V8 Hotel: Penginapan butik yang mesra poket

V8 Hotel: Penginapan butik yang mesra poket

Tak dapat dinafikan, ramai pelancong datang ke Johor Bahru hanya untuk pergi ke LEGOLAND Malaysia. Disebabkan hotel di kawasan sekitarnya agak mahal, V8 Hotel telah menarik perhatian kami untuk disenaraikan sebagai salah satu pilihan penginapan hebat. Hotel yang mesra harga dan sesuai untuk keluarga ini terletak secara strategik di Pusat Komersial Nusa Bestari, Skudai, dan anda boleh pergi ke LEGOLAND Malaysia dalam perjalanan 10 minit menaiki kereta dari sini. Antara sebab kami sangat menyukai V8 Hotel ialah kerana terdapat pelbagai kemudahan dan servis untuk pelawat yang berkeluarga, termasuklah taman permainan kolam renang yang seronok untuk anak anda puas bermain! Bukan itu sahaja, hotel bergaya ini juga terletak dekat dengan pusat bandar Johor Bahru dan hanya mengambil masa 20 minit menaiki kereta untuk anda meneroka lebih pemandangan dan (ehem) shopping lah, apa lagi!

Johor Bahru, atau digelar sebagai JB, bukanlah sekadar bandar perantara untuk memasuki Singapura. Malah, ibu negeri Johor ini merupakan bandar keempat yang terbesar di Malaysia dan di antara bandar yang pesat membangun dalam negara. Selepas Kuala Lumpur, ia merupakan hab selatan bagi servis kewangan, komersial dan runcit. Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di JB, seperti menaiki roda Ferris di Teluk Danga, membeli-belah barangan antik dan preloved di Pasar Karat atau mengopi di kafe-kafe sekitar Jalan Dhoby.

Sangat berbaloi dan lengkap  

Hotel bergaya ini menawarkan 190 buah bilik yang sesuai untuk pasangan, pelancong bekerja, keluarga dan kumpulan pelawat yang lebih besar.

Kami yakin anda juga akan berpuas hati dengan nilai yang ditawarkan oleh V8 Hotel. Setiap bilik dilengkapi kemudahan asas seperti peralatan mandi, TV LCD dengan pelbagai jenis program, dan juga katil bersaiz king, yang seperti memanggil-manggil kami selepas sejam perjalanan menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur. Sabar, sis.

Alangkah leganya rasa selepas tiba di bilik kami yang terang dan berangin ini!

Disebabkan kami dah pun makan tengah hari sebelum tiba di hotel, kami belum berasa lapar. Hotel ini turut menawarkan pelbagai jenis menu melalui servis bilik dan anda boleh memesan hidangan seperti chicken chop, nasi goreng dan sandwic. Harganya juga berpatutan, dari RM20 hingga RM45. Servis bilik tersedia dari pukul 11 pagi hingga 10 malam dan sangat menyenangkan sekiranya anda teringin menjamu selera sambil berehat di bilik.

Tingkapnya yang luas menghadap pusat komersial membenarkan kami menikmati pemandangan matahari terbenam yang indah pada petang itu. Fuh, memang nais!

Taman permainan kolam renang yang menarik

Kami berikan point bonus kepada hotel ini kerana ia mempunyai taman permainan kolam renang dengan gelongsor yang membawa anda terus ke dalam air! Di taman ini, anak anda boleh sambung bermain (jika LEGOLAND Malaysia masih belum cukup memenatkan mereka), sambil anda bersantai di tepi kolam. Tetapi, kesabaran anda mungkin diuji sekiranya mereka seronok sangat bermain sehingga sukar untuk meninggalkan kolam renang ini!

Pusat bandar JB memang dekat, tapi kadang-kadang, lebih baik kalau meluangkan masa di tempat penginapan dan tak perlu bersusah payah memikirkan tempat makan malam. Restoran di V8 Hotel bukan sahaja menghidangkan kebanyakan menu tempatan, malah pelancong beragama Islam juga boleh menjamu selera tanpa was-was kerana dapurnya disahkan halal. Untuk makan malam, kami mencuba hidangan bufet Citarasa Kampung yang menyajikan hidangan Melayu asli. Antaranya ialah laksa Penang, gado-gado, puyuh masak lemak, sambal petai udang dan pelbagai jenis sayuran yang dimasak cara Melayu.

Selain itu, harga bufet makan malam di sini juga sangat berpatutan — hanya RM22.90 untuk orang dewasa dan RM18.90 untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Dengan pelbagai pilihan hidangan Melayu dan pencuci mulut yang lazat, kami sangat mengesyorkan untuk makan malam di sini sekiranya anda penat meluangkan seharian di luar!

Secara keseluruhannya, pengalaman menginap di hotel ini memang memuaskan dan kami akan mempertimbangkannya lagi untuk trip Johor kami yang seterusnya! Lokasinya yang dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta pelbagai tempat tarikan di JB juga membuatkan V8 Hotel sebagai penginapan yang mudah diakses oleh mana-mana jenis pelancong.

Tarikan & Aktiviti

LEGOLAND Malaysia

Tak perlu lagi diperkenalkan, taman tema LEGOLAND Malaysia yang penuh pengembaraan ini menjanjikan keseronokan bagi seisi keluarga dan ia juga boleh menjadi lokasi lawatan sambil belajar buat kanak-kanak. Sebagai satu-satunya LEGOLAND di Asia Tenggara, anda mesti melawat taman tema ini sekiranya berada di JB. Luangkan masa sambil bersiar-siar di tamannya untuk melihat pelbagai model bandar Asia serta mercu tanda terkenal yang diperbuat sepenuhnya daripada LEGO!

LEGOLAND Malaysia,

7, Jalan Legoland, Nusajaya, Johor

Waktu operasi: 10.00 pagi – 6.00 petang

 

Pasar Karat

Perjalanan anda ke mana-mana bandar di Malaysia tidak akan lengkap tanpa mengunjungi pasar malam. Bazaar JB, atau lebih mesra dengan nama tempatannya Pasar Karat, merupakan syurga bagi koleksi antik dan bermacam-macam jenis barangan lain seperti pakaian, beg, kasut, aksesori gajet dan makanan. Di sini ada semuanya! Walaupun agak sesak pada hujung minggu, tetapi inilah masanya untuk anda bergaul dengan komuniti tempatan.

Pasar Karat

Jalan Segget, Bandar Johor Bahru

Waktu operasi: 8.00 malam – 12.00 tengah malam

 

Johor Premium Outlet

Selain pasar malam, kami juga berkesempatan untuk ke tempat beli-belah yang lebih ‘up’ iaitu pusat membeli-belah premium yang pertama di Malaysia. Dengan konsep bergaya Eropah, tempat ini menawarkan pelbagai jenama pereka seperti Gucci, Versace, Michael Kors, Salvatore Ferragamo dan banyak lagi pada harga diskaun yang istimewa! Haa, dah ada yang terliur ke? Jika anak anda merajuk kerana anda terlalu sibuk shopping, di sini juga terdapat taman permainan di luar untuk mereka meluangkan masa dan tidak mengganggu emosi anda semasa membeli-belah!

Johor Premium Outlet

Jalan Premium Outlets Indahpura, Kulai, Johor

Waktu operasi: 10.00 pagi – 10.00 petang

 

_____________________________________________________

Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

 

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

19 Shares
Share19
Tweet
+1
Pin
Share