Percutian Pilihan

#SquadGoals: Hotel terbaik untuk percutian bersama ‘BFF’ anda

Hari silih berganti, kita menjalani rutin yang sibuk dan kadangkala tidak sengaja terlupa akan sistem sokongan penting kita yang terabai iaitu teman baik kita. Cuba anda fikir sejenak.

Bila kali terakhir anda dan teman baik anda berjumpa, apatah lagi pergi bercuti bersama?

Jika anda sudah lama tidak berjumpa, tunggu apa lagi? Hanya gunakan Traveloka App dan anda akan semakin hampir dengan percutian yang paling anda inginkan bersama teman anda.

Sama ada anda mencari pantai yang disinari cahaya matahari, aktiviti membeli-belah yang mengujakan, atau sebuah oasis mendamaikan yang jauh daripada rutin harian yang membosankan, anda boleh menempah salah sebuah hotel dan resort ini di seluruh Asia untuk sesi hati ke hati yang sudah lama diidamkan:

The Beach House Resort | Gili Trawangan, Indonesia

Jika Bali terlalu sesak untuk anda, berkunjunglah ke Lombok – pantai dengan pasir putih dan hutan hujan yang subur, masih tidak terjejas oleh pembangunan.

Gili Trawangan di Pulau Gili yang terletak 30 minit perjalanan dengan menaiki bot dari arah barat laut pulau Lombok merupakan lokasi The Beach House Resort. Gugusan tiga buah pulau itu tidak boleh diakses dengan kereta dan kenderaan bermotor. Jadi, anda perlu berjalan kaki, menaiki basikal, atau menaiki kereta kuda yang dipanggil cidomo.

Oleh sebab kedudukannya yang strategik antara Lombok and Bali, para pelawat yang berkunjung ke Gili Trawangan boleh melihat pemandangan matahari terbit di Gunung Rinjani di Lombok pada sebelah timur dan matahari terbenam di Gunung Agung di Bali pada sebelah barat.

Tempat tarikan berhampiran

Beberapa buah resort pantai di bahagian barat pulau itu telah membina beberapa buah buaian di laut yang terbuka kepada orang awam dan popular dikalangan para pelancong yang ingin mengabadikan matahari terbenam dalam bentuk gambar di Instagram. Buaian yang paling popular ialah Datu Swing.

Aktiviti popular

Aktiviti snorkel di North Beach, selam skuba dan mengembara dari satu pulau ke satu pulau.

Hoi An Silk Boutique Hotel & Spa | Hoi An, Vietnam

Hotel ini terletak betul-betul di tengah-tengah kawasan bersejarah di bandar, Old Town Hoi An dan Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan juga berhampiran dengan tarikan utama para pelancong.

Anda akan seronok bersiar-siar di sekitar bangunan kolonial yang aneh tetapi menarik yang dibina berselerakan di sekitar bandar purba itu dan juga pelabuhan serta kawasan sibuk di sepanjang sungai yang dicat dengan warna kuning yang ceria.

Jika anda berkunjung semasa Perayaan Tanglung Bulan Purnama yang diadakan setiap bulan, anda akan melihat pantai dengan tanglung kertas berwarna-warni yang menerangi waktu malam.

Tempat tarikan berhampiran

Kuil Cam Pho, Song Hoai Square, Jambatan Jepun.

Aktiviti popular

Lawatan berbasikal di kawasan desa, menikmati hidangan Vietnam dan menjelajah pasar-pasar.

Secret Cliff Resort & Restaurant | Phuket, Thailand

Phuket merupakan salah sebuah destinasi yang paling popular di Thailand di kalangan pelancong kerana faktor yang baik: di sana terdapat sinaran matahari, aktviti meluncur dan pasir pantai ditambah pula keseronokan dan ketenangan.

Pulau peranginan yang terletak di Laut Andaman yang sungguh cantik itu merupakan tempat asal kepada beberapa buah pantai terbaik di dunia.

Secret Cliff Resort & Restaurant menawarkan pemandangan laut yang menakjubkan di pinggir cenuram dan terletak hampir 10 minit pemanduan dari bandar peranginan pantai yang popular di Patong. Bandar itu dikenali kerana aktiviti waktu malamnya yang meriah dengan kelab malam, bar dan disko yang banyak sekali.

Tempat tarikan berhampiran

Pantai Tri Trang, Pantai Patong, Bangla Road, Pusat Membeli-Belah Jungceylon.

Aktiviti popular

Berkunjung dari satu bar ke satu bar, spa, selam skuba, aktiviti snorkel.

