Tien Hotel: Penginapan penuh gaya di tengah kota warisan Pulau Pinang

Tien Hotel: Penginapan penuh gaya di tengah kota warisan Pulau Pinang

Ditulis oleh: Farah Fazanna Zulzaha

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

 

Ada sesuatu yang istimewa apabila anda memulakan hari anda dengan bunyi-bunyi jalanan di George Town, Pulau Pinang. Dalam sebuah kopitiam kecil yang tersorok di Lebuh Chulia, kedengaran bunyi sudu teh mengacau susu dalam secawan kopi pekat, ibarat sebuah melodi yang ceria. Di satu sudut lain, sekumpulan makcik-pakcik sedang berborak dan kedengaran campuran bahasa Hokkien, Melayu dan Tamil bergema di lorong-lorong belakang.

Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco untuk seni bina bergaya kolonial dan Peranakan yang mencecah usia berabad tahun, George Town memberi gambaran sebuah pelabuhan kolonial yang membangun dengan pelbagai budaya masyarakat — di sini ada kuil-kuil Cina, masjid berusia 200 tahun, dan makanan India yang terbaik di Little India, semuanya berdekatan dan dalam jarak berjalan kaki. Banyak tarikan yang masih dipelihara sehingga hari ini.

Walaupun George Town mempunyai banyak tempat menarik, Lebuh Chulia; iaitu salah satu jalan utama di kawasan warisan ini, menempatkan kehidupan harian yang meriah dan makanan jalanan yang terbaik. Ini menjadikan Tien Hotel sebagai pilihan terbaik untuk penginapan anda di George Town.

Teruskan membaca untuk mengetahui mengapa anda perlu menginap di hotel ini untuk percutian anda yang seterusnya di Pulau Pinang!

Bangunan ini mesti tidak asing lagi bagi Penangites, kerana ramai orang selalu berpusu-pusu menuju ke kopitiam di aras bawah yang terkenal dengan hidangan char siew. Hotel ini berada di tingkat pertama dan kedua dalam bangunan ini. Sebelumnya dikenali sebagai Sky Hotel, bangunan ini telah diberikan nafas baru pada tahun 2017 dan dinamakan Tien, yang bermaksud langit dalam bahasa Mandarin.

Apa yang kami suka tentang hotel ini ialah laman di atas bumbungnya, yang dibarisi tanaman berpasu dan menghadap kawasan warisan Georgetown. Terdapat sebuah kolam kecil (terlalu kecil untuk berenang) di mana anda boleh merendam kaki dan badan yang kepenatan setelah seharian meronda lorong-lorong di sini dalam pencarian mural jalanan yang terkenal di Pulau Pinang.

Sebelum itu, ada beberapa peraturan yang anda patut tahu. Anda perlu membuka kasut sebelum memasuki hotel ini. Terdapat rak kecil yang disediakan untuk menyimpan kasut. Bangunan ini juga tidak mempunyai lif, jadi anda perlu turun naik tangga yang sedia ada untuk ke bilik. Satu lagi, anda perlu bersabar sementara menunggu pelayan tetamu kerana mereka perlu turun dari tingkat dua untuk membuka pintu apabila anda tiba. Tetapi jangan risau, kerana anda akan diberikan kad akses setelah mendaftar masuk untuk memudahkan anda keluar masuk hotel ini.

Hotel butik yang selesa ini hanya mempunyai lapan bilik, dengan empat tambahan lain dalam binaan. Walaupun biliknya agak padat, ia mempunyai semua kelengkapan asas yang anda perlukan. Setiap bilik dilengkapi katil bersaiz queen, sebuah TV, dan almari untuk menggantung pakaian anda, serta jubah mandi dan selipar. Setiap bilik juga mempunyai soket universal dan port USB untuk kegunaan pelancong antarabangsa.

Bukan sahaja selesa, malah bilik kami yang cerah dan lapang ini mempunyai rekaan dalaman yang menawan dengan gabungan konsep moden dan tradisional. Yang paling kami paling suka ialah reka bentuk bingkai katilnya yang diperbuat daripada kayu dengan kepala katil kaca dan keluli! Sarung kusyen berwarna putih dan biru bercorak burung yang diletakkan di atas katil membuat kami berasa seperti di rumah. Secara keseluruhan, rona warna bilik ini yang sejuk mata memandang membuat kami rasa tenang.

Kami ingin mengingatkan anda bahawa bilik mandi di sini tidak berpintu. Ia digantikan dengan langsir tebal yang memisahkan bilik mandi dengan bahagian bilik ini yang lain. Jika anda kurang selesa dengan konsep ini, mainkan saja muzik melalui tambahan pembesar suara Bluetooth yang ada di dalam ruang mandi, dan pasangan anda yang berada di bilik takkan mendengar apa-apa bunyi pun 😉

Puas mengamati biliknya, kami terus ke tingkat pertama. Di sini, terdapat bilik makanan atau pantry untuk anda membancuh teh dan kopi, sambil berborak dengan pengunjung lain. Lihatlah dapurnya yang cantik dengan permukaan meja marmar ini!

Pulau Pinang cukup sinonim dengan pelbagai tempat yang Insta-worthy, dan hiasan dalaman Tien Hotel sama sekali tidak mengecewakan. Apa yang menarik perhatian kami ialah bahagian tangga yang menuju ke tingkat dua, dengan dinding yang dihiasi panel kayu putih dan bingkai tingkap berpanel kaca. Terlihat perbezaannya yang jelas dengan padanan tangga berjubin mozek gaya old-school serta pencahayaan lembut, yang membuatkan bahagian ini sesuai untuk gambar idaman Instagram anda!

Jika anda mencari penginapan yang bergaya dan selesa di tengah-tengah George Town, Tien Hotel adalah tempatnya!

Tarikan dan aktiviti

Anda boleh berjalan kaki dari hotel ini untuk ke tempat-tempat tarikan terkenal di George Town yang berhampiran. Tien Hotel sememangnya penginapan paling sesuai untuk mereka yang ingin mendekati bandar warisan ini. Ini di antara aktiviti kegemaran kami semasa menginap di sini:

 

Belajar tentang sejarah di Khoo Kongsi

Khoo Kongsi merupakan rumah kongsi kaum Cina yang terbesar di Malaysia. Dibina pada abad ke-19 oleh keluarga Khoo yang kaya dan berpengaruh dalam perdagangan Pulau Pinang semasa era kolonial, rumah kongsi ini dibina khas untuk mempamerkan kejayaan keluarga mereka. Di sini, anda boleh mendalami warisan dan sejarah keluarga Khoo. Anda juga boleh menghayati keterperincian seni binanya yang menampilkan ukiran kayu yang mahal dan hiasan mewah. Fakta menarik: rumah kongsi ini merupakan salah satu lokasi penggambaran filem Anna and the King!

Khoo Kongsi Pulau Pinang

18, Cannon Square, George Town

Waktu operasi: 9.00am – 5.00pm

Tel: +604 261 4609

Bersiar-siar di sekitar Hin Bus Depot

Hin Bus Depot merupakan sebuah gudang syarikat bas pada sekitar 1950-an. Setelah bertahun-tahun dibiarkan kosong, Ernest Zacharevic; artis yang telah menghasilkan beberapa lukisan mural terkenal di sekitar George Town, telah menggunakan ruang terbiar ini untuk mengadakan pameran solo beliau iaitu Art is Rubbish is Art pada tahun 2014. Kini, syurga seni Pulau Pinang ini sentiasa sibuk dan turut menempatkan beberapa tarikan lain seperti galeri seni, sebuah kafe dan pasar pop-up setiap hari Ahad.

Hin Bus Depot

31A, Jalan Gurdwara, George Town

Waktu operasi: 12.00pm – 8.00pm (Isnin hingga Jumaat), 11.00am – 8.00pm (Sabtu dan Ahad)

Nasi kandar di Deens Maju untuk makan malam

Perjalanan anda ke Pulau Pinang tidak lengkap tanpa menikmati sekurang-kurangnya sepinggan nasi kandar! Untuk yang belum pernah mencubanya, nasi kandar ialah sejenis nasi kukus yang dihidang dengan beberapa pilihan kari dan lauk sampingan seperti ayam goreng, sayur-sayuran dan pelbagai makanan laut. Makanan ini dipopularkan oleh pedagang India Muslim dari India yang menetap di Pulau Pinang berabad tahun lalu. Cara terbaik untuk menikmatinya? Mestilah dengan menuangkan kuah kari ‘banjir’ dalam pinggan nasi anda. Ia lebih lazat jika dimakan dengan ayam goreng rangup dan sayur bendi. Mmm… yum yum!

Deens Maju Nasi Kandar

Jalan Gurdwara, George Town

Tel: +6012-425 2421

Waktu operasi: 2.30pm – 11.00pm setiap hari

 

_________________

 

Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

 

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share