5 makam purba di Asia Tenggara ala filem Tomb Raider

5 makam purba di Asia Tenggara ala filem Tomb Raider

Masih ingat babak dalam filem pertama Tomb Raider, apabila Lara Croft (Angelina Jolie) menjelajah kuil Ta Prohm Angkor Wat yang misteri dengan lumut dan akar-akar pokok yang memenuhi kuil itu?

Sejak filem itu dikeluarkan pada 2001, saya sentiasa teringin untuk melawat Angkor Wat dan menjelajah kuil-kuilnya, dan sama jugalah seperti pengembara berani yang lain, lebih satu juta pelancong melawat kompleks kuil yang sangat besar ini setiap tahun.

Sebuah filem mungkin telah meletakkan Angkor Wat dalam peta dunia, tapi ada banyak lagi makam di sekitar Asia Tenggara yang boleh anda lihat (bukannya menceroboh). Keluarkan aura ‘Tomb Raider’ anda di tempat-tempat purba ini:

Makam Maharaja Khai Dinh Vietnam

Anak tangga yang menghala ke makam.

Terletak berdekatan Kampung Chau Chu 10 kilometer dari Hue, makam yang rumit ini dibina oleh Khai Dinh, yang juga Maharaja Vietnam dari tahun 1916 hingga 1925.

Diukir dalam lereng bukit yang curam di kaki Gunung Chau Chu, penampilan luaran makam ini yang gelap memberikan suasana yang suram. Tapi, ia menyembunyikan jalinan warna mosaik seramik yang berwarna-warni dalam Istana Thien Dinh, yang menjadi tempat terletaknya patung gangsa keemasan maharaja dan kuil berhiasnya.

Patung gangsa Maharaja Khai Dinh diatas takhta dalam kuil berhiasnya.

Ketika zaman pemerintahannya, Maharaja Khai Dinh mempunyai ikatan yang kuat dengan kerajaan Perancis, dan ini mungkin memberi inspirasi kepada rekaan Eropah dalam makamnya, yang direka oleh maharaja itu sebelum kemangkatannya.

Dibuka dari 7.00 pagi – 5.00 petang

Bayaran masuk: VND100,000 (Orang dewasa); VND20,000 (Kanak-kanak berumur 7-12 tahun)

Pulau Perkuburan Camiguin yang Tenggelam Filipina

Anda boleh pergi ke Perkuburan yang Tenggelam dengan menggunakan bot. Sumber: walterericsy / Shutterstock.com

Anda perlu memakai baju renang, kasut pendayung dan topeng snorkeling untuk aktiviti di sini kerana memang telah tenggelam ke bawah lautan.

Terletak di pantai barat laut Pulau Camiguin di Mindanao Utara, kisahnya bermula pada 1870-an, apabila Gunung Vulcan meletus dan menenggelamkan ibu kota Catarman dan tanah perkuburannya. Kini, hanya terdapat tanda salib yang besar untuk menandakan lokasi tanah perkuburan lama itu.

Anda boleh menaiki bot ke Large Cross dan membuat aktiviti snorkeling di kawasan tersebut untuk melihat aktiviti marin yang telah menawan perkuburan itu dengan batu karang yang berwarna terang.

Large Cross ketika senja.

Waktu yang paling baik untuk melakukan aktiviti snorkeling adalah sama ada pada awal pagi atau sebelum matahari terbenam. Atau jika anda tidak mahu basah, anda boleh duduk di atas pulau sambil melihat pemandangan laut yang biru.

Bayaran masuk: Untuk menaiki bot ke Large Cross, anda perlu membayar PHP20 – PHP50, tapi jika anda mahu melakukan aktiviti snorkeling, terdapat kos tambahan untuk peralatan snorkeling, bayaran alam sekitar.

Makam Mahsuri Malaysia

Makam Mahsuri, dengan batu tanda yang menceritakan legenda. Sumber: Tooykrub / Shutterstock.com

Legenda masyur di sebalik nama Mahsuri bukanlah sesuatu yang mengembirakan malah tragis sekali. Makam ini dipercayai menjadi tempat persemadian Mahsuri, seorang wanita muda yang dicemburui para wanita kerana kecantikkannya. Apabila suami Mahsuri pergi meninggalkannya untuk berperang, Mahsuri dituduh mencurangi suaminya.

