Perhentian Island Resort: Hentikan masa dan berehat sepuasnya

Perhentian Island Resort: Hentikan masa dan berehat sepuasnya

Pokok-pokok kelapa seakan melambai-lambai kami pergi semasa dalam perjalanan menaiki bot laju selama 30 minit untuk menuju ke Pulau Perhentian yang dikenali dengan pasir pantai yang putih dan lautnya yang biru. Bulan Februari merupakan penghujung musim monsun dan perairan di sini masih berombak. Ditemani angin laut yang sepoi-sepoi bahasa, bunyi ombak memukul tapak bot dan air laut yang sekali-sekala terpercik disinari cahaya matahari, terasa seperti telah lama kami meninggalkan kesibukan di jeti Kuala Besut iaitu jalan masuk ke pulau ini. Destinasi tujuan kami ialah Perhentian Island Resort untuk menikmati penginapan yang tenang dan dipenuhi daya tarikan yang menawan. Misi kami yang sebenar hanyalah untuk bersantai di tepi pantai, tetapi setelah turun daripada bot dan melihat perairan birunya yang sangat cantik, kami tahu kami tidak mampu menahan keinginan untuk terjun ke dalam!

Penginapan tenang gaya kampung

Sebelum kami bercerita panjang, ini pandangan pertama kami tentang Perhentian Island Resort. Terletak di Perhentian Besar, tempat peranginan ini jauh daripada kumpulan backpacker di Perhentian Kecil dan sesuai untuk mereka yang inginkan suasana tenang untuk beristirahat. Keluarga dengan kanak-kanak juga akan menikmati resort ini kerana Laut Cina Selatan hanyalah beberapa langkah dari pintu bilik anda.

Setelah mendaftar masuk, kami disambut oleh seorang penyambut tetamu yang mesra sambil membawa minuman alu-aluan. Beliau menerangkan kepada kami tentang resort tersebut dan juga kemudahan yang disediakan. Menariknya, ia merupakan tempat peranginan pertama yang dibina di Perhentian Besar pada sekitar 1980-an dan juga salah satu yang mempunyai chalet dengan rekaan bingkai berbentuk huruf ‘A’. Rekaan ini memberikan pengudaraan yang baik kepada bilik-biliknya pada waktu siang dan berangin dengan sejuk semasa malam kerana silingnya yang tinggi. Jarang sekali dapat dilihat pada hari ini! Kini, resort ini mempunyai 106 bilik untuk memenuhi keinginan tetamu dengan berlainan keperluan dan bajet.

Kemudian, kami dibawa ke penginapan kami yang terletak berhadapan pantai — sebuah rumah banglo kayu bergaya Melayu dengan empat bilik. Kami tertarik dengan gambar-gambar bot nelayan yang digantung pada dindingnya kerana ia melambangkan ekonomi silam Pulau Perhentian. Dahulu, pulau ini merupakan tempat perhentian (sebab itulah ia diberi nama Perhentian) untuk nelayan berteduh daripada ribut petir atau cuaca buruk.

Selain itu, bilik tidurnya mempunyai reka bentuk yang minimalis dengan beberapa perabot yang tersusun di atas lantai kayu. Rekaan ini memberikan keseimbangan yang sepadan dengan panorama indah di luar. Puas hati dengan keselesaan bilik kami, sekarang kami tidak sabar untuk meluangkan lebih banyak masa di luar!

Keputusan: Kami sukakan resort ini kerana suasananya tidak ubah seperti berada di sebuah kampung Melayu. Karakter petugas di sini juga mesra dan membantu, serta banyak kemudahan yang terdapat berdekatan. Tidak dinafikan, ia rasa seperti rumah kedua kami.

Seperti berada di pulau persendirian

Kerana Perhentian Island Resort mempunyai pantainya sendiri, anda akan rasa seperti berada di pulau persendirian yang jauh daripada orang ramai. Percutian kami menjadi lebih sempurna dengan privasi yang kami ada untuk meneroka pantai itu.

Tidak suka bermain air? Resort ini juga mempunyai gelanggang tenis, gelanggang bola tampar pantai, bilik karaoke, snuker dan meja foosball. Percayalah, masa anda di sini akan sentiasa diisikan dengan aktiviti!

Satu lagi kelebihan tempat peranginan ini ialah ia merupakan SATU-SATUNYA hotel di pulau ini yang mempunyai kolam renang dan menariknya, ia dikelilingi taman yang cantik dengan tasik bunga teratai dan lili. Jika anda tidak suka berenang di laut, anda boleh berehat di tepi kolam atau mengagumi keindahan tasiknya. Rasa seperti sedang melihat karya lukisan Impresionis yang hpopular!

Nak pengalaman yang lebih menenangkan? Manjakan diri anda dengan urutan badan yang penuh untuk menikmati cuti yang selesa. Di Spa Pinang Seribu yang terletak dalam kawasan resort ini, anda boleh memilih di antara urutan aroma yang menenangkan dengan tekanan yang sederhana, atau urutan klasik Pinang Seribu untuk merawat otot-otot yang lenguh. Selepas mencubanya, kami akui yang kami telah lama tidak rasa segar seperti ini!

