Penginapan Hebat

Swiss-Garden Hotel & Residences: Syurga penginapan terbaru di Genting Highlands

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

 

Cuaca yang panas pasti merimaskan, alangkah indah jika kita dapat menikmati suasana lebih tenang dengan suhu rendah dan udara segar, kan? Pada pendapat kami, Genting Highlands adalah antara destinasi terbaik untuk meninggalkan kesibukan bandar buat sementara. Lebih-lebih lagi, syurga staycation ini ditambah dengan hotel terbaru yang sesuai untuk beristirahat! 

Swiss-Garden Hotel & Residences yang bertempat di Genting Permai hanya mengambil perjalanan 30 minit menaiki kereta dari Kuala Lumpur. Disebabkan lokasinya yang berdekatan puncak Genting Highlands, anda dapat menikmati pelbagai pilihan aktiviti di sini dengan mudah. Selepas mengunjungi taman tema dalam bangunan Skytropolis, membeli-belah di Genting Premium Outlet, dan menjamu selera di SkyAvenue, pulang ke hotel yang jauh daripada kesesakan pengunjung ini pasti melegakan. 

Ruang yang luas, selesa

Baru dibuka pada Julai 2019, Swiss-Garden Hotel & Residences masih dalam keadaan kemas dan teratur. Kami teruja menjadi di antara tetamu pertama untuk menginap di sini! 

Berkeluasan 34 meter persegi, kami terpegun dengan bilik Deluxe King ini yang rasa-rasanya cukup besar untuk memuatkan sebuah lagi bilik di dalam. Selain daripada gabungan warna yang menyedapkan mata, kami tertarik dengan aturan biliknya yang minimalis dan praktikal — katil bersaiz king di tengah, serta meja tulis dan TV flat-screen. Selepas seharian meneroka Genting, pasti anda hanya mahu berbaring di atas katil yang empuk ini tanpa membuat apa-apa! 

Bilik ini turut dilengkapi kemudahan membuat teh dan kopi, sebuah almari, dan peti deposit keselamatan. Walaupun kemudahan yang disediakan agak sederhana, ruang tempat duduk tepi tingkap yang menghadap pemandangan tanah tinggi menjadi pelengkap penginapan yang tenang ini. 

Bilik mandi juga sangat luas dan cermin dindingnya yang besar memberikan gambaran ruang yang lebih lapang daripada sedia ada. Tuala mandi yang disediakan juga sangat lembut!

Berenang di bawah bintang

Pelbagai keseronokan ditempatkan di tingkat 41. Kami sukakan ruang kecil berbingkai ‘A’ yang dihiasi perabot kayu dengan rona bumi ini. Penampilan dan nuansa ruang tersebut menyerlah di sebalik latar belakang semula jadi di sini. Tempat yang sesuai untuk mengopi dan bersantai! 

Apa yang paling menarik tentang hotel ini adalah kolam renang dengan sistem pemanasan yang terletak di atas bumbung. Tak perlu lagi merendam kaki untuk ‘test air’, anda boleh lompat terus ke dalam kolam ini. Berendam dalam air suam sambil menghirup udara pergunungan yang sejuk pasti menyegarkan! 

Hotel ini turut menawarkan kemudahan gimnasium untuk anda bersenam dan membuat latihan. Untuk melegakan badan yang penat, nikmati kemudahan jakuzi dan sauna yang disediakan. 

Agak sukar untuk mencari tempat makan yang baik untuk menjamu selera di sekitar kawasan Genting Permai. Nasib baik hotel ini menawarkan pilihan hidangan tempatan dan masakan Barat yang mampu memuaskan selera anda. Kami cadangkan anda mencuba kari kambing yang enak dimakan bersama roti panas dan terung goreng telur masin. Legakan tekak dengan segelas jus buah-buahan atau sayuran segar! 

Untuk penginapan menyegarkan di kawasan pergunungan, pastikan anda melihat Swiss-Garden Hotel & Residences!

Keputusan kami: Disebabkan hotel ini masih baru beroperasi, anda perlu menjangkakan sedikit kelewatan dalam perkhidmatan. Swiss-Garden adalah jenama terkenal dalam industri hospitaliti, jadi anda masih akan menikmati penginapan yang memuaskan dengan layanan baik daripada staf hotel mereka yang mesra di sini. 

Tarikan dan Aktiviti

Swiss-Garden Hotel & Residences terletak berhampiran banyak tempat tarikan pelancong. Lihat beberapa tarikan kegemaran kami semasa menginap di sini: 

 

SeniKome Péng Hēng 

Seni Kome, yang bermaksud ‘seni kita’ dalam dialek Pahang, didedikasikan bagi mempromosi seni kraftangan, fesyen, permainan, makanan dan muzik dari Pantai Timur Malaysia. Anda juga boleh mendalami sejarah melalui artifak dan karya lukisan di sini. Pastikan anda meluangkan masa untuk melihat pameran khas tentang komuniti orang asli di sini! 

Pusat kesenian dan kebudayaan ini juga menyediakan ruang untuk anda bermain pelbagai permainan tradisional. Lupa cara bermain congkak? Jangan risau, petugas di sini akan membantu anda! 

SeniKome Péng Hēng 

Aras 4, First World Plaza

Lawatan pengalaman berpandu diadakan tiga kali sehari

Waktu operasi: 10.00 pagi – 10.00 malam (setiap hari)

 

Happy Bee Farm

Terletak dalam perjalanan empat minit dari Swiss-Garden Hotel & Residences, Happy Bee Farm Genting menawarkan peluang untuk anda mendalami penternakan lebah di Genting Highlands. Di sini terdapat kebun rama-rama, kafe, dan kedai yang menjual pelbagai produk seperti debunga lebah, royal jelly, propolis, dan madu asli dengan harga berpatutan. 

Anda juga berpeluang untuk memerhati sekumpulan lebah melalui panel lutsinar tertutup. Jika anda bertuah, anda boleh melihat penjaga lebah mengumpul madu asli daripada sarang lebah sambil dikerumuni lebah-lebah lain. Pada hujung lawatan, anda boleh membawa pulang sebotol madu ini! 

Happy Bee Farm & Insect World

8, Jalan Meranti, Genting Highlands

Waktu operasi: 9.00 pagi – 9.00 malam (setiap hari)

 

FUHU Restaurant & Bar

Tawaran terbaru daripada Zouk Group iaitu FUHU Restaurant & Bar yang diterajui oleh chef tiga bintang Michelin, Alvin Leung, menjanjikan makanan klasik Asia dengan sentuhan yang kontemporari. Antara yang perlu dicuba termasuk itik panggang Fuhu, mi udang karang Boston, sup udang karang masam manis gaya Szechuan, serta wafel dengan ayam goreng. Hiasan dalamannya memang mengagumkan dengan pemasangan seni istimewa, pencahayaan dan playlist muzik yang menarik. Ia memberikan suasana yang sesuai untuk bersuka ria! 

FUHU Restaurant & Bar

Aras G, SkyAvenue

Waktu operasi: 6.00 malam hingga lewat malam (Isnin hingga Ahad)

______________________________________________________________________

Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu! 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share