Walaupun Mahsuri seorang yang suci, orang-orang tua kampung percaya beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman mati dengan menikamnya. Mahsuri diikat pada batang pokok, namun ketika terkena tikaman pisau, darahnya bertukar menjadi putih – membuktikan kesuciannya.

Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Mahsuri telah menyumpah nasib malang pada pulau itu hingga tujuh keturunan, dan dikatakan Langkawi hanya makmur selepas tempoh sumpahan itu tamat.

Replika rumah Mahsuri. Sumber: Shahrin Md Ayob / Shutterstock.com

Kini, makamnya telah menjadi tempat bersejarah dan kompleks budaya, yang membolehkan pelawat mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Langkawi dan warisan tempatan.

Dibuka pada 8.00 pagi hingga 6.00 petang

Bayaran masuk: RM5 (Dewasa), RM2.50 (Kanak-kanak bawah 12 tahun) untuk rakyat Malaysia dengan I/C yang sah; RM10 (Dewasa), RM5 (Kanak-kanak bawah 12 tahun) untuk warga asing.

Makam Diraja Wat Phra Si Sanphet Thailand

Tiga chedis ikonik Wat Phra Si Sanphet.

Dibina lewat kurun ke-15, Wat Phra Si Sanphet adalah kuil paling suci di Istana Diraja lama di ibu kota purba Ayutthaya, Thailand. Dan dianggap sebagai ibu negara sebelum kemusnahan Ayutthaya kerana diserang oleh Burma.

Apa yang tersisa di bandar ini kin terdiri daripada Taman Sejarah Ayutthaya, sebuah tapak warisan dunia UNESCO.

Tinggalan patung di kuil Wat Phra Si Sanphet.

Kuil itu pernah menjadi kuil keluarga diraja dan hanya digunakan untuk upacara diraja. Tiga chedis ikonik yang berbentuk loceng hanyalah bangunan yang telah dibaik pulih sepenuhnya. Chedis-chedis itu juga menjadi tempat tiga raja disemadikan.

Terletak di utara Bangkok di wilayah Ayutthaya, untuk sampai di runtuhan ini, anda perlu memandu sejauh 90 minit dari ibu kota. Tetapi ia perjalanan yang berbaloi, kerana anda boleh memanjat tangga kuil untuk melihat pemandangan yang tidak dapat dilupakan bandar tinggalan bersejarah ini.

Dibuka dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang

Bayaran masuk: THB50

Makam Diraja Gunung Kawi Indonesia

Keramat diraja di Gunung Kawi.

Tersembunyi dalam lembah yang penuh kehijauan, Gunung Kawi ialah kuil kurun ke-11 dan kompleks pemakaman di Tampaksiring berdekatan Ubud, Bali. Ia terdiri daripada 10 keramat yang diukir pada batu dalam ceruk-ceruk yang tersembunyi pada lereng, yang selari dengan kedua-dua belah Sungai Pakerisan.

Keramat yang setinggi 8 meter itu sememangnya sesuatu yang mengagumkan. Setiap satunya dipercayai dibina untuk Raja Anak Wungsu dari dinasti Udayana dan keluarganya.

Monumen pada sebelah timur adalah untuk raja, permaisuri dan ketiga-tiga anak lelakinya, sementara keramat di sebelah barat dipercayai untuk gundik-gundik diraja.

Kompleks arkeologi ini diukir pada batu  dan telah wujud sejak kurun ke-11.

Sila ambil perhatian bahawa pelawat mesti mengikut kod berpakaian dengan menutup lutut dan buku lali, serta bahu dan bahagian perut. Sarung disediakan di pintu masuk jika anda memerlukannya.

Dibuka dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang

Bayaran masuk: IDR15,000

Anda mungkin tidak ada jet peribadi untuk membawa anda ke seluruh dunia seperti Lara Croft, tetapi jangan risau – tempah dengan Traveloka untuk pengembaraan anda seterusnya, dan kami akan bawa anda ke sana. Lihat www.traveloka.com untuk tawaran hebat!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share