The Taaras Beach & Spa Resort: Tarikan tersembunyi di Pulau Redang

The Taaras Beach & Spa Resort: Tarikan tersembunyi di Pulau Redang

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

 

Disambut dengan pemandangan bot nelayan dan latar belakang bukit-bukau, rasa seperti kami berada di dunia yang jauh lebih tenang setelah tiba di Jeti Pulau Redang. Pulau Redang adalah salah satu pulau yang terkenal di Terengganu kerana perairannya yang jernih dan pantai berpasir putih yang sesuai untuk aktiviti selam snorkel dan menyelam, atau hanya berjemur sambil menikmati angin pantai. 

Kredit: The Taaras Beach & Spa Resort

Van jemputan kami telah sedia menunggu dan terus membawa kami ke The Taaras Beach & Spa Resort. Perkataan “taara” bermaksud Dewi Laut dalam bahasa Sanskrit, dan resort mewah milik Berjaya Hotels & Resorts ini menyerlah sebagai tarikan utama dalam koleksi hotel mereka. Penginapan ini terletak di bahagian utara Pulau Redang, di sebuah teluk dengan pantai peribadi menghadap perairan Laut Cina Selatan yang luas terbentang. Memberikan pemandangan pulau yang terbaik, ia amat sesuai untuk anda berehat dan mendekati ketenangan alam semula jadi. 

Setelah sampai di resort, kami disambut baik oleh staf hotel mesra yang membawa tuala basah sejuk (aah, cukup melegakan semasa cuaca panas!) dan mereka menjemput kami duduk. Sambil kami menghirup jus jambu batu segar, staf tersebut menguruskan proses daftar masuk kami dengan cepat. Tambahan lagi, kami tidak perlu beratur! 

Selesai daftar masuk, kami dibawa ke bilik kami iaitu sebuah Garden Suite dengan satu bilik. Rumah dua tingkat gaya Melayu ini mengingatkan kami tentang kampung halaman. Dikelilingi suasana tenang dengan kehijauan dan pokok-pokok kelapa yang tinggi, terasa seperti telah jauh kami meninggalkan kesibukan bandar.

Bilik berkeluasan 70 meter persegi ini dilengkapi ruang tamu, set sofa, TV flat screen dan meja pejabat, walaupun kami dah pun terlupa soal kerja selepas menyelesakan diri di sini! Peti sejuk mini yang berisi penuh dan kelengkapan membuat teh atau kopi juga disediakan, sesuai untuk anda bermalas-malas di bilik selepas seharian berjemur di bawah panas. 

Dipisahkan daripada ruang tamu, bilik tidur ini tampil sederhana tetapi sangat praktikal. Hiasan minimal seperti sofa rotan dan perabot kayu membuat bilik kami nampak lapang dan tidak serabut. Katil bersaiz king diletakkan di tengah-tengah dengan TV yang mempunyai saluran Netflix (kami gunakan untuk menonton tayangan ulangan Friends, jangan judge!). Almari yang luas juga memudahkan mereka yang membawa banyak barang. Selain itu, bilik ini juga menyediakan jubah mandi, selipar, payung, dan peti deposit keselamatan untuk kegunaan tetamu. 

Sila mengaku jika anda mudah teruja apabila melihat estetika bilik mandi hotel, lebih-lebih lagi dengan ruang yang cukup Instagrammable seperti ini! Terdapat dua sinki, bilik air, dan bidet, serta tab mandi yang luas di dalam ruang mandi. Memang selesa untuk berendam setelah seharian berada di bawah cahaya terik matahari! 

Kredit: The Taaras Beach & Spa Resort

Semua yang anda perlukan ada di resort ini. Selain kolam renang dewasa dan kanak-kanak, di sini juga terdapat Jojo Playroom, iaitu taman permainan dalam bangunan yang menawarkan pelbagai aktiviti dan permainan yang menyeronokkan untuk si kecil. 

Kredit: The Taaras Beach & Spa Resort

Tidak mahu mengabaikan rutin senaman ketika bercuti? Nikmati kemudahan lengkap yang ada di gimnasium ini untuk keperluan latihan anda, baik daripada latihan daya kekuatan ataupun kardio. Lebih menarik, gimnasium ini menawarkan pemandangan menghadap teluk yang cantik! Di sini juga terdapat studio yoga. 

