Ipoh Senses: Larikan diri ke kehijauan yang tersembunyi di Ipoh

Ipoh Senses: Larikan diri ke kehijauan yang tersembunyi di Ipoh

Ipoh lebih dikenali dengan suasana yang nyaman dan kurang sibuk berbanding destinasi jirannya, Pulau Pinang. Tapi kedua-dua tidak kurang hebatnya daripada segi makanan dan budaya. Dan ini juga bermakna anda kena menghadap orang yang ramai ketika hujung minggu yang panjang dan cuti sekolah.

Jalan penyelesaian kami? Tempah penginapan di Ipoh Senses, untuk menikmati suasana yang aman dan daman jauh daripada hiruk-pikuk pelancong. Penginapan yang selesa ini terletak di Taman Ipoh Selatan, hanya 15 minit dari bandar, dan mungkin salah satu permata tersembunyi di Ipoh.

Bertempat di bahagian sudut kawasan perumahan dua tingkat, penginapan ini sememangnya memberi kejutan kepada tetamunya. Dengan kawasan sekeliling yang dipenuhi dengan kehijauan yang menyejukkan mata, bunyi nyaman yang datang daripada air kolam serta dekorasi kayu yang mendominasi penginapan ini, ia pastinya memberikan perasaan seolah-olah penginapan ini bukan berada di kawasan perumahan.

Hanya terhad kepada 5 buah bilik – setiap bilik diberi nama bersempena buah-buahan tempatan seperti rambutan dan durian. Penginapan ini juga sangat sesuai untuk keluarga atau yang mahukan waktu rehat yang lebih peribadi. Bukan itu saja, anda juga boleh menempah seluruh rumah untuk kumpulan yang lebih besar kerana ia boleh menempatkan hingga 13 orang.

Setiap bilik dilengkapi dengan peti ais mini, peti keselamatan, TV skrin rata dan bilik mandi peribadi, sementara dekorasinya termasuklah rangka katil yang diperbuat daripada kayu pokok yang berkualiti. Bagi menghasilkan konsep hutan hujan, pemilik rumah ini juga menggunakan akar-akar pokok, dahan pokok serta kayu-kayu hutan yang antaranya telah diukir dan dibentuk dengan baik.

Tapi, yang akan buat anda lebih teruja adalah bilik mandinya yang direka seperti bilik mandi peribadi yang dikelilingi hutan hujan.  😍Kalau anda nak merasai pengalaman berehat dalam buih-buih sabun seperti raja/permaisuri, pastikan anda menempah Bilik Mango (hanya bilik ini yang mempunyai jakuzi peribadi)!

Para tetamu boleh bersantai di Bar Senses dan kawasan ruang tamu, atau menikmati pemandangan taman di teres terbuka. Di sini juga terdapat tempat unggun api, kalau-kalau anda ingin merancang barbeku, jangan malu untuk bertanya kepada stafnya yang mesra. Anda boleh menikmati sarapan pagi percuma dengan pilihan seperti nasi lemak atau mihun goreng yang dibeli daripada penjaja tempatan.

Kalau anda tak mahu memandu jauh untuk bercuti atau jalan-jalan cari makan, menginap saja di Ipoh Senses.

 

Aktiviti di Ipoh

Hanya 15 minit dari Bandar Lama Ipoh, Ipoh Senses menawarkan dua faktor terbaik, tarikan menarik dan ketenangan. Berbaloi kan? Ini aktiviti-aktiviti yang kami lakukan ketika penginapan kami di Ipoh:

Nikmati sarapan pagi di Restoran New Hollywood

Sebut saja Ipoh, pasti yang terlintas difikiran ialah restoran dan gerai penjaja yang menjadi kegemaran ramai… Tapi bukan semua restoran di sini mesra Muslim. Jadi jika anda teringin nak merasa hidangan asli seperti orang tempatan, anda boleh cuba char kuey teow, roti telur goyang dan chee cheong fun udang.

Restoran New Hollywood

38, Jalan Lee Kwee Fong, Taman Canning, 31400 Ipoh.

Waktu operasi: 7.00 pagi – 4.00 petang  | Ditutup setiap Isnin

 

Belajar sejarah tentang kepesatan pelombongan bijih timah di Han Chin Pet Soo

Ketika era kepesatan perlombongan bijih timah, Ipoh menjadi pusat tumpuan bagi usahawan yang menjadi jutawan hasil timah, menjadikan ia mendapat nama jolokan “Bandar Jutawan”. Han Chin Pet Soo pernah menjadi rumah kelab esklusif yang digunakan oleh orang Hakka ternama dalam bidang perlombongan, dan kini telah diubah menjadi muzium.

