Tarikan Popular

10 tips untuk keseronokan maksimum di KidZania Kuala Lumpur

Cuti sekolah dah tiba! Maksudnya, waktu lapang anak-anak anda perlu diisikan dengan baik. Jika anda masih belum mempunyai rancangan, kami cadangkan anda melawat KidZania KL. Tidak seperti taman tema yang lain, KidZania merupakan taman tema didik hibur interaktif yang pertama dan satu-satunya di Malaysia. Di sini, kanak-kanak dan remaja berumur empat hingga 14 tahun dapat mengalami alam pekerjaan sebenar melalui pelbagai tarikan dan aktiviti.

Anak anda bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang, doktor, ataupun anggota bomba? Di KidZania KL, mereka boleh memadamkan kebakaran, melakukan pembedahan, malah memandu kapal terbang. Nikmati hari yang penuh keseronokan bersama anak-anak anda dengan mengikuti cara-cara ini:

1. Tempah tiket dan tiba lebih awal

Kredit: Azirull Amin Aripin/Shutterstock

KidZania merupakan tempat tarikan keluarga yang sangat popular dan ia juga sering dikunjungi oleh rombongan sekolah. Kami cadangkan anda menempah tiket secara atas talian untuk mengelak beratur panjang. Walaupun taman tema ini dibuka pada jam 10 pagi, anda dinasihatkan supaya tiba lebih awal demi keselesaan anda untuk mencuba 60 tarikan dan lebih daripada 100 aktiviti di sini. Mudah untuk daftar masuk – hanya perlu imbas ‘pas berlepas’ anda untuk masuk!

2. Kumpul mata wang kidZos

Kredit: AzmanMD/Shutterstock

KidZos ialah mata wang rasmi di KidZania. Anak anda akan mendapat kidZos setelah selesai ‘bekerja’ dan akan menggunakannya untuk membeli pelbagai servis dan barangan. Cara ini sangat sesuai untuk mendidik mereka tentang kewangan, menerap nilai berdikari dan memberi tanggungjawab untuk menjaga ‘wang’ mereka sendiri. Setelah mendaftar masuk, kanak-kanak boleh menukar cek kidZos kepada wang tunai di ‘bank’ dan dapatkan 50 kidZos untuk dibelanjakan.

Dari sini, pemegang tiket KidZania akan memulakan aktiviti tanpa ibu bapa (untuk meningkatkan keyakinan dan lebih berdikari). Sekiranya mereka memerlukan pertolongan, petugas KidZania bersedia untuk membantu. Anda pula? Rehat dan nikmati masa lapang yang ada dengan sepuasnya!

3. Dapatkan peta

Kredit: KidZania Kuala Lumpur/Facebook

Sebelum anak anda memulakan aktiviti, pergi ke Kaunter Informasi KidZania untuk mendapatkan peta sebagai pandu arah di taman tema dua tingkat ini. Peta ini juga akan membantu perancangan masa anda untuk melawat tarikan terkenal seperti The Pilot, Flight Attendants dan Fire Fighter. Waktu beratur bagi setiap tarikan ini boleh mencecah sehingga 60 minit, jadi kami cadangkan anak anda untuk melakukan ‘pekerjaan’ yang lebih popular dahulu.

4. Cuba pekerjaan yang tidak perlu menunggu lama dalam barisan 

Kredit: KidZania Kuala Lumpur/Facebook

Sementara menunggu waktu beratur untuk ‘pekerjaan’ yang lebih popular, gunakan masa anda di KidZania dengan sebaik mungkin dan sertai aktiviti-aktiviti untuk mendapatkan kidZos. Anak-anak anda perlu membelanjakan kidZos untuk aktiviti seperti Mengecat Muka, Membuat Barang Kemas dan Mengecat Studio. Untuk mendapatkan lebih banyak kidZos, mereka boleh mencuba pekerjaan yang lebih menguntungkan seperti Doktor Pergigian.

Tip Pro: Cuba ‘pekerjaan’ di tingkat atas taman tema tersebut dahulu kerana barisannya lebih pendek.   

