Penginapan Hebat

Penginapan pilihan di Singapura: Hotel terbaik untuk semua pengembara

Jika pengembara boleh setuju dengan satu perkara, mereka pasti setuju jika penginapan mereka perlu ada tiga faktor ini: bersih, selesa dan dekat.

Tapi pernah tak anda berasa takut terpilih hotel yang berbahaya, sehingga anda tidak pasti apa yang bakal mengejutkan anda atau tidak sama seperti yang diiklankan?

Berita baik: untuk memudahkan anda merancang percutian ke Singapura, kami akan bantu anda untuk buat sedikit kajian!

Tidak kisah apa alasan anda melancong ke sana, anda pasti dapat memilih hotel yang sesuai dengan selera anda:

Untuk dekat dengan kawasan membeli belah, menginap di Bugis

Pasar di Jalan Bugis. Sumber: 2p2play / Shutterstock.com

Bugis Junction seperti syurga dunia kepada para pembeli, dengan pelbagai pilihan daripada fesyen mewah hinggalah pakaian yang biasa-biasa saja. Kalau berminat melihat aksesori, semuanya ada di Haji Lane.

Anda mahu merasai lebih dekat budaya tempatan, pergilah berjalan-jalan di Bugis Street Market yang dipenuhi dengan beratus-ratus kedai menjual bermacam-macam benda dan semuanya boleh ditawar-menawar!

Cadangan kami:

Summer View Hotel (3*)

Terletak di antara Stesen MRT Rochor dan Stesen Bugis, hotel kontemporari ini bersih dan sederhana tapi selesa. Anda hanya perlu berjalan 5 minit saja untuk ke Bugis Street dan Sim Lim Market.

Hotel Grand Pacific (4*)

Anda seorang ulat buku? Jika ya, anda pasti menyukai hotel yang terletak berhadapan dengan Perpustakaan Negara dan Bras Basah Complex, yang juga dikenali sebagai Singapore’s City of Books kerana kepadatan kedai buku di sana.

Fragrance Hotel Bugis (2*)

Rangkaian Fragrance Hotel dikenali kerana menyediakan penginapan yang berbaloi dan hotel ini juga terletak hanya 10 minit dari Stesen MRT Bugis dan Bugis Junction.

 

Untuk keseronokan dan masa bersama keluarga, menginap di Sentosa

Universal Studios Singapore. Sumber: Stockforliving / Shutterstock.com

Jika anda membawa kanak-kanak atau menyukai taman tema, jadi pulau resort Sentosa sememangnya untuk anda. Bersedialah untuk sampai ke sana dengan bergaya melalui kereta kabel yang menawarkan pemandangan pulau dari atas.

Universal Studios Singapore tentunya tarikan utama di pulau tersebut, namun terdapat juga taman dan pantai bagi peminat alam semulajadi, serta aktiviti mendebarkan seperti zip-line, luge course, dan pelbagai aktiviti sukan air.

Cadangan kami:

Resort World Sentosa – Festive Hotel (5*)

Hotel mesra keluarga ini akan membuat anda melonjak keriangan kerana ia berdekatan saja dengan tarikan pelancong yang popular di Sentosa seperti Universal Studios Singapore dan SEA Aquarium.

Siloso Beach Resort (4*)

Peminat alam semulajadi pasti mahu menginap di resort eco ini. Resort berkonsepkan hutan hujan ini menyelubungi anda dengan kehijauan dan pemandangan memukau yang menghadap Pantai Siloso dan Laut China Selatan.

Costa Sands Resort (Sentosa) (2*)

Terletak di antara kehijauan Sentosa, resort ini adalah tempat untuk anda melarikan diri seketika daripada bandar yang sibuk. Pantai Siloso hanya beberapa minit berjalan kaki, sementara pelbagai hiburan dan tempat makan di pulau ini juga mudah diakses.

 

Untuk merasai warisan Singapura, menginap di Kallang

Universal Studios Singapore. Sumber: Stockforliving / Shutterstock.com

Kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah bandar, Kallang menjadi rumah kepada beberapa tapak bersejarah, seperti Central Sikh Temple sepanjang Towner Road dan Merdeka Bridge sepanjang Lebuh Raya Nicoll, dan terletak berhampiran dengan kawasan warisan seperti Little India dan Jalan Besar.

Terdapat juga Singapore Sports Hub – termasuklah National Stadium yang baru dan Indoor Stadium yang merupakan salah satu tempat popular untuk konsert besar dan pernah mengadakan konsert untuk Coldplay dan Taylor Swift.

Anda yang sukakan aktiviti lasak, banyak aktiviti yang boleh anda lakukan seperti skating ais, kayak hinggalah mendaki.

Cadangan kami:

Hotel Boss (4*)

Lokasinya yang strategik di tengah-tengah Kallang, hotel chic ini sesuai untuk pengembara yang datang ke Singapura atas urusan perniagaan atau berhibur. Anda juga hanya perlu berjalan 5 minit saja dari Stesen MRT Lavender.

Aqueen Jalan Besar Hotel (3*)

Penginapan di sini sangat selesa membuatkan anda berasa seperti “permaisuri” (atau raja). Hanya 10 minit dari jalan yang meriah seperti Little India dan Mustafa Center, pusat membeli-belah 24 jam.