Sekiranya anda hanya ingin berehat dan bersiar-siar di tempat peranginan ini, apa kata cuba menu di restorannya sekali? Restoran Pinang Seribu kepunyaan resort ini menyajikan sarapan, makan tengah hari dan makan malam bergaya bufet, dan turut mempunyai pelbagai menu ala carte. Cerewet mana sekalipun, pasti ada pilihan menarik untuk anda menjamu selera di sini! Semasa makan tengah hari, kami mencuba menu yang disyorkan iaitu nasi goreng Pinang Seribu yang dihidangkan dengan udang goreng tempura dan telur mata kerbau. Waktu makan malam pula, kami mencuba peha ayam disadur tepung dengan sos lada hitam. Makanannya memang lazat dan pasti memuaskan selera anda selepas seharian bermain di bawah matahari. Apa yang pasti, kami memang suka pengalaman menjamu selera di hadapan laut!

Resort ini juga mempunyai kedai runcit yang menjual snek, minuman, kemeja-T, baju renang, cenderamata dan banyak lagi. Lebih mudah lagi, kami dibenarkan membawa barang yang ingin dibeli bersama kami dan bayar semasa check out nanti. Disebabkan tiada mesin ATM di pulau ini, kami dengan senang-lenangnya tidak perlu membawa dompet bersama kami. Dapatlah kami meluangkan masa siang dengan selesa sambil berbaring di tepi pantai!

Jika anda mencari tempat untuk menikmati matahari, laut dan pasir pantai dengan lebih privasi dan dilengkapi kemudahan moden, pastikan anda melihat Perhentian Island Resort.

Tarikan dan aktiviti

Selam snorkel

Kredit: Any Lim/iStock

Selam snorkel merupakan aktiviti yang mesti dilakukan apabila anda berada di Pulau Perhentian! Aktiviti ini tidak memerlukan lesen seperti selam skuba, dan ini merupakan peluang terbaik anda yang seterusnya untuk berenang bersama pelbagai ikan berwarna-warni dan meneroka bahagian Laut Cina Selatan yang lebih dalam.

Pengalaman menyelam snorkel di Pulau Perhentian sememanganya indah kerana anda boleh melihat pelbagai spesis ikan seperti ikan badut (Nemo!) dan blue ring angelfish dalam habitat asal mereka serta terumbu karang yang cantik secara dekat. Sekiranya nasib anda baik, mungkin anda dapat melihat penyu atau ikan jerung! Berhati-hati untuk tidak menyentuh atau memijak haiwan-haiwan dan terumbu karang di sini kerana ini boleh membahayakan nyawa mereka.

Perhentian Island Resort turut dilengkapi dengan kemudahan pusat sukan untuk anda menyewa peralatan seperti jaket keselamatan dan mendaftar untuk perjalanan selam snorkel yang boleh didapati dua kali sehari (pada 10.00 pagi dan 2.00 petang). Perjalanan pada 10 pagi akan menuju ke Shark Point, Teluk Keke dan Turtle Point, manakala pada 2 petang anda akan dibawa meneroka Tanjung Basi, Tiga Ruang dan Marine Park.

Berkayak

Kredit: Kartini Ab Kadir/Shutterstock

Inginkan lebih aksi pengembaraan? Kami cadangkan anda menyewa kayak untuk bebas meneroka pulau ini sepuas-puasnya. Temui beberapa pantai terpencil yang menawarkan lebih privasi dan anda juga boleh menyelam snorkel di perairan pantai-pantai ini. Selain itu, aktiviti mendayung kayak sesuai untuk dilakukan seharian jika anda ingin melawat kedua-dua pulau. Dengan pendayungan yang berterusan, anda boleh mengemudi di sekitar Perhentian Kecil dalam masa tiga jam, manakala Perhentian Besar dalam masa lima jam. Jangan lupa untuk berehat seketika di kawasan pantai yang redup jika anda penat.

Mendaki

Walaupun aktiviti mendaki atau hiking ialah perkara terakhir yang anda ingin lakukan semasa bercuti di pulau, tetapi ia merupakan cara yang seronok untuk beriadah dan juga meneroka kawasan lain pulau ini yang kurang dilawati oleh pelancong. Di Perhentian Island Resort, ikuti laluan pendakian berhampiran jeti yang mengambil masa 30 minit untuk tiba di Flora Bay, iaitu di bahagian selatan pulau ini. Pastikan anda memerhatikan haiwan-haiwan yang ada di sepanjang laluan itu seperti monyet Lutung yang comel!

Jadi, tunggu apa lagi? Bersiap sedia untuk bercuti kerana Perhentian Island Resort menanti kehadiran anda!

____________________________________________________________________________

Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

 

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

 

62 Shares
Share62
Tweet
+1
Pin
Share