Temple Tree Resort Langkawi: Resort romantik seperti menginap dalam muzium antik

Temple Tree Resort Langkawi: Resort romantik seperti menginap dalam muzium antik

Ketika kami melalui pintu masuk jalan kerikil di kediaman ini, suasana huru-hara di kawasan pantai yang berdekatan seakan tenggelam dan terasa begitu jauh. Serta-merta, pokok palma dan kehijauan dedaun mengelilingi kami dan pancaindera kami serta merta menangkap bunyi-bunyian yang amat tenang didengari – bunyian alam semula jadi.

Terdapat banyak penginapan untuk dipilih di Langkawi. Tapi jika anda idamkan resort dengan pengalaman yang unik dan berkualiti tinggi, Temple Tree Resort ialah penginapan untuk anda.

Di bawah rimbunan pokok-pokok yang teduh muncul bangunan yang pertama, sebuah rumah kayu di atas panggung dengan tangga batu. Melihat sekeliling, kelihatan beberapa rumah antik yang lain menghiasi kawasan resort itu.

Apabila melangkah masuk ke rumah utama, kami disambut oleh si kecil, comel dan berbulu (yang pertama daripada banyak kucing yang dibenarkan berkeliaran bebas di kawasan ini).

Tuan rumah wanita yang mesra pula muncul dengan senyuman besar di wajahnya dan jus nanas yang segar ditawarkan untuk kami. Leganya rasa daripada panas terik matahari!

Pengenalan pemilik resort ini bermula dengan sejarah ringkas rumah antik yang dipanggil Straits Club House. Ia berusia lebih daripada 90 tahun dan berfungsi sebagai bilik menyambut tetamu, perpustakaan, bilik permainan dan bar.

Menurut beliau, pengalaman menginap di Temple Tree ini seperti tinggal di sebuah muzium, kerana resort ini menempatkan 8 buah rumah warisan Malaysia yang berusia daripada 70 hingga 120 tahun. Bangunan-bangunan antik ini berasal dari kampung-kampung tempatan, yang dibawa ke tapak resort, yang kemudian dibina semula dan dipulihara dengan baik sehingga sekarang. Beliau juga amat meminati barang-barang antik dari bangunan zaman kolonial yang memiliki ciri-ciri masyarakat Cina, Melayu, India dan Eurasia.

Kemudian, kami juga diberi peta terperinci kawasan resort itu, termasuklah senarai barangan yang disediakan untuk para tetamu seperti kain sarung batik yang boleh dipakai ke pantai atau kolam renang, teropong untuk melihat burung dan tripod untuk sesi fotografi jika diperlukan.  Semuanya tersedia untuk kegunaan anda atau untuk membeli.

Menyelami sejarah

Selepas pengenalan yang cukup menarik, kami berjalan keluar dari rumah utama dan dibawa ke suite kami, sebuah rumah desa berwarna merah dan hijau yang digelar Penang Suite. Yang menariknya, kesemua bangunan dan bilik-bilik di sini mempunyai nama yang berbeza kerana mewakili gaya dan warisan budaya Melayu yang berbeza.

Ketika menjejakkan kaki ke dalam suite kami, perasaan gembira menguasai kami apabila melihat bilik yang dihiasi dengan perabot antik dan hiasan dalaman yang sangat unik, seolah-olah setiap barangan itu masih mempunyai memori yang terkandung dalam setiap satunya.

Walaupun bahagian luar resort kelihatan masih mengekalkan struktur asalnya, bahagian dalaman telah dilengkapkan dengan campuran pelbagai budaya yang berasal dari Thailand, Indonesia dan lain-lain tempat. Permaidani dengan warna terang terletak di atas lantai kayu dan kusyen berbilang warna melengkapkan isandarkan pada kerusi dan katil di mana-mana.

Yang lebih mengembirakan kami ialah ketika melihat tab mandi kayu yang terletak cantik, dengan otoman dan katil rehat berdekatan. Nah, sebuah bilik spa kecil hanya untuk kami! Ini buat kami lebih berinspirasi untuk membeli sabun mandi  lilin wangi dan minyak pati apabila kami ke bandar nanti. Dalam ruang yang berasingan, bilik mandi ini mempunyai dua sinki berasingan untuk lelaki dan wanita serta pancuran mandi dengan gaya hujan, dilengkapkan lagi dengan peralatan mandi yang diperbuat daripada minyak dan aroma organik buatan tempatan. Nikmatnya!

