5 Taman Tema di Asia yang Patut Dikunjungi

Gula-gula kapas, popcorn hangat, rasa teruja sebelum menaiki roller coaster, dan gelak tawa kanak-kanak riang – siapa yang tak suka berada seharian di taman tema, kan?

Nasib baiklah, Malaysia berdekatan dengan taman tema menarik untuk merancang percutian spontan. Di sini, kami senaraikan taman tema di Asia yang menarik untuk kanak-kanak (dan orang dewasa yang gemar bersuka ria)!

Universal Studios, Singapura

universal studio singapore
Sumber: kikujungboy / Shutterstock.com

USS tidak perlu diperkenalkan lagi; taman tema ini cukup menarik minat sejak ia membuka pintunya kepada orang ramai! Terletak di Resort World Sentosa, ia menampilkan roller coaster, hiburan dan tarikan buat semua peringkat umur. Taman tema ini juga diiktiraf sebagai taman tema yang wajib dikunjungi di Asia!

Dibahagikan kepada 7 zon bertemakan filem, anda akan dapat berjalan sambil menikmati pemandangan Hollywood Walk of Fame, menjelajah Bandar New York, malah merasa sendiri efek istimewa yang dihasilkan oleh Steven Spielberg! Dan sudah tentu, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman TRANSFORMERS The Ride: The Ultimate 3D Battle Ride di Bandar Sci-Fi.

Bagi kanak-kanak pula, Shrek 4D Adventure di Far Far Away menjanjikan keriangan seperti yang berada di dalam filem itu sendiri. Setelah penat bersuka ria, taman tema ini menyediakan ruang makan yang bertema di sepanjang USS.

Tip penting: Harga tiket untuk sehari bagi orang dewasa ialah RM200+ sementara kanak-kanak ialah RM170+. Untuk membeli tiket USS, anda boleh mengunjungi laman web rasmi USS. Di laman tersebut, anda juga boleh mengetahui pelbagai info penting seperti waktu operasi USS, waktu perarakan, waktu persembahan, pertunjukan bunga api, malah permainan yang ditutup sementara (bagi mengelakkan anda kecewa apabila tiba di USS!).

Disneyland, Tokyo

disneyland tokyo
Sumber: Shutterstock.com

Disneyland ialah taman tema yang dapat mengimbau kembali memori zaman kanak-kanak dengan istana Cinderella yang tersergam indah di dalamnya. Taman tema Disney pertama yang dibuka di Asia ialah Tokyo Disneyland. Mengikut model Disneyland asal, ia mempunyai beberapa zon bertema seperti Tomorrowland, Toontown, Fantasyland, Critter Country, Westernland, Adventureland dan World Bazaar.

Disney menyediakan dua jenis taman tema iaitu Disneyland dan Disneysea (kedua-duanya ada tarikan yang berbeza mengikut pilihan anda). Jika anda ada bajet lebih, beli pas 2-hari untuk melawat kedua-dua taman tema yang pasti menyeronokkan ini!

Tip penting: Pastikan anda menunggu sehingga malam untuk melihat persembahan lampu laser – Once Upon a Time yang dipancarkan pada istana Cinderella, dengan runut bunyi dari filem-filem asal Disney (rugi kalau tak tengok!). Lihat senarai waktu persembahan di Disneyland Tokyo pada laman web rasmi yang tersedia dalam bahasa Inggeris.

Enchanted Kingdom, Filipina

Enchanted Kingdom
Sumber: walterericsy / Shutterstock.com

Enchanted Kingdom atau dikenali sebagai EK oleh orang tempatan, ialah tempat segala magis terjadi. Ditubuhkan oleh peminat taman tema, Mario dan Cynthia Mamon, taman tema ini ialah satu-satunya taman tema berkelas dunia di Filipina, dengan tarikan yang unik.