Park 22 Hotel Chinatown | Singapura

Anda mahukan pemandangan yang berbeza, tetapi masih ingin menikmati kemudahan bandar yang selesa? Selamat datang ke Singapura, iaitu tempat untuk mendapatkan segalanya yang anda dapati di bandar.

Jelajahi enklaf etnik yang ikonik di republik tersebut, terutamanya di Chinatown, iaitu tempat anda boleh menikmati beberapa jenis makanan penjaja yang terbaik di sekitar kawasan itu.

Park 22 Hotel Chinatown ialah lokasi yang sempurna untuk memulakan penjelajahan kerana ia betul-betul terletak di Chinatown dan berhampiran Stesen MRT Outram Park yang memudahkan anda untuk pergi ke mana-mana.

Tempat tarikan berhampiran

Pusat Penjaja Maxwell Road, Kuil dan Muzium Buddha Tooth Relic, Kuil Sri Mariamman dan Kuil Thian Hock Keng.

Aktiviti popular

Membeli-belah cenderamata di Chinatown Street Market, makanan jalanan, meninjau enklaf etnik lain yang berada berhampiran (contoh: Little India, Kampong Glam).

Vila Seashell – The Villa Hotel | Goa, India

Selain dirahmati dengan pemandangan pantai yang indah dan terpelihara, Goa kaya dengan budaya dan sejarahnya. Portugis memerintah kawasan tersebut selama kira-kira 450 tahun sebelum India memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British. Oleh itu, anda boleh menghargai saki-baki seni bina dan makanan Portugis.

Goa Utara yang dikenali dengan pasar hipi dan tempat yang tenang untuk melakukan yoga ialah tempat terletaknya Vila Seashell – The Villa Hotel yang berhampiran Pantai Candolim.

Tempat berhampiran bandar Calangute di sebelah utara terkenal dengan pestanya yang meriah. Oleh itu, anda dan teman-teman anda sentiasa boleh mencari aktiviti menyeronokkan untuk dilakukan.

Tempat tarikan berhampiran

Pantai Candolim, Pantai Sinquerim, Fort Aguada, Gereja Kecil St. Anthony.

Aktiviti popular

Berkunjung ke Pasar Lambak Anjuna pada hari Rabu, melakukan aktiviti sukan di Pantai Baga dan mengunjungi bar/kelab.

Spices Boutique Residence | Pulau Pinang, Malaysia

Sebuah bandar pelabuhan di Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai “Mutiara Timur” kini dikenali sebagai syurga makanan Malaysia.

Anda dan teman-teman anda akan menyukai Georgetown, kawasan bersejarah yang menarik di pulau itu.

Spices Boutique Residence yang terletak di tengah-tengah bandar, memudahkan anda untuk bersiar-siar dengan berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam.

Tempat tarikan berhampiran

Gerai Penjaja Chulia Street pada waktu malam, Jejak Warisan Pulau Pinang, Seni Jalanan Mural Pulau Pinang, Khoo Kongsi dan Rumah Agam Biru.

Aktiviti popular

Cubalah hidangan yang terkenal di Pulau Pinang (contoh. nasi kandar, laksa Pulau Pinang dan char kuey teow), pergi mencari mural yang tersembunyi di lorong Georgetown dan melawat bangunan bersejarah yang penuh dengan hiasan.

Tea Garden Resort | Bandung, Indonesia

Bandar ketiga terbesar di Indonesia ini dengan mudah menambat hati para pengembara di seluruh dunia yang mencari percutian penuh kehijauan berbanding hutan batu urban.

Anda boleh menghirup udara segar setelah anda menjejakkan kaki ke kawasan Tea Garden Resort yang terletak di ladang teh di kawasan desa di seberang sempadan bandar.

Tempat tarikan berhampiran

Kawah gunung berapi Tangkuban Perahu, Mata Air Panas Ciater, Bandung Treetop Adventure Park, Taman Grafika Cikole.

Aktiviti popular

Aktifkan adrenalin dengan mengayun buaian di Sky Swing di The Lodge Maribaya, menikmati makan tengah hari dan menikmati kopi dengan selesa bersama pemandangan gunung yang menarik di Lereng Anteng Panoramic Coffee, memetik strawberi di bukit Lembang dan Ciwidey dan pergi ke mana-mana kawasan air terjun yang berhampiran (contoh: Air Terjun Maribaya).

 

Diterjemahkan oleh: Murni Jamaludin

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share