Tarikan Popular

Jelajah Asia Tenggara: Pengalaman magis yang tiada tandingan di Indochina

Apa sebenarnya Indochina?

Indochina adalah istilah yang diberikan bagi lima buah negara iaitu Thailand, Vietnam, Cambodia, Myanmar, dan Laos. Pada tahun 1804, Conrad Malte-Brun, seorang ahli geografi berbangsa Danish-French menggunakan istilah indochinois untuk menamakan kumpulan negara-negara yang mempunyai pengaruh budaya India dan China di Asia Tenggara.

Destinasi paling popular dalam Indochina adalah Thailand dan Vietnam. Tapi tak ramai yang menjelajah ke Laos, Kemboja, dan Myanmar walaupun negara-negara ini antara negara pilihan bagi penjelajah tegar.

Jadi, apa yang menarik tentang tiga negara yang kurang disebut orang ini?

LAOS

Negara ini tiada kawasan yang berdekatan dengan laut. Malah lebuh raya pun tiada. Keistimewaan Laos terletak pada keindahan sungai dan air terjun yang memukau.

Sungai Namsong, Vangvieng

Sumber: Shutterstock.com / Khongtham

Dahulunya, Vangvieng begitu terkenal di kalangan backpacker Barat dan pernah dicemari dengan aktiviti yang kurang baik. Namun, selepas pembersihan besar-besaran dilakukan oleh kerajaan Laos, pekan Vangvieng kembali aman dan indah. Kini, ramai warga Korea menetap di sini dan membuka perniagaan. Aktiviti paling popular di sini ialah tubing di Sungai Namsong yang berarus tenang selama dua jam sambil menikmati keindahan alam.

Blue Lagoon dan Gua Tham Phu Kham, Vangvieng

Sumber: Shutterstock.com / Romeo Pj

Hanya 7 km dari pekan Vangvieng, dan boleh dikunjungi dengan menaiki tuk-tuk ataupun menyewa basikal mountain bike di pekan. Untuk sampai ke pintu masuk ke gua Tham Phu Kam, anda perlu mendaki sejauh 200 meter dan agak curam di sesetengah tempat. Jangan risau, ada pemegang untuk berpaut disediakan. Blue Lagoon pula terletak di bawah trek untuk ke gua ini. Airnya yang benar-benar biru jernih dan dingin menjadikan perjalanan ke sini begitu berbaloi.

Sumber: Shutterstock.com

Air Terjun Kuang Si, Luangprabang

Sumber: Shutterstock.com

Luangprabang terletak kira-kira 300 km dari ibu negara Laos, Vientiane, dan diisytiharkan sebagai salah satu pekan warisan dunia oleh UNESCO. Air terjun Kuang Si yang tersembunyi di sebalik hutan tebal di daerah ini mengalir ke tiga kolam semula jadi bertingkat dan menghasilkan ilusi air berwarna biru kehijauan. Batu-batu kapur serta pepohon rimbun yang menapis cahaya matahari menjadikan kawasan air terjun ini seperti sebuah hutan magis dalam kisah dongeng pari-pari.

KEMBOJA

Mengunjungi negara ini terasa seperti mengembara dengan mesin masa ke zaman lampau. Apatah lagi apabila melihat sejarah purba di Angkor Wat dan mendekati serta mengenali penempatan rakyat miskin di Kampong Cham dan Kampong Phluk. 

Kampong Phluk, Siem Reap

Sumber: Shutterstock.com

Sebuah perkampungan air yang terletak di Tasik Tonle Sap iaitu tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara. Tasik Tonle Sap terbentuk daripada sungai Tonle Sap yang bersambung dengan Sungai Mekong, sungai ketujuh terpanjang di Asia. Pelancong boleh menelusuri perkampungan air ini dengan menaiki bot penduduk kampung yang mempunyai bot untuk pelancong. Namun, apabila musim kemarau, Tasik Tonle Sap akan menjadi kering kontang dan tiada apa-apa aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan.

Angkor Thom, Siem Reap

Sumber: Shutterstock.com

Kunjungan ke Siem Reap tidak sah tanpa melihat monumen keagamaan purba terbesar di dunia iaitu Angkor Wat di dalam kompleks Angkor Thom. Monumen ini asalnya dibina pada awal abad ke-12 sebagai rumah ibadat agama Hindu. Namun pada penghujung abad yang sama, sedikit demi sedikit Angkor Wat bertukar menjadi kuil penganut Buddha. Selain 7 Keajaiban Dunia Purba itu, Angkor Thom juga ada beberapa kuil purba lain iaitu Bayon dan Ta Phrom yang lebih dikenali sebagai ‘Tomb Raider Temple’ kerana penggambaran filem Tomb Raider yang pernah dilakukan di sana.

MYANMAR

Negara yang paling hujung dalam kumpulan Indochina ini bersempadan dengan China, India, dan Bangladesh. Jadi tak hairanlah apabila ada seni bina bangunan serta wajah dan kulit rakyatnya seakan-akan campuran bangsa negara-negara jiran mereka itu.

Tasik Inle, Shan State

Sumber: Shutterstock.com

Tasik air tawar di daerah Taunggyi ini berkeluasan 116 km persegi. Tasik kedua terbesar di Myanmar yang menjadi tumpuan pelancong bukan sahaja disebabkan pemandangan indah di kawasan pergunungan, tetapi aksi menarik para nelayan yang menggunakan bubu khas untuk menangkap ikan. Waktu terbaik untuk ke Tasik Inle ialah pada bulan September dan Oktober, di mana perayaan Hpaung Daw U diadakan selama tiga minggu setiap tahun diikuti oleh pesta cahaya Thadingyut.

Wilayah Mandalay

Sumber: Shutterstock.com

Mandalay adalah ibu kota pemerintahan diraja terakhir Myanmar dari Dinasti Konbaung sebelum dijajah oleh British pada tahun 1885. Terletak di bahagian timur Sungai Irrawaddy, daerah ini masih mengekalkan bangunan istana lama iaitu Royal Palace dan Istana Emas Myanan San Kyaw, juga kuil-kuil Buddha seperti Maha Myat Muni Paya yang dikatakan sebagai pusat ibadah kedua paling suci di Myanmar. Cara paling murah untuk meneroka Mandalay ialah sama ada menyewa basikal ataupun beca.

Bagan, Mandalay

Tak ramai tahu yang di Asia Tenggara juga ada belon udara panas seperti di Kapadokya, Turki. Di Bagan yang merupakan ibu kota pertama dinasti Pagan, pemandangan menakjubkan kota purba yang dibina oleh Maharaja Anawrahta pada tahun 1044 boleh dinikmati dari udara. Hari ini, lebih 2000 kuil dan stupa Buddha dengan seni bina unik dapat dilawati di kawasan seluas 42 km persegi, dan menjadi tarikan baru yang dianggap sebagai pesaing kepada Angkor Wat di Kemboja.

Negara-negara dunia ketiga ini adalah destinasi pengembaraan terbaik untuk mereka yang mencari kelainan, terutama dari sudut gaya hidup serta teknologi yang jauh ketinggalan berbanding negara-negara Eropah dan Asia Timur. Walau bagaimanapun, keistimewaan Indochina tiada tandingan dan pasti menjadi antara pengalaman paling mahal dan berharga bagi setiap pengembara yang mengunjunginya.

 

73 Shares
Share73
Tweet
+1
Pin
Share