Resort ini juga menitikberatkan keselesaan dan keperluan para tetamu untuk memastikan rehat yang selesa di sini. Contohnya, pelayan wanita kami menjelaskan bahawa sarapan pagi terdiri daripada buah-buahan segar, yoghurt, roti dan jus yang baru diperah, dan semuanya akan disediakan di dalam bilik pada malam sebelumnya. Langkah kecil ini amat bermakna bagi pasangan bercinta dan berbulan madu, kerana ia memastikan bahawa para tetamu menerima privasi sepenuhnya sepanjang penginapan mereka.

Di sini, anda boleh menyewa sebuah bilik persendirian atau seluruh rumah – sama ada berpasangan atau seisi keluarga atau berkumpulan, Temple Tree menjanjikan pengalaman yang benar-benar indah dan menarik.

Jadi jika anda sedang mencari-cari percutian pulau yang asli, dengan gaya desa dan tenang, tempah penginapan anda di sini – Temple Tree Resort, Langkawi!

LASSie & Bon Ton Resort

Resort ini berjiran dengan Temple Tree dan dimiliki oleh pengasas yang sama. Ia dipanggil Bon Ton Resort dan tetamu dari Temple Tree dibenarkan untuk menggunakan kolam renang di Bon Ton dan melawat kemudahan lain seperti restoran dan kedai cenderamata.

LASSie (Langkawi Animal Shelter & Sanctuary Foundation) adalah projek yang dimulakan oleh pengasas Temple Tree, dan terletak bersebelahan kawasan Bon Ton. Tempat lindungan haiwan ini merupakan lokasi kepada satu-satunya doktor haiwan di Pulau Langkawi. Pelawat juga boleh membantu dengan membawa anjing-anjing di sini berjalan-jalan pada waktu pagi dan petang.

Kalau anda singgah di kedai cenderamata LASSie, anda akan dapat melihat papan tanda dengan tulisan “Tidak ada pakaian yang lengkap tanpa bulu kucing“, tetapi jika anda kurang meminati kucing, jangan takut, haiwan comel ini hanya berkeliaran di luar kawasan resort tanpa menganggu pengunjung.

Jika anda atau anak anda jatuh hati dengan kucing-kucing di sini dan berhasrat untuk memelihara, tempat perlindungan ini juga boleh mengatur penghantaran kucing pilihan anda untuk pulang bersama anda. Cenderahati yang comel bukan!

Antara kemudahan lain seperti WiFi yang tersedia di semua kawasan awam. Dan jika anda memilih untuk menginap lebih lama, kakitangan hotel ini akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk keselesaan anda sehingga tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal.

Aktiviti untuk dilakukan

1.  Bersiar-siar sambil memandu di sekitar pulau

Walaupun agak menyeronokkan berbaring sambil berjemur sepanjang hari, sebenarnya ada banyak yang boleh dilihat dan dilakukan di sekitar pulau ini. Dengan saiz Langkawi kecil, anda boleh memandu keliling pulau dengan hanya mengambil masa selama 30 minit. Lihat haiwan ternakan yang berkeliaran dengan lebih dekat atau kenali budaya tempatan dengan mengunjungi tarikan warisan tempatan di sini.

2.  Perdana Stables

Nak lihat kuda? Singgah di Perdana Stables di Telaga Harbour. Ia adalah pusat ekuestrian yang dikendalikan oleh pakar dan dijalankan secara profesional oleh H.E.M. Hanssens, bersama-sama dengan keluarganya, serta pasukan berkuda yang berdedikasi dan mencintai kuda. Ia jelas dalam cara mereka menjaga dan melatih haiwan-haiwan yang cantik ini. Jangan terlepas pertunjukan kuda mingguan mereka yang menakjubkan. Anda boleh menyaksikan para profesional yang terlatih ini menunggang kuda mereka sambil melakukan aksi seperti perlumbaan barel, kekubah dan lompatan api!

3.  Ladang Ikan Tanjung Rhu dan Restoran Terapung

Tiada percutian pantai yang lengkap tanpa sesi menjamu selera makanan laut, dan kami telah menjumpai tempat yang cukup sempurna! Terletak di utara dan kira-kira 20 minit dari lapangan terbang Langkawi, Tanjung Rhu Fish Farm dan Floating Restaurant menyediakan perkhidmatan bot percuma untuk pengunjung dari jeti ke restoran terapung yang unik ini. Alami pemandangan lautan dan pergunungan yang mengagumkan ketika anda memilih makanan laut segar, terus dari laut! Jangan terlepas ses lawatani pendidikan selamat 15 minit bersama hidupan laut serta ikan gergasi yang cukup menghiburkan.

_________________________________________________________

Dengan pelbagai penginapan di seluruh negara, pastinya sukar untuk memilih. Kalau tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

 

Diterjemahkan oleh: Imara Natchiar

60 Shares
Share60
Tweet
+1
Pin
Share