
Mahu bercuti di Asia Tenggara? Percayalah destinasi ini bukan ‘biasa-biasa’!
Kini setelah lebih ramai orang dapat mengembara lebih jauh dan lebih kerap, destinasi-destinasi pelancongan menjadi sesak, terutama sekali pada musim kemuncak.
Tapi anda agak bertuah kerana banyak destinasi di Asia Tenggara yang masih terpelihara dan tersembunyi di sebalik kebanjiran pelancong. Jadi jika anda seorang pengembara yang selalu mengembara atau yang baru saja berjinak-jinak dengan pengembaraan tapi mahu mengelak dari destinasi yang sudah biasa dikunjungi, cuba lihat destinasi yang kami cadangkan ini:
Indonesia: Lawat Pulau Sumba berbanding Bali
Hanya dua jam dari Bali dengan menaiki kapal terbang, Sumba ialah sebahagian daripada Pulau Lesser Sunda – ia dua kali ganda besar dari Bali, tapi dengan populasi penduduk yang lebih kecil. Namun, jangan tertipu dengan saiznya yang kecil kerana pulau ini cukup indah dengan pantai putih bersih dan air laut yang jernih, menjadikan pulau ini destinasi yang popular dikalangan penyelam skuba.

Pekan pinggir pantai Waingapu adalah pulau terbesar, diikuti oleh Waikabubak yang jauh lebih pedalaman. Waingapu terkenal dengan Pasar Malam, di mana anda boleh membeli tenunan buatan tangan, yang dikenali sebagai ‘ikat’. Makanan laut yang berharga juga mudah didapati berhampiran Dermaga Lama di bandar ini.

Di sekitar pulau terdapat rumah-rumah tradisional dengan bumbung jerami, suatu pemandangan yang unik yang akan membuat anda kagum. Jika anda berada di kawasan pantai, pergi ke Pantai Tarimbang berhampiran dengan Waingapu atau Pantai Mandorak, sebuah pantai terpencil yang menghadap ke lagun biru yang menawan.
Myanmar: Lawat Hsipaw berbanding Bagan
Terletak di pergunungan Myanmar utara, Hsipaw (disebut ‘see-paw’ atau ‘tee-bor’) tidaklah serancak destinasi lain di dunia. Jika anda mahukan alam semula jadi yang masih belum tercemar dan dikelilingi oleh ciptaan Tuhan yang menjangkaui keindahan di tempat lain, datanglah ke sini.

Di sini, anda boleh mendaki melalui bukit-bukau dan menerokai air terjun yang indah, tanah ladang yang luas, menyegarkan diri anda di mata air semula jadi dan disapa oleh keramahan penduduk tempatan. Kenali budaya Shan dan cuba hidangan serantau khas mereka.

Laos: Lawat Champasak berbanding Luang Prabang
Bandar yang tenang, Champasak, di wilayah Lao di barat daya pernah menjadi tempat kerajaan dahulu kala yang terbentang luas hingga ke Thailand. Salah satu tarikan utamanya ialah Wat Phu, Tapak Warisan Dunia UNESCO yang merangkumi runtuhan Khmer Angkor yang mengagumkan. Ia dianggap sebagai yang terbaik di luar Kemboja.

Terletak di tebing barat Sungai Mekong, Champasak mempunyai warisan budaya yang masyur termasuk kuil kuno dan seni bina kolonial Perancis. Kira-kira 5 kilometer di selatan bandar ini yang berdekatan sungai Wat Muang Kang, kuil Buddha tertua yang masih aktif di Champasak. Di seberang sungai ke arah timur, terletak sebuah Kawasan Pemuliharaan Biodiversiti Nasional Dong Hua Sao, ladang-ladang kopi di Bolaven Plateau dan Air Terjun Xe Katamtok.

Thailand: Lawat Mae Hong Son berbanding Chiang Mai
Wilayah utara Mae Hong Son di sebelah timur bersempadan dengan negara jiran, Myanmar dan mempunyai bandar yang mempunyai nama yang sama. Di sini, anda dapat melihat pengaruh Burma yang kuat. Kebanyakan pelancong yang tahu mengenainya adalah mereka yang berminat untuk menjelajah ke Mae Hong Son, laluan indah yang melalui pergunungan di wilayah itu.

Pekan ini terletak di Wat Phrathat Doi Kongmu, sebuah biara yang mempunyai rekaan ala Burma dengan dua chedis hiasan berwarna putih. Pemandangan ikonik yang lain adalah Wat Jong Klang dan Wat Jong Kham yang dibina di sebelah Tasik Jong Kham. Ketika anda berada di sini, anda juga patut melawat kampung suku Karen.

Filipina: Lawat Pulau Camiguin berbanding Boracay
Walaupun saiznya kecil, Pulau Camiguin ada semuanya: hutan yang rimbun, terumbu karang yang berwarna-warni, air terjun yang menyegarkan dan makanan yang begitu enak! Terletak tidak jauh dari pantai Bohol, pulau ini masih mempunyai gunung berapi aktif yang boleh anda daki, seperti Gunung Hibok-Hibok dan Gunung Vulcan. Anda boleh menyejukkan di bawah Air Terjun Katibawasan atau Air Terjun Tuasan.

Cuba menyelam ke dalam syurga bawah laut Burias Shoals, untuk menemui pelbagai hidupan marin, seperti ikan harimau, ikan clownfish, ikan puffer, ketam dan banyak lagi. Tidak jauh dari pantai pulau itu terletaknya sebuah permata yang tersembunyi: Pulau Putih. Dikelilingi oleh terumbu dan perairan biru, anda boleh berpura-pura yang inilah pulau terpencil yang tersedia hanya untuk anda.

Kemboja: Lawat Kratie berbanding Siem Reap
Kratie (disebut sebagai ‘kra-cheh’) adalah sebuah bandar yang sunyi dan terletak jauh di pedalaman serta masih terpelihara. Seni bina Perancis masih kekal walaupun selepas episod pengeboman semasa peperangan, dan begitu banyak yang masih berdiri hingga ke hari ini untuk dikagumi oleh anda. Tetapi tarikan utama kawasan ini adalah ikan lumba-lumba Irrawaddy yang menetap di sungai berhampiran Kampi, sebuah bandar kira-kira 15 kilometer di utara di mana anda boleh menyewa bot untuk melihat ikan lumba-lumba yang berenang bebas.

Sekiranya anda suka mengayuh basikal, anda boleh membawa basikal anda menaiki feri menuju Koh Trong, sebuah pulau kecil yang terletak di tengah Sungai Mekong. Di sini, anda boleh bersiar-siar dengan santai dan merasai pengalaman sebenar di kawasan desa Kemboja. Pada penghujung hari, cari tempat yang bagus untuk menikmati pemandangan matahari terbenam. Dengan warna merah jambu dan ungu yang mewarnai langit, Kratie dikatakan memiliki tempat matahari terbenam yang paling indah di Mekong.

—–
Tidak kiralah ke mana pun anda mahu pergi, Traveloka akan bawa anda ke sana. Tempah hotel dan penerbangan anda untuk ke pengembaraan yang seterusnya!
Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

