Penginapan Hebat

The Chow Kit – An Ormond Hotel: Hotel butik yang ideal di KL

Menginap di hotel butik adalah cara yang unik untuk mengenali sesuatu bandar itu. Hotel butik mempunyai karakter, sentuhan peribadi dan perincian yang indah. Kadangkala, hotel ini juga membawa aura seperti anda berada di rumah sendiri! Trend hotel gaya butik menjadi popular di seluruh dunia dan nampaknya akan kekal popular. Walaupun hotel gaya ini banyak di Kuala Lumpur, tetapi hotel baru ini – The Chow Kit – An Ormond Hotel – menetapkan penanda aras yang baru.

The Chow Kit – An Ormond Hotel terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur lama dan merupakan hartanah butik pertama milik Ormond Group. Dengan konsep baru dan lama, hotel butik terbaru ini akan membawa anda kembali ke masa silam dengan seni bina dan hiasan dalaman tempatan yang dipamerkan di seluruh hotel ini. Ingin tahu apa yang istimewa dari hotel ini? Baca di bawah!

Anda tahu apa yang mereka katakan tentang cinta pandangan pertama? Itulah yang kami rasa apabila melangkah ke lobi ini. Ia dihias indah dengan perabot rotan, sofa yang selesa dan permaidani. Lekapan lampu berbentuk geometri menambah lagi tema lama dan moden. Sangat sesuai untuk mengambil gambar Instagram!

Di tingkat yang sama, anda akan dapat melihat The Chow Kit Kitchen and Bar. Restoran adalah nadi untuk setiap hotel, begitu juga di sini. Walaupun terdapat banyak pilihan tempat makan di sekitar kawasan ini, restoran yang berkonsepkan tempat makan ala baru oleh Christian Bauer dan Eddie Chew oleh Troika Sky Dining, adalah seperti permata yang masih belum ditemui. Menawarkan hidangan Malaysia klasik dengan menu rekaan baru seperti salad nangka (kerabu), wagyu char siew bun, dan kegemaran kami – ribeye dengan sambal hijau (salsa cili hijau), restoran ini seperti memanggil-manggil foodies untuk mencuba makanan di sini!


Di buka sepanjang hari, para tetamu boleh menikmati sarapan à la carte, menu makan tengah hari yang sesuai untuk bersosial atau makan bersama keluarga. 

Jika anda melancong dalam kumpulan dan inginkan privasi ketika menjamu selera, The Library adalah ruang indah yang direka untuk tujuan ini. Ruang bermotif kertas dinding bunga ini dilengkapi dengan meja kayu dan marmar yang besar sesuai untuk majlis makan malam peribadi, atau perjumpaan kecil sehingga 10 orang.


Hotel ini mempunyai 113 bilik bertema klasik, yang memaparkan pelbagai sejarah dan budaya di Kuala Lumpur melalui hiasannya yang terperinci. Setiap bilik memancarkan kelas dan keanggunan serta mengekalkan keselesaan seperti di rumah sendiri. Sepanjang penginapan kami, kami bernasib baik kerana dapat menginap di Suite Towkay yang mempunyai katil bersaiz mewah dan ruang istirahat yang menghadap bandar Kuala Lumpur. Dihiasi dengan warna hijau baldu dan mahogani, dan dilengkapkan lagi dengan perincian loyang. Kami suka apabila sesebuah hotel memilih rekaan yang berani! Selain itu, bilik ini dilengkapi dengan TV berskrin rata, almari pakaian terbuka dan ruang meja, bar mini dan peralatan mandian yang ditempah.

Jadi, jika anda mencari tempat tinggal yang mempunyai konsep mewah yang ringkas dengan perkhidmatan, reka bentu dan harga yang hebat, The Chow Kit – An Ormond Hotel adalah pilihan terbaik anda!

Lihat dan Lakukan

Bergaya di Kwai Chai Hong

Tempat yang diberi nafas baru di Kwai Chai Hong adalah tempat yang mesti dikunjungi walaupun anda orang tempatan. Di lorong ini terdapat enam mural yang menggambarkan aktiviti harian peneroka Cina awal di kawasan itu pada tahun 1960-an. Diwarnai oleh lima artis tempatan: Khek Shin Nam, Chan Kok Sing, Chok Fook Yong, Chew Weng Yeow dan Wong Leck Min, masing-masing memiliki gaya lukisan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Cina. Pastikan untuk melihat bangunan Persatuan Yan Keng Benevolent Dramatic  dan Stadium Chin Woo berdekatan!

Kwai Chai Hong

Lorong Panggung, Kuala Lumpur

Waktu buka: 9 pagi – 6 petang

Kemasukan adalah percuma

 

Beli-belah di Central Market

Central Market tidak asing lagi dalam senarai yang mesti dilakukan di Kuala Lumpur. Dengan segala-galanya di bawah satu bumbung, tempat ini cukup sempurna jika anda ingin membeli cenderamata untuk dibawa pulang. Di dalam bangunan bergaya Art Deco, anda boleh menemui pelbagai butik, kraftangan dan kios cenderahati yang menjual barangan tempatan seperti batik cetak Malaysia, wau bulan, hiasan rumah dan banyak lagi!

Central Market

Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur

Waktu buka: 10 pagi – 10 malam

 

Ketahui mengenai wang di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara

Anda fikir belajar tentang ekonomi dan wang membosankan? Tidak di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara! Ditubuhkan oleh bank pusat negara, anda boleh mempelajari segala-galanya tentang wang, perancangan kewangan, ekonomi dan kewangan Islam di muzium. Anda juga boleh cuba membuka peti besi bank dengan meneka kod laluan! Ini juga merupakan peluang untuk anda melihat koleksi seni kontemporari Malaysia terkenal di Galeri Seni Bank Negara. Ia adalah aktiviti yang sempurna untuk dilakukan dengan anak-anak juga!

Muzium dan Galeri Seni Bank Negara

Sasana Kijang, 2 Jalan Dato ‘Onn, Kuala Lumpur

Waktu buka: 10 pagi – 6 malam (dibuka setiap hari, kecuali Hari Raya Aidilfitri)

Kemasukan adalah percuma

________________________________________________________

Dengan pelbagai penginapan di seluruh negara, pastinya sukar untuk memilih. Kalau tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Super Stays’ Traveloka setiap minggu!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share