Semua aktiviti itu pasti membuat anda lapar! Jangan risau, kerana di sini terdapat tiga pilihan tempat makan. Hirup mocktail sambil melihat matahari terbenam di Bayu Bar, atau bawa yang tersayang menikmati hidangan Barat di restoran eksklusif Beach Brasserie yang menghadap pantai. 

Kredit: The Taaras Beach & Spa Resort

Sarapan disediakan di Asean All Day Dining dan anda juga boleh menikmati bufet makan tengah hari dan makan malam di sini yang menawarkan hidangan asli Malaysia, antarabangsa, dan pelbagai rasa masakan. Untuk resort lima bintang, kami rasa harga bufet makan malam yang ditawarkan dengan RM 130 seorang sangat berbaloi dengan beraneka pilihan makanan yang disediakan. Kami sangat berselera menikmati daging bakar dengan kuah percik dan sambal udang di sini! 

Keputusan: Kami menyukai kepelbagaian aktiviti dan makanan dalam kawasan resort ini, jadi kami tidak perlu ke mana-mana. Ini sememangnya percutian idaman seperti yang kami mimpikan! 😉 Jika anda mencari resort mewah dengan privasi untuk menikmati cahaya matahari, laut, dan pasir pantai, The Taaras Beach & Spa Resort adalah tempat paling sesuai! 

 

Tarikan dan Aktiviti 

Walaupun terasa seperti hanya ingin berehat di tepi pantai sambil membaca buku, rugi jika anda tidak melihat khazanah dasar laut yang mengagumkan di sini. Ada sebab mengapa Pulau Redang menjadi spot yang popular untuk selam snorkel dan menyelam. Kami telah kumpulkan tiga aktiviti yang mesti dicuba semasa anda berada di The Taaras! 

Menyelam 

Kredit: The Taaras Beach & Spa Resort

Selam snorkel memang menyeronokkan, tetapi ia tidak cukup untuk mengamati kehidupan laut yang lebih dalam dan jauh berbeza. Tiada lesen menyelam? Jangan risau, kerana anda tidak memerlukan sebarang pengalaman untuk mencuba discover scuba diving. Pulau Redang sangat dikenali dengan terumbu karang berwarna-warni dan tempat untuk melihat penyu laut, jerung terumbu, ikan pari, dan pelbagai spesis marin yang lain. Untuk pengalaman yang lebih indah, pastikan anda cuba menyelam di sekitar kawasan kapal karam! 

Memerhati penyu 

Kredit: The Taaras Beach & Spa Resort

Pantai Chagar Hutang di Pulau Redang, Terengganu, mempunyai jumlah sarang penyu laut yang terbanyak di Semenanjung Malaysia. Walaupun pantai itu tidak dibuka kepada orang awam, anda masih boleh melihat penyu hijau dari pesisiran pantai kepunyaan The Taaras. Walaupun penyu-penyu comel ini agak mesra, anda dilarang menyentuh atau memberi mereka makan. The Taaras juga menempatkan SEATRU Turtle Lab, di mana anda boleh mempelajari tentang kitaran hidup penyu laut dari tempoh mereka bertelur sehingga menetas, mengenali spesis penyu, dan memahami sifat pemangsa semula jadi mereka. Semasa musim penyu menetas (Jun hingga Oktober), anda mungkin dapat menyaksikan anak-anak penyu ini dilepaskan beramai-ramai ke dalam laut! 

Berkayak 

Kredit: The Taaras Beach & Spa Resort

Ingin melihat dunia lautan tanpa perlu basah? Pergilah berkayak. Lebih seronok jika anda menyewa kayak lutsinar, supaya anda boleh melihat penyu laut dan ikan-ikan berenang di bawah anda! Seharian berkayak di sekitar Pulau Redang pasti mencabar stamina anda kerana kawasannya yang luas, tetapi ia tidak mustahil! Cuba berkayak semasa musim kering (Mac hingga Oktober), apabila perairan di sini lebih tenang. 

_________________________________________________________________________

Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu! 

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share