EK mempunyai tujuh zon bertemakan Victoria Park, Boulderville, Midway Boardwalk, Portobello, Brooklyn Place, Jungle Outpost, dan Spaceport. Zon-zon ini juga memiliki restoran dan outlet barangan serta permainan tersendiri.

Bagi penggemar permainan yang mendebarkan, jangan lepaskan peluang untuk mencuba sendiri roller coaster terkenal di EK – Space Shuttle. Dengan hiburan yang berterusan dan permainan yang tidak kurang hebatnya, EK menjanjikan kepuasan bagi semua.

Tip penting: Harga tiket bagi orang dewasa ialah RM70-80+ sementara kanak-kanak ialah RM40-50+. Jika anda sukakan pertunjukan bunga api, EK menyediakan pertunjukan ini pada hujung minggu dan cuti umum.

Sunway Lagoon, Malaysia

Sunway Lagoon
Sumber: hkhtt hj / Shutterstock.com

Gemar aktiviti air dan mesra keluarga? Taman tema air terkenal di Malaysia ini, Sunway Lagoon, dibina 150 kaki di bawah permukaan tanah di atas tanah terbiar perlombongan timah, seluas 88 ekar, taman tema ini menawarkan banyak tarikan yang juga tidak melibatkan air.

Sunway Lagoon mempunyai lima zon: Water Park (Waters of Africa, tempat para peluncur air boleh menunjukkan bakat meluncur mereka), Scream Park (untuk yang berani saja!), Amusement Park, Wildlife Park dan Extreme Park.

Tarikan popular lain seperti Congo Challenge – gelongsor air enam-lorong, dan African Python, gelung air yang begitu mendebarkan dan menyeronokkan.

Tip penting: Harga tiket bagi orang dewasa ialah RM170 sementara kanak-kanak ialah RM140. Pastikan anda memeriksa jadual persembahan jalanan di Sunway Lagoon yang menampilkan karakter kartun popular seperti Sponge Bob Squarepants, Teenage Mutant Ninja Turtle, Dora & Boots, dan banyak lagi.

Untuk berehat, jalan-jalan sambil membeli belah di Sunway Pyramid Shopping Centre yang terletak bersebelahan Sunway Lagoon atau tempah hotel yang berdekatan saja!

Everland, Korea Selatan

Everland, South Korea
Sumber: Everything / Shutterstock.com

Keseronokan tanpa henti tentunya ada di Korea Selatan. Korea menempatkan Everland, taman tema yang paling banyak dikunjungi. Menerima tidak kurang daripada 7 juta pengunjung setahun, Everland ialah taman tema yang patut dikunjungi oleh peminat.

Everland meliputi 247 ekar kawasan berbukit yang luas. Taman tema yang besar ini dilengkapi dengan gondola Sky Cruise dan Skyway chairlift untuk memudahkan pengunjung bergerak dengan mudah di sekitarnya.

Bagi peminat Kpop, ada satu tarikan yang anda tidak boleh terlepas – konsert Kpop Hologram! Hologram yang kelihatan cukup nyata ini menampilkan bintang K-pop popular seperti Big Bang dan Psy, yang mempersembahkan lagu hit mereka. Jadi tarikan ini ialah sesuatu yang ingin anda lihat!

Adrenalin anda akan meluncur laju apabila menaiki roller coster paling tinggi, paling panjang dan paling curam di Everland. Roller coaster berlandasan kayu dengan ketinggian 200 kaki dan securam 77 darjah ini patut dicuba oleh peminat roller coaster.

Tip penting: Untuk mengelak barisan panjang di roller coaster tersebut, pilih untuk membeli Q-Pass.

——

Jika melawat taman tema ialah cara untuk anda bergembira, maka 5 taman tema di atas ialah permulaan yang baik untuk hujung minggu atau pengembaraan anda! Cepat-cepat berkemas dan rancang perjalanan dengan keluarga dan rakan-rakan sekarang!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

 

 

 

 

 

 

 

44 Shares
Share44
Tweet
+1
Pin
Share