Hard Rock Hotel Desaru Coast: Penginapan unik bergaya rock ‘n’ roll

Hard Rock Hotel Desaru Coast: Penginapan unik bergaya rock ‘n’ roll

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

 

Kehadapan para peminat muzik, hotel ini khas untuk anda. 

Hard Rock Hotel Desaru Coast yang baru dibuka pada September 2018 masih mengekalkan gaya funky dan memorabilia rock ‘n’ roll di sekitar premisnya. Rasa seperti cita-cita anda menjadi rockstar terhalang kerana perlu menjaga anak-anak? Jangan risau, mereka pasti tidak akan bosan di sini! Hotel ini terletak dekat dengan pantai yang indah dan bersebelahan taman tema air Adventure Waterpark Desaru Coast yang menempatkan salah satu wave pool terbesar di dunia. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut!

Semua tentang muzik, livin’ la vida loca!

Semasa kami tiba di lobi, lagu bertajuk This Charming Man oleh The Smiths sedang dimainkan. Terus kami yakin bahawa ini pasti menjadi pengalaman penginapan yang sentiasa terpahat dalam ingatan! 

Kekal dengan imej rangkain hotel Hardrock, keseluruhan premis ini dihias dengan karya seni yang memberi penghormatan kepada industri muzik dan penyanyi terkenal. Tergamam kami dibuatnya apabila melihat kasut dan pakaian kepunyaan artis popular seperti Rihanna, Madonna, Elvis Presley, dan The Rolling Stones yang dipamerkan. Kami terasa aura kehadiran mereka semasa melihat koleksi ini! 

Dengan konsep terbuka, lobi hotel ini kelihatan lapang dan luas. Kami mengintai wave pool di belakang hotel ini yang memang nampak sama seperti pantai sebenar. Paling penting, tempat ini sangat Instagrammable.

Selepas itu, kami menuju ke bilik untuk berehat. Deluxe Room kami dilengkapi katil bersaiz king dengan peralatan tempat tidur khas Hard Rock Hotel, sebuah TV flat screen, serta kemudahan membuat kopi dan teh. Apa yang menarik perhatian kami adalah mural rama-rama pada dinding bilik ini yang cukup unik sebagai identiti jenama Hard Rock!

Fungsi botol air yang boleh diguna semula ini sangat praktikal. Ia akan dibