Tarikan Popular

7 aktiviti menarik di bulan Ramadan tanpa melibatkan makanan

Bila Ramadan tiba, masa seakan-akan sangat perlahan. Ini kerana sebahagian besar umat Islam akan lebih fokus bagi menguatkan rohani dan menambahkan amal jariah.

Di bulan puasa, bila anda sedang melancong, ini bukan bermakna yang anda tidak boleh langsung untuk berhibur.

Ya, ada banyak perkara yang boleh diisi di siang hari pada bulan puasa ini — termasuklah aktiviti yang tidak melibatkan makanan atau minuman serta aktiviti yang mengeluarkan tenaga.

Di sini kami berikan contoh beberapa aktiviti menarik buat anda bagi mengisi masa di siang hari:

1. Luangkan masa anda dengan permainan papan

Ajak rakan-rakan anda ke kafe permainan yang terdekat dan lepak sambil bermain permainan papan (board game). Di sini, anda boleh bermain pelbagai jenis permainan papan daripada yang klasik, hinggalah permainan yang lucu atau permainan yang menguji minda dan ilmu anda.

Aktiviti ini sudah cukup untuk menghidupkan suasana dengan gelak tawa bersama walaupun tanpa makanan atau minuman 😉

Lihat: Jelly Jelly Cafe di Tokyo, Jepun; Isu Boardgame Cafe di Seoul, Korea Selatan.

2.  Cuci mata dengan perhiasan diri di bazar murah

Bazar yang hip dan berseni sudah menjadi satu kegilaan sekarang ini, dan bazar ini sebenarnya dekat saja dengan anda.

Lawat dan terokai setiap gerai yang menjual perhiasan-perhiasan buatan tangan, sabun buatan sendiri, pakaian rekaan sendiri dan banyak lagi!

Lihat: Queen Victoria Market di Melbourne, Australia; Artbox Market di Bangkok, Thailand.

3.  Lawat muzium aneh

Sejujurnya, bila kali terakhir anda masuk ke muzium? Mungkin anda terbayangkan waktu zaman sekolah ketika muzium kelihatan sangat membosankan, malah dipenuhi dengan artifak dan barang-barang lama yang berhabuk.

Tapi itu dulu. Sekarang, muzium-muzium lebih terperinci dan mempunyai tema seperti lucu, seram dan ada juga yang dipenuhi dengan artifak terpakai yang kerap digunakan untuk hal perisikan, atau ada juga yang dipenuhi dengan barangan seni yang buruk.

Ya lah! Macam mana pun, muzium sekarang sudah ada penghawa dingin yang selesa dan tambahan pula anda dapat belajar perkara baru dari perspektif yang berbeza.

Lihat: Teddy Bear Museum di Jeju, Korea Selatan; Ghibli Museum di Mitaka, Jepun.

4.  Baca buku di kedai buku terpakai

Anda ulat buku? Jika anda inginkan sesuatu yang berlainan daripada labirin buku yang diterangi cahaya lampu yang menyakitkan mata, atau dalam bahasa mudahnya, kedai buku mahal, jadi lebih baik anda luangkan masa di kedai buku terpakai saja.

Kerana di situ, beserta aroma buku-buku lama, dengan perasaan yang nostalgik dan santai anda boleh mencari ratusan atau ribuan buku yang tak pernah anda ketahui, dan mungkin juga buku lama yang pernah anda idamkan.

Lihat: Sultana Book Store di Singapura; Jimbocho (juga dikenali sebagai Bandar Buku) di Tokyo, Jepun.

5.  Tambah pengetahuan budaya anda di galeri seni

Semua orang layak menghargai seni yang bagus. Tak kisah sama ada karya klasik mahupun karya moden kontemporari.

Tataplah karya-karya oleh seniman-seniman yang meluahkan jiwa raga mereka ke dalam pelbagai jenis bentuk karya seni, daripada karya lukisan kepada arca hinggalah instalasi seni.

Kami yakin, anda mungkin akan keluar dari galeri dengan karya agung mana-mana seniman untuk dihiaskan di rumah anda.

Lihat: M50 Art District di Shanghai, China; Serindia Gallery di Bangkok, Thailand.

6.  Berhibur di taman tema

Kami tahu apa yang anda sedang fikirkan: “Taman tema? Dengan cuaca yang macam ni?”

Percayalah, ada banyak taman tema yang tak memerlukan anda meluang masa di bawah cuaca panas terik. Andai anda mahu sejukkan badan dan bermain dengan air, lawatilah taman tema air.

Malah, bukankah tamparan angin ke muka ketika menaiki roller coaster juga boleh menyejukkan badan anda?

Lihat: Lost World od Tambun di Ipoh, Malaysia; Manilla Ocean Park di Manila, Filipina.

7.  Biarkan diri anda terpukau dengan menonton teater

Tahukah anda boleh menonton produksi teater Broadway atau West End tanpa perlu melancong ke New York atau London?

Atau lebih menarik, adakah anda pernah menyaksikan produksi teater tempatan?

Apa-apa pun, boleh saja anda luangkan masa anda dengan menonton teater di waktu siang kerana harga teater di waktu siang lebih murah berbanding malam.

Lihat: Performing Arts Centre of Penang (PenangPAC) di Pulau Pinang, Malaysia; Theatres on the Bay di The Esplanade, Singapura.

 

Diterjemahkan oleh: Zack Muhammad

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share