Jadualkan juru pandu selama 75 minit untuk mengajar anda tentang sejarah industri perlombongan di Ipoh dan juga kehidupan pelombong Hakka yang bermandi keringat serta taikun yang pernah menjadi kaya-raya oleh kerana industri ini. Muzium yang diuruskan oleh pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan ini tidak mengenakan bayaran masuk yang tetap, tetapi pengunjung akan diminta untuk membuat sumbangan untuk membantu dalam penyelenggaraan muzium. Derma yang disyorkan ialah RM10 untuk orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dan pelajar.

Han Chin Pet Soo

3, Jalan Bijeh Timah, 30100 Ipoh.

Waktu operasi: 9.30 pagu – 5.00 petang (Waktu terakhir lawatan bermula dari 3.30 petang) | Ditutup setiap Isnin

 

Jalan-jalan sekitar Concubine Lanes

Anda pasti pernah dengar tentang Concubine Lane, tetapi adakah anda tahu bahawa Ipoh sebenarnya mempunyai tiga lorong sejarah yang dimiliki oleh isteri dan dua gundik usahawan bijih timah Yao Tet Shin? Terdapat Wife Lane (a.k.a Lorong Hale), Concubine Lane (a.k.a. Lorong Panglima) dan Second Concubine Lane, atau Market Lane.

Ada yang keliru payung-payung ikonik di Market Lane dengan payung-payung di Concubine Lane. Walaupun kedua-duanya menjual perhiasan dan makanan ringan, Market Lane mempunyai koleksi mural jalanan indah yang memberikan suasana yang mesra.  Jadi ambil gambar sebanyak yang boleh untuk IG anda di sini! 📸 Wife Lane, dihiasi dengan tanglung Cina berwarna kuning yang bergantungan dan mural penjual buah.

 

Jelajah Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village

Bagi sesuatu yang pelik dan jarang-jarang dikunjungi, jelajah Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village. Nama taman ini bermaksud “bukit tenang” dalam bahasa Mandrin, yang juga diberi nama begitu kerana ia tersembunyi antara batu-batu kapur yang mengelilingi Ipoh.

Kampung ini juga penuh dengan barangan antik dan imbasan kembali sejarah silam Malaysia. Jika anda tidak mahu berjalan, anda boleh menggunakan basikal dan basikal tandem, tanpa caj. Yang lebih nostalgik lagi, terdapat peti jukebox yang memainkan lagu-lagu Cina!

Sebelum membeli tiket masuk, anda perlu pergi ke Taman Sri Rokam (berdekatan Jalan Gopeng) dan membeli tiket di Syarikat Perabot Kota. Tiket berharga RM10 setiap seorang. Taman ini juga sebenarnya terletak hanya 5 minit dari kedai perabot dan jangan risau, anda akan diberi peta untuk mencari jalan anda di sana.

Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village

22A, Persiaran Pinggiran Rapat 5a, Taman Saikat, 31350 Ipoh.

Waktu operasi: 9.30 pagi – 5.00 petang | Ditutup setiap Ahad

 

Menyelami misteri di Kellie’s Castle (yang berhantu?)

Jika anda mencari sesuatu yang misteri singgah dan jalan-jalan di Kellie’s Castle di Batu Gajah, yang terletak 30 minit dari Ipoh. Istana yang masih belum siap dan kini menjadi sebahagian tinggalan sejarah bersebelahan Sungai Raya. Mendapat inspirasi daripada seni bina Scotland, Moor, dan India, istana ini pernah digunakan sebagai lokasi untuk filem tempatan dan antarabangsa.

Memandangkan saya seorang yang penakut, saya teragak-agak untuk berjalan di sekitar bahagian dalam istana ini. Lebih-lebih lagi ruang linen yang gelap. Masuk saja, mesti rasa meremang dan seram. Tangga-tangga yang menyeramkan dan sempit juga memberi perasaan yang sama. Tetapi jika anda lebih berani daripada saya, cubalah. Jangan kata saya tak beri amaran ya. 👻

Kellie’s Castle yang dahulunya pernah menjadi rumah kepada keluarga William Kellie Smith dan keluarganya ini sangat sesuai untuk penggambaran pendek. Jadi pastikan anda melawat pada siang hari atau pada hari bekerja untuk mengelakkan photobomber!

Kellie’s Castle

Off Jalan Gopeng, 31000 Batu Gajah.

Waktu operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang | Dibuka setiap hari

Fi kemasukkan

Pemegang MyKad: Rm5 (dewasa); RM3 (kanak-kanak bawah 12 tahun); RM4 (warga emas)

Bukan pemegang MyKad: RM10 (dewasa); RM8 (kanak-kanak bawah 12 tahun)

Parkir: RM2

______________________________________________________________________

 

Dengan pelbagai penginapan di seluruh negara, pastinya sukar untuk memilih. Kalau tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

 

22 Shares
Share22
Tweet
+1
Pin
Share