Destination Singapore Beach Road (4*)

Hotel penuh bergaya ini terletak hanya 5 minit dari Stesen MRT Lebuhraya Nicoll, yang juga hanya satu hentian dari Singapore Sports Hub dan Suntec City.

 

Untuk gabungan budaya dan membeli-belah, menginaplah di Chinatown

Universal Studios Singapore. Sumber: Stockforliving / Shutterstock.com

Alami sendiri budaya Singapura dengan menerokai jalan-jalan di Chinatown. Di sini, semuanya hasil kepelbagaian, daripada struktur bersejarah yang mewah hingga makanan lazat hingga menjilat jari.

Anda tidak perlu risau di mana untuk mencari cenderamata untuk dibawa pulang kerana di Pagoda Street, Sago Street dan Trengganu Street semuanya ada.

Cadangan kami:

Porcelain Hotel by JL Asia (4*)

Merangkumi barisan rumah warisan di sepanjang Jalan Mosque, salah satu lorong bersejarah di Chinatown. Hotel butik ini melengkapkan keselesaan moden dengan pesona dunia lama.

Hotel Re! @ Pearl’s Hill (4*)

Dihiasi dengan warna-warna yang cerah, hiasan moden-retro hotel ini merupakan kemunculan semula kepada dekad-dekad yang menyeronokkan di Singapura pada tahun 1960-an dan 1970-an. Ia terletak di belakang Hill City Park Pearl yang tenang, di mana para tetamu boleh mendapatkan rehat yang secukupnya jauh dari kebingitan bandar.

Naumi Liori Hotel (4*)

Bertapak di Jalan Keong Saik, hotel ini merupakan karya warisan berseri dengan rona warna persimmon. Tingkap gaya Perancis yang elegan menawarkan pemandangan jalan-jalan Chinatown yang meriah atau kehijauan Duxton Plain Park yang menyegarkan.

 

Untuk sentuhan daya tarikan Singapura, menginaplah di Orchard

Pusat membeli-belah ION Orchard di Orchard Road. Sumber: Chatchawat Prasertsom / Shutterstock.com

Orchard Road dikenali di seluruh dunia sebagai kawasan membeli-belah paling top  di Singapura. Di sini, anda boleh melihat-lihat atau membeli-belah barangan dan jenama mewah seperti Gucci, Hugo Boss, dan March Jacobs.

Kalau anda letih mencuci mata, singgah dulu di Fort Canning Park yang berdekatan untuk merehatkan diri dan kaki.

Kebetulan pula anda ada di Singapura ketika Jualan Hebat tahunan Singapura, jadi ini lokasi terbaik untuk penginapan anda!

Cadangan kami:

Mandrin Orchard Singapore (5*)

Anda akan gembira kerana menempah sebuah bilik di hotel yang bergaya tetapi berpatutan ini. Kerana selepas seharian membeli-belah, anda tidak perlu pergi jauh untuk kembali, dan Pusat Membeli-belah Takashimaya yang terkenal terletak betul-betul bersebelahan.

Grand Park Orchard (5 *)

Berikan diri anda hadiah dengan penginapan yang mewah di salah satu hotel paling bergaya di Singapura, di mana anda boleh bersantai di bar di luar atau berenang di kolam yang menakjubkan.

Hotel Chancellor @ Orchard (4 *)

Dengan Orchard Central dan The Centrepoint yang berdekatan saja, anda akan susah untuk menghalang diri anda daripada berbelanja. Untuk sampai ke tempat lain di bandar, pergi ke Stesen MRT Somerset, hanya 5 minit saja berjalan kaki.

 

Untuk berseronok di malam hari, menginaplah di Clarke Quay

Sumber: maison photography / Shutterstock.com

Anda seorang yang sukar tidur malam atau lambat tidur? Jadi tidak perlu lihat lebih jauh kerana Clarke Quay menawarkan bar di tepi sungai dengan putaran lagu daripada DJ dan muzik live.

Clarke Quay bukan hanya menawarkan hiburan pada malam hari, pada waktu siang, anda boleh berjalan di sepanjang sungai dan bersedia untuk terpesona dengan keajaiban yang tersembunyi di situ seperti patung gangsa yang menarik perhatian dan bangunan kolonial yang masih terpelihara.

Cadangan kami:

Park Hotel Clarke Quay (4*)

Diilhamkan bersempena zaman kolonial Singapura, seni bina klasik hotel ini kelihatan cukup padan dengan kemodenan. Dengan pemandangan bandaraya dan Sungai Singapura serta lokasi utama kehidupan malam di bandar ini, anda sesuai menginap di sini.

Studio M (4 *)

Dengan bilik studio yang diilhamkan oleh rumah loft yang urban, anda akan menyukai siling tinggi dan tingkap dari lantai ke siling yang membolehkan cahaya matahari masuk dengan sempurna.

Champion Hotel City (3 *)

Terletak di seberang Taman Hong Lim, hotel butik yang selesa ini menggabungkan reka bentuk bunga dan kehijauan untuk hiasannya. Satu-satunya masalah yang mungkin anda hadapi ialah memilih tempat makan di banyak pilihan kafe dan restoran di sekitar.

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share