0

Traveloka MY

14 Mar 2017 - 3 min read

Kawan Baik Anda Mungkin Rahsiakan 5 Pantai Di Asia Tenggara Ini Daripada Anda

Saya peminat setia pantai dan pulau. Terutama sekali yang tersembunyi dan susah untuk dikunjungi. Saya selalu mengejar permata yang tersembunyi kerana keindahannya. Sebuah dunia bawah lautan yang gemilang dan tersendiri. Anda mungkin memerlukan sedikit usaha untuk sampai ke destinasi-destinasi ini. Tetapi ganjarannya berlipat kali ganda apabila anda tiba.

Ramai beranggapan yang pulau syurga terbaik ada di Caribbean, Lautan Hindi atau Polynesia. Tetapi itu tak selalunya benar. Asia Tenggara dihiasi dengan tempat yang luar biasa, mempunyai tarikan dan kecantikan tersendiri. Malah, tempat ini begitu menakjubkan, anda akan mahukannya hanya untuk anda seorang.

Dan percaya atau tidak, ia tidak berada di Bali, Phuket ataupun Boracay.

1. Bersantai di pantai seputih gula – Pantai Bira, Sulawesi Selatan

blue sea

Lima jam dari bandar sibuk Makassar, terbentang pantai seputih gula ini. Destinasi indah ini bukan hanya menawarkan lanskap sesempurna poskad dan air sejernih kristal, tapi juga pasir lembut dan putih yang membuatkannya cukup sempurna untuk berbaring dan menikmati suasana. Benamkan kaki anda dalam pasir untuk terapi semula jadi semasa anda berehat di bawah cahaya matahari. Paling bagus ialah, air di sini sangat cetek dan tidak berombak.

Kebanyakan penginapan berdekatan dengan pantai, dan yang murah juga termasuk dengan sarapan pagi di balkoni. Bayangkan anda menikmati secawan kopi sambil menikmati pemandangan yang mempersonakan, tidakkah ini seperti syurga dunia?

2. Syurga untuk diterokai – Waleakodi, Kepulauan Togi Sulawesi

blue sea water

Jika anda ingin berehat sendirian sambil berbuai dalam buaian gantung di bawah pokok kelapa dan menikmati kenyamanan pulau, jadi pergilah menjelajah pantai Waleakodi di Pulau Togian. Perjalanan ke sana memerlukan sedikit usaha, tapi selalunya penemuan hebat bukannya mudah. Pokok kelapa yang berbuai ditiup angin, ombak lembut memukul pantai, pasir putih dan tiada manusia yang kelihatan. Perasaan lelah anda secara ajaibnya akan terpadam terus oleh 50 tona warna biru, hijau dan kuning.

Pernah diabaikan oleh kerajaan Indonesia, seluruh nusantara ini tidak disentuh selama bertahun-tahun. Pulau-pulau inilah rumah kepada kehidupan marin yang melimpah-ruah, batu karang yang tidak disentuh dan kepadatan hutan hujan. Tapi, Pulau Togian kini semakin mendapat perhatian. Mungkin suatu hari nanti pulau-pulau ini menjadi seakan-akan Koh Phi Phi atau Bali, jadi kenapa tidak menikmatinya sementara ia masih terpelihara?

3. Berjalan-jalan menikmati bayu pantai – Tanjung Aan, Lombok

beautiful beach

Lombok bukan hanya sekadar Gunung Rinjani dan pulau-pulau Gili yang berdekatan. Selatan Lombok, tidak jauh dari Pantai Kuta (ya, versi yang lebih senyap dari Bali) ialah Tanjung Aan. Menghadap Lautan Hindi dengan pantai sejauh 2 km membuatkan tempat ini paling sesuai untuk menikmati pemandangan sambil berjalan-jalan.

Jelajah kawasan berbatu di kawasan pulau ini dan anda akan tiba di satu sudut pandangan di mana anda boleh mengambil gambar keseluruhan lanskap yang memukau. Ia bukanlah tempat peminat parti atau sukan air, tetapi jika anda suka menikmati percutian pantai yang aman tanpa perlu berebut tempat untuk beriadah, inilah destinasi yang sesuai.

walking by the beach

4. Mengamatikehidupan pulau – Pulau Mantanani, Timur Malaysia

beach vacation

Mantanani Island, East Malaysia. (Kredit: Shutterstock)

Sabah ialah destinasi popular bagi pelancong yang gemarkan percutian di pulau, tapi ramai yang memilih pulau-pulau berdekatan Kota Kinabalu atau pulau Mabul sebagai destinasi kesukaan mereka. Tiga buah pulau yang dinamakan kepulauan Mantanani, pula, jarang dikunjungi.

Hanya satu jam dari Kota Belud, pulau-pulau ini menjanjikan air biru kehijauan, pasir pantai selembut sutera dan kawasan menyelam yang mempersonakan. Banyak spesies ikan pari seperti pari bintik biru dan pari marmar amat mudah dilihat di kawasan itu. Bersantailah di kawasan pantai atau bermain kayak dan menjelajah Pulau Mantanani.

5. Alami magis – Pulau Siquijor, Fhilipina

sunny beach

Sebut sahaja Pulau Siquijor kepada rakyat Filipina dan anda akan dapat lihat mata mereka terbeliak. Bagi orang tempatan, Squijor lebih dikenali sebagai pulau ilmu sihir, penyembuhan dan alam ghaib. Sama ada anda percaya atau tidak, anda akan sedar yang Siquijor sememangnya penuh misteri; magisnya terletak pada keindahan alam semula jadi.

Di sini, anda dapat berjemur di pantai, mencari tempat berenang yang tersembunyi, menunggang motorsikal sekeliling pulau atau mandi-manda di taman mata air semulajadi. Pusat peranginan dan agensi pelancongan juga menawarkan pakej sehari ke Pulau Apo yang terkenal dengan kawasan perlindungan marin dan terumbu karang yang cantik.

sunset

Jadi jika anda terfikir-fikir percutian pantai untuk melarikan diri dari hiruk-pikuk bandar, mengapa tidak cuba pulau-pulau yang saya cadangkan tadi? Syurga dunia ini hanya beberapa jam penerbangan sahaja dan sangat-sangat berpatutan. Tapi ingat: Selepas luangkan masa sehari dua di sana, pasti anda tak mahu kembali kepada realiti lagi.

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka