Penginapan Hebat

The Culvert Hotel Resort: Pintu masuk ke hutan dan lautan di Santubong

Teringin mengembara ke tempat yang dikelilingi oleh alam semula jadi? Temuinya di Santubong, Sarawak. Bandar tepi laut ini terletak 30 km dari ibu negeri Sarawak, Kuching, dan ia menjadi destinasi terbaik untuk menikmati aktiviti tropika di sebalik latar kehijauan. Lokasi yang berdekatan Taman Negara Santubong juga membuatkannya tempat yang sesuai untuk lawatan sehari ke destinasi pinggir pantai dan hutan hujan.

Teringin mendaki gunung atau menyelam bersama penyu laut? Lakukan kedua-duanya sekali di sini! 

Terletak di atas tebing di Santubong, The Culvert Hotel Resort dilengkapi dengan semua keperluan kembara anda. Anda akan tidur di dalam bilik yang dibina semula daripada paip pembetung konkrit, dan walaupun kemewahannya tidak terasa, The Culvert mempunyai cara tersendiri untuk menjadikan pengalaman anda sangat indah! 

Dengan hiasan yang Insta-worthy di setiap sudut resort, anda pastinya ingin lebih meneroka setiap kawasan di sini. Biar kami bawa anda ke sana, teruskan membaca. 

Percutian yang menenangkan

Dibuka pada tahun 2017, The Culvert Hotel Resort dikelilingi suasana hutan hujan yang tenang untuk percutian tanpa gangguan. Pengalaman kami di sini sangat hebat! Resort mesra alam ini menampilkan rekaan yang lapang dan terbuka supaya anda dapat menikmati alam semula jadi sepenuhnya (pastikan anda membawa ubat penghalau serangga!). Terdapat 43 buah paip pembetung konkrit yang diubah suai menjadi bilik dan kami menginap di dalam bilik Deluxe Double yang menghadap laut. 

Dengan hiasan minimal, bilik bergaya industrial ini mungkin kelihatan sedikit kompak, tetapi ia menawarkan semua kelengkapan untuk penginapan yang selesa. Katil bersaiz queen yang dimuatkan menyediakan laci menyimpan barang. Biliknya dilengkapi penghawa dingin, dan perkakas seperti selipar dan beg galas untuk digunakan dalam kawasan hotel turut disediakan. Jika anda hanya ingin berehat di bilik, terdapat peranti yang telah dicaj untuk anda menonton rancangan Netflix kegemaran anda atau bermain permainan. 

Perlukan Internet yang laju untuk memuat naik gambar percutian anda yang on point itu? Jangan risau, terdapat akses Wi-Fi percuma di sekitar resort untuk kegunaan tetamu. 

Bilik airnya dipisahkan dengan pintu leret kayu dan ia turut menawarkan peralatan mandi yang lengkap. Tak perlu bersusah membawa apa-apa! Kami terpegun bagaimana ruang yang kecil sebegini mampu memuatkan katil dan bilik air yang agak luas.

Dikelilingi oleh kehijauan 

The Culvert mempunyai bukan satu, tetapi DUA kolam renang. Satu terletak di sebelah restoran, dan satu lagi di atas tebing menghadap pantai. Semasa siang, kolam renang berwarna biru laut ini nampak cantik di sebalik teduhan pokok tinggi di sekelilingnya. Kemudahan seperti kerusi, buaian besar dan bar tepi kolam berwarna-warni yang disediakan di sini bukan sekadar cukup Instagrammable, malah ia sememangnya direka untuk keselesaan anda. 

Di kawasan ini juga terdapat sauna, tetapi jika anda tiba pada hari yang panas seperti kami, kolam renang di sini mungkin menjadi pilihan yang lebih sesuai. Anda juga boleh meneroka pantai peribadi yang terletak sangat dekat dari sini. Disebabkan kurang diketahui, kadangkala terasa seperti pantai itu milik anda sepenuhnya! 

Jika anda lapar tetapi tidak mahu keluar jauh, Tanju’ Cafe & Bistro kepunyaan resort ini menawarkan pelbagai menu yang menyelerakan. Daripada hidangan tempatan asli hinggalah kegemaran antarabangsa, para chef berpengalaman di sini mampu memuaskan citarasa anda! Sajian bufet sarapan yang tersedia di sini juga agak hebat, dengan tawaran makanan tempatan seperti nasi goreng hinggalah hidangan Eropah seperti sosej dan salad. Yang penting, isi perut anda dahulu sebelum keluar mengembara!

Sedia untuk pengembaraan impian anda? Jom terokai keindahan dunia luar di The Culvert Hotel Resort dan tempah melalui Traveloka! 

Tarikan dan Aktiviti 

Santubong dipenuhi dengan pelbagai daya tarikan alam yang menawan hati pelancong. Jika anda masih buntu dari mana untuk memulakannya, ini beberapa aktiviti kegemaran kami yang boleh dicuba:

Menyelam di Pulau Satang 

Santubong sangat popular dengan kepelbagaian aktiviti air yang menarik. Di sini terdapat dua buah pulau iaitu Satang Besar dan Satang Kecil. Banyak aktiviti menyelam diadakan sekitar Satang Besar, di mana populasi terumbu karang menjangkau dua pertiga dari keluasan pulau ini, dan lebih banyak permukaan berbatu. Pelbagai hidupan laut dan batu karang yang cantik boleh ditemui dalam perairan pulau ini. Pastikan anda membawa kamera untuk merakam saat-saat indah anda semasa menyelam!

Mendaki Gunung Santubong 

Mencari cara lain untuk menikmati alam semula jadi? Cabar diri anda untuk mendaki Gunung Santubong! Popular dalam lagenda, gunung ini terletak 810 meter di atas paras laut dan ia menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang luas terbentang. Sambil mendaki ke puncak, anda dapat melihat suasana Gunung Santubong yang mengagumkan. Jika bertuah, anda dapat melihat hidupan liar yang menetap di kaki pergunungan Santubong juga! 

Nikmati hidangan asli Orang Ulu di Lepau 

Lengkapkan pengembaraan anda di Santubong dengan menikmati makanan tradisional Sarawak. Kami cadangkan anda mencuba hidangan asli Orang Ulu di Lepau, yang bermaksud “pondok kebun” dalam bahasa Kayan. Terletak 30 km dari Santubong, Lepau menawarkan pelbagai hidangan tempatan asli dalam restoran bergaya pondok. Antara menu yang perlu dicuba termasuklah Ayam Pansuh (sup ayam dimasak dalam buluh), Umau (hirisan ikan mentah dengan campuran bawang, cili, garam dan jus limau) dan Midin (pucuk paku tumis dengan bawang putih, cili dan belacan). Mmm… sangat lazat! 

Pergi ke sini:

95 Jalan Ban Hock, Kuching

Nombor: 012-884 5383

Waktu operasi: 11.00pg – 2.30ptg, 6.00ptg – 11.00mlm (tutup pada hari Ahad)

 


Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu! 

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share