Percutian Pilihan

7 destinasi pulau yang berpatutan dan dekat dengan anda

Pernah anda terbayang untuk bersantai di pantai yang memutih atau berenang dalam air yang biru dan sejernih kristal?

Anda mungkin berasa ia hanya akan berlaku jika memenangi cabutan bertuah atau menerima harta warisan yang banyak, tapi semuanya boleh terjadi tanpa bantuan magis.

Tidak percaya? Kami mempunyai tujuh destinasi pulau untuk anda pilih tanpa perlu berbelanja banyak :

1.  Pulau Coron, Filipina

Pulau Coron merupakan sebahagian daripada Kepulauan Palawan, antara kepulauan paling cantik di Filipina, dan lokasi sesuai untuk menjelajah ke pulau-pulau.

Tersembunyi di kalangan batu kapur adalah Tasik Kayangan dan Tasik Barracuda, kedua-dua tarikan indah yang patut dilawati ini hanya boleh diakses dengan bot.

Untuk melihat pemandangan yang indah di Pekan Coron, anda boleh mendaki Gunung Tapyas, sambil berehat dengan merendamkan kaki di Maquinit Spring.

Waktu Terbaik : Oktober – Pertengahan Jun

Tempat penginapan: Darayonan Lodge, Busuanga Seadive Resort, Casa Montemar Bed and Breakfast.

2.  Koh Phangan, Thailand

Terkenal dengan parti bulan penuh di kawasan perkampungan Haad Rin, ia lebih dari sekadar muzik yang kuat dan berparti sepanjang malam.

Jika anda mencari ketenangan, terokai utara pulau seperti Haad Yao atau Haad Khuad (juga dikenali sebagai Pantai Botol), di mana anda akan menjumpai lokasi pantai yang tidak ramai pengunjung.

Memandangkan pulau ini berada di antara Koh Samui dan Koh Tao, dua pulau yang menjadi lokasi popular dengan tarikan yang tersendiri, mudah untuk mendapatkan feri untuk ke pulau ini.

Waktu Terbaik: Disember hingga ke Jun

Tempat Penginapan: Sunrise Resort, Haad Yao Bayview Resort & Spa, Haad Khuad Resort.

3.  Pulau Perhentian, Malaysia

Dalam Bahasa Melayu “Perhentian” bermaksud persinggahan dan wajib menjadi persinggahan bagi pencinta alam semulajadi.

Terletak di dalam Taman Laut Redang di Semenanjung Malaysia,  pulau ini dikelilingi oleh batu karang yang cantik dan adalah lokasi terbaik bagi aktiviti menyelam dan snorkeling.

Pulau Perhentian Besar merupakan pulau yang sering dikunjungi oleh keluarga dan orang yang mahukan ketenangan, manakala Pulau Perhentian Kecil lebih menarik minat backpacker yang mahukan percutian bajet.

Waktu Terbaik: Mac hingga akhir Oktober

Tempat Penginapan: Shari-la Island Resort, The Barat Perhentian, Coral View Island Resort.

4.  Koh Rong, Kemboja

Pulau kedua terbesar di Kemboja ini hanya terletak 25 kilometer dari Sihanoukville di Teluk Thai dan boleh dikunjungi menggunakan feri.

Kampung Koh Tuich merupakan lokasi tumpuan pelancong,  namun masih kurang sesak. Ia juga mudah dikunjungi hanya dengan berjalan kaki, jadi pastikan anda memakai kasut yang sesuai jika mahu menjelajah melalui hutan atau pantai.

Jangan lupa untuk melihat plankton yang lutsinar dan bersinar seperti berlian di pantai.

Waktu Terbaik: November hingga April

Tempat Penginapan: Palm Beach Bungalow Resort, Nature Beach, Orchid Resort.

5.  Lombok, Indonesia

Lupakan Bali – kini tumpuan beralih pada Lombok. Pantai yang tidak begitu komersil dan begitu mempesonakan berbanding pantai tumpuan ramai di Bali.

Kepulauan Gili – gabungan Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air – hanya mengambil masa 20 minit sahaja dengan menggunakan bot, dan sesuai untuk berenang, menyelam dan snorkeling. Di Lombok, jika anda mahu bertemu dengan pengunjung dari negara lain, Senggigi adalah lokasi yang terbaik.

Jika anda bukan peminat pantai, anda boleh mendaki Gunung Rinjani yang merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dan bersedia untuk berasa kagum akan tasik kawah gunung berapi serta pemandangan dari puncak gunung.

Waktu Terbaik: April hingga Oktober

Tempat Penginapan: Aruna Senggigi, Green Asri, Rudi’s Villa & Restaurant Sembalun.

6.  Phu Quoc, Vietnam

Phu Quoc bukan sahaja diliputi oleh hutan dan gunung, tapi juga pantai indah memutih yang merupakan tarikan terbaik ke Vietnam.

Jika mempunyai masa yang singkat, anda boleh terbang dari Bandar Ho Chi Minh. Anda juga mempunyai pilihan menggunakan bot dari Rach Gia, Ha Tien atau Hon Chong di tanah besar – tapi ia akan mengambil masa dari satu setengah jam hingga dua jam setengah.

Pekan utama Duong Dong ialah tempat untuk anda mendapatkan makanan laut terbaik. Di sana, anda boleh menyewa motorsikal atau teksi jika mahu mengunjungi lokasi tarikan pelancong seperti perkampungan nelayan dan ladang menternak mutiara.

Waktu Terbaik: November hingga Mac

Tempat Penginapan: Arcadia Phu Quoc Resort, Hoi An Phu Quoc Resort, Phu Quoc Villa.

7.  Maldives

Walaupun lokasinya jauh di Lautan Hindi, tapi Maldives adalah lokasi yang berbaloi untuk di kunjungi kerana laut biru yang begitu jernih, pantainya yang tidak sesak dengan orang ramai dan masih terpelihara.

Pada masa lalu, Maldives dianggap sebagai destinasi percutian untuk orang-orang kaya tapi dengan penambahan syarikat penerbangan kos rendah yang terbang ke ibu negara Malé, ia menjadi lebih mudah untuk pelancong tanpa mengira bajet.

Keindahan batu karang dan pemandangan bawah laut akan membuatkan anda terpukau, jadi jangan lupa memakai sut menyelam.

Waktu Terbaik: November hingga April

Tempat Penginapan: Acqua Blu Rasdhoo, ALAKA at Maafushi, Banana Residence.

 

Diterjemahkan oleh: Zailan Jailani

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share