5. Masak makanan tengah hari anda sendiri

Kredit: KidZania Kuala Lumpur/Facebook

Anak anda suka makan? Setibanya waktu makan tengah hari, mereka boleh menyertai salah satu daripada tiga ‘pekerjaan’ membuat makanan. Pilih daripada: memasak menggunakan resipi yang sihat di Mission, belajar cara membuat burger McDonald’s sendiri, atau membuat coklat di Chocolate Factory. Sementara menunggu anak-anak anda selesai bermain, anda juga boleh menjamu selera di beberapa tempat ataupun menikmati secawan kopi di ruang istirahat ibu bapa yang terletak di tingkat dua.

6. Beri peluang untuk anak anda bereksperimen

Kredit: KidZania Kuala Lumpur/Facebook

Kepada para ibu yang tegas, sila berikan laluan. Inilah masanya untuk biarkan anak-anak anda melakukan apa yang mereka mahukan! Kadang-kadang pilihan kerjaya mereka mungkin agak pelik, tetapi biarkan saja. Contohnya, di tarikan Junior Slipper Maker, kanak-kanak boleh belajar cara untuk membuat sepasang selipar dan menghasilkan rekaan mereka sendiri! Tak rugi untuk mereka belajar sesuatu kemahiran yang baru, kan?

7. Biar mereka mencuba pekerjaan ANDA!

Kredit: KidZania Kuala Lumpur/Facebook

Sekiranya anda merupakan ibu bapa yang bekerja, mungkin anda ingin melihat anak anda mencuba pekerjaan anda. Terdapat beberapa kebaikannya, seperti: mereka dapat merasa apa yang anda lakukan setiap hari dan dengan kefahaman ini, mungkin juga mereka akan lebih memahami anda (serta kepayahan kerja anda) setelah mencubanya sendiri. Anda juga boleh membiarkan mereka mencuba apa yang pernah menjadi kerjaya impian anda, seperti ejen rahsia atau penjual susu!

8. Bawa seorang rakan bersama

Kredit: KidZania Kuala Lumpur/Facebook

Pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, barisan menunggu biasanya lebih panjang. Jadi, lebih baik sekiranya anda membawa bersama rakan baik anak anda (ataupun rakan anda sendiri) untuk meluangkan masa. Ada kanak-kanak yang mungkin memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dan bersosial, tetapi mereka akan lebih selesa sekiranya terdapat orang yang dikenali. Anda akan mempunyai banyak masa sementara menunggu anak-anak anda habis ‘bekerja’ dan inilah waktu yang sesuai untuk mengajak rakan baik anda berjumpa dan mengopi bersama.

9. Pakai kasut yang selesa

Kredit: KidZania Kuala Lumpur/Facebook

Anak anda akan banyak berjalan di sini. Jadi, kasut yang sesuai adalah yang selesa dan bertutup. Kerana terdapat beberapa pekerjaan seperti The Climber yang memerlukan ‘pekerja’ mereka untuk memanjat muka bangunan sambil mempelajari tentang keberanian dan keselamatan.  

10. Beri ganjaran kepada anak anda

Kredit: Everything You Need/Shutterstock

Selepas seharian suntuk ‘bekerja’, masa untuk memberikan anak anda ganjaran dengan hidangan lazat yang boleh didapati di Pusat Membeli Belah The Curve yang terletak hanya bersebelahan. Daripada restoran sushi hinggalah pasta Itali dan kek, terdapat pelbagai jenis restoran murah dan sederhana untuk dipilih mengikut citarasa anda dan anak anda. Apa-apa pun, mereka memang layak menerima ganjaran!

KidZania

Curve NX, No. 18, Jalan PJU7/5, Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: 10.00 pagi – 5.00 petang (Setiap hari)

_______

Bersedia untuk memulakan pengembaraan anda? Tempah tiket KidZania anda di sini dan dapatkan promosi hebat!

 

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

35 Shares
Share35
Tweet
+1
Pin
Share