Tarikan Popular

Destinasi cinta: Pulau-pulau paling mempesona di Indonesia

Indonesia, negara dengan 17,000 buah pulau, ialah negara dengan kepulauan terbesar di dunia. Berjuta-juta pelancong mengunjungi pulau-pulau ini saban tahun, yang mempunyai keunikan tersendiri.

Banyak pulau-pulau ini ialah rumah kepada kisah mitos dan rakyat. Dengar seperti aneh, tapi apabila orang tempatan berkongsi cerita rakyat mereka, pasti saya akan pasang telinga, dan bayangkan jalan cerita yang saya dengar.

Jika anda perasan, kebanyakan kisah legenda pasti berkait dengan cinta. Ini antara destinasi-destinasi kegemaran saya:

Pulau Seribu

Suasana matahari terbenam di Pulau Seribu.

Pulau-pulau ini mungkin agak asing bagi sesetengah orang tapi kalau anda berada di Jakarta dan mahu bercuti ke destinasi yang dekat atau lari seketika dari hiruk-pikuk bandar, datanglah ke sini. Gugusan 108 pulau dan pulau kecik ini terletak lebih kurang 45 km ke utara Jakarta, namun hanya sebahagian saja yang boleh dilawati.

Pulau yang terdekat dengan pantai ialah Pulau Bidadari. Pulau ini dilengkapi dengan kotej yang boleh disewa untuk anda bermalas-malasan di sekitar pantai dengan air biru jernih. Menurut penduduk tempatan, pulau tersebut mempunyai pokok yang dikenali sebagai “Pohon Jodoh” atau “Pohon Soulmate”. Dan dipercayai bahawa pasangan yang mengambil gambar dibawahnya akan kekal bersama selama-lamanya.

Pulau Tidung memiliki Jambatan Cinta. Jambatan logam dengan 800 meter panjang itu menghubungkan Pulau Idung Besar dengan Pulau Idung Kecil. Legenda mengatakan anda mungkin akan terjumpa cinta sejati anda di atas jambatan ini.

Bali

Tanah Lot yang popular di Bali untuk pengujung melihat matahari terbenam.

Pulau yang popular di Indonesia ini sebenarnya ada banyak nama lain yang menarik, seperti “Pulau dengan Ribuan Kuil” dan “Pulau Dewa-Dewa”. Terkenal kerana pantai-pantainya yang cantik dan kuil bersejarah, ada juga yang mengatakan pulau-pulau ini seakan ada magis tersendiri yang orang jatuh cinta.

Memandangkan pulau ini adalah destinasi berbulan madu sesuai untuk pasangan yang baru berkahwin, salah satu mitos tentang pulau ini adalah, pasangan yang melawat Bali sebelum berkahwin akan berpisah. Tapi hanya kalau pasangan itu pergi ke Tanah Lot, kuil paling ikonik di sana. Kalau anda tidak percaya hal yang karut-marut, jangan ragu-ragu untuk ke Tanah Lot!

Lombok

Duduk dibuaian yang boleh ditemui di kawasan pantai di Gili Trawangan.

Kalau-kalau Bali bukan tempat pilihan anda untuk berkasih sayang, Lombok mungkin alternatif pulau cinta untuk anda.

Tidak jauh dari pantai barat laut Pulau Lombok adalah Kepulauan Gili yang mempersona, yang terdiri daripada Gili Air, Gili Meno, dan Gili Trawangan.

Pantai barat Gili Trawangan menyediakan buaian unik yang dibina dekat dengan air. Jadi jika air laut pasang, buaian itu kelihatan terapung di atas air dan pemandangannya cukup indah ketika matahari terbenam mempamerkan cahaya berwarna merah, jingga, merah jambu dan ungu tersebar di langit dan memantulkan cahaya berwarna-warni di atas permukaan air.

Kami percaya, anda akan jatuh cinta dengan suasana ini!

Pulau Cinta

Pulau Cinta terletak di tengah-tengah Tasik Patenggang, berdekatan Bandung.

Terletak di antara gunung berapi yang masih aktif dan hutan hijau, Bandung adalah seperti nafas yang segar. Ini disebabkan oleh iklim kawasannya yang sejuk.

Tasik Patenggang terletak di selatan bandar ini dengan kira-kira 2 jam pemanduan. Juga dikenali sebagai Situ Patengan, tasik ini menawarkan pemandangan panorama tasik yang tenang dan ladang teh yang terbentang luas.

Di tengah-tengah tasik adalah apa yang dikenali sebagai Pulau Cinta. Legenda menceritakan seorang Putera Putra Prabu dari abad ke-15 Jawa Barat dan Putri Titisan Dewi bertemu di pulau berbentuk jantung setelah dipisahkan selama bertahun-tahun kerana perbezaan kepercayaan mereka.

Seronok tak baca kisah-kisah cinta ini? Jika anda sedang dalam mood cinta, jom lihat promosi kami dan terbang ke sana bersama yang tersayang!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

238 Shares
Share238
Tweet
+1
Pin
Share