati. Walaupun sedikit seram, ia masih wajar dikunjungi bagi anda yang ingin mendalami sejarah dan budaya Thailand, dengan mengenali ahli biarawan terhormat, Raja-Raja dari Dinasti Chakri, serta seniman Thailand yang terkemuka.

 

3. Siriraj Medical Museum, Bangkok

Kredit: Bangkok Museums

Amaran: Pameran di sini agak ngeri. 

Terdapat dua bangunan berbeza di dalam Hospital Siriraj yang menempatkan 6 buah muzium. Yang paling menakutkan? Ellis Pathological Museum, Songkran Niyomse Forensic Medicine Museum, dan Congdon Anatomical Museum. Antara tujuan pameran di sini termasuklah untuk memberi kesedaran terhadap jenayah dan kekejaman manusia, dan ia pasti membuat anda terkesan. 

Bilik patologi di sini menyimpan bayi yang menghidap gangguan genetik dalam bentuk formaldehid. Di Forensic Medicine Museum pula, pamerannya lebih mengerikan dengan badan-badan mangsa kemalangan serta pembunuh, termasuklah mumia badan Si Ouey, pembunuh bersiri yang memakan kanak-kanak semasa 1950-an. Betul ke anda bersedia untuk ke sini? 😱

 

4. Tuol Sleng Genocide Museum, Phnom Penh

Kredit: Facebook / Tuol Sleng Genocide Museum

Kemboja mempunyai sejarah penghapusan bangsa yang sangat menggerunkan semasa rejim penjajahan Khmer Rouge, yang dikatakan rejim paling ganas pada abad ke-20. Di Tuol Sleng Genocide Museum, anda boleh melihat sisi gelap sejarah Kemboja di sebalik empat bangunan utama yang kini mengabadikan sejarah tersebut sebagai tatapan dan memorial bagi mangsa.

Dahulunya popular dengan gelaran Security Prison 21 (S-21), kini muzium ini memberi pengalaman sebenar kepada pengunjung untuk melihat tapak penyeksaan dan pembunuhan semasa penjajahan zalim itu. Anda juga boleh melihat gambar-gambar banduan sebenar yang diambil sebelum dan selepas penyeksaan di sebuah galeri hitam putih, serta gambaran kehidupan di dalam Tuol Sleng yang ngeri melalui lukisan oleh artis tempatan. 

 

5. Muzium Kecantikan, Melaka

Kredit: Expatior

Juga digelar sebagai Museum of Enduring Beauty, koleksi pameran yang luar biasa di sini bertujuan untuk memberi kefahaman tentang pandangan berbeza terhadap kecantikan setiap budaya melalui peredaran zaman. Kunjungan ke sini pasti membuka minda anda tentang persepsi kecantikan bagi setiap manusia. 

Terokai pelbagai jenis budaya kecantikan seperti hiasan tatu di badan, pelebaran bibir dengan meletakkan piring bulat, pemakaian korset, pembantutan pembesaran kaki, dan pelbagai adat kecantikan yang mempunyai pantang larang ekstrem. Walaupun dianggap aneh, ada di antara budaya ini yang masih dipraktikkan hingga ke hari ini.

 

6. Meguro Parasitological Museum, Tokyo

Kredit: Facebook / Meguro Parasitological Museum

Merupakan salah satu tarikan popular di Tokyo, ini merupakan satu-satunya muzium di dunia yang didedikasikan untuk koleksi parasit. Aras bawah muzium ini mempamerkan peta Jepun di mana tempat parasit yang berbeza hidup. Di tingkat atas pula bertumpu terhadap parasit yang menjangkiti manusia, termasuklah gambar-gambar kesan jangkitan yang menggelikan! 

Dalam 45,000 koleksi spesimen parasit yang dipamerkan, mungkin anda tertanya-tanya pameran paling “berharga” yang ada di sini, bukan? Ianya adalah cacing pita berukuran 8.8 meter yang disertakan dengan tali yang sama panjang yang bertekstur mirip cacing tersebut untuk dipegang. (Ewww!

 

7. Sock Culture Museum, Beijing

Kredit: China Daily

Ya, budaya stoking adalah perkara yang serius bagi masyarakat di China. Pameran luar biasa di Sock Culture Museum, Beijing ini meliputi beberapa dewan pameran yang disampaikan melalui 1,000 stoking yang mendidik tentang budaya stoking tempatan, sejarah ciptaan stoking, dan kesusasteraan tentang stoking. 

Bukan calang-calang, muzium interaktif yang terletak di Fangshan ini juga menawarkan kemudahan teknologi seperti kelas bagi pengunjung untuk mempelajari seni membuat stoking. Jika anda berminat dengan etika fesyen stoking dan ingin mempelajari tentang padanan warna, hasil kerja tangan, dan trend stoking di China, inilah tempat yang tepat untuk anda. 

 

8. Sulabh International Museum of Toilets, New Delhi

Kredit: Sulabh Toilet Museum

Pernah terfikir bagaimana rupa tandas dari tahun 2500 sebelum Masihi? Lihat semuanya di Sulabh International Museum of Toilets melalui tiga seksyen berbeza — Ancient, Medieval, dan Modern. Anda boleh melihat tandas dari zaman empayar Rom yang digunakan oleh para maharaja, dengan mangkuk tandas yang diperbuat daripada emas dan perak. 

Sekilas pandang, muzium menarik ini hanya tampil seperti hiburan. Tetapi, ia sebenarnya diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah kesihatan yang benar-benar berlaku di India. Kekurangan sistem pempaipan dan akses tandas moden di sini masih parah, dan telah menyumbang kepada hampir setengah juta kematian kanak-kanak setiap tahun yang disebabkan oleh kekurangan kebersihan seperti pembuangan najis secara terbuka. 

 

9. Joanne Bear Museum, Jeju Island

Kredit: Jeju Tourism Organization

Apalah agaknya rupa karakter Bae Yong Joon dalam filem Winter Sonata sekiranya dia menjadi patung teddy bear, kan? Sekiranya anda mengunjungi Jeju Island, jangan lupa untuk singgah ke muzium comel ini untuk bertemu dengan patung teddy bear karakter popular daripada K-Drama serta tokoh terkemuka dunia seperti Barrack Obama. 

Selain itu, anda boleh bersantai di kafe muzium ini untuk mengopi dan menikmati aiskrim sebelum melihat proses pembuatan teddy bear secara langsung. Di atas bumbung yang terbuka di sini juga, anda dapat menikmati pemandangan semula jadi Jeju yang indah. Kami pasti kunjungan bersama kanak-kanak di sini pasti menggembirakan mereka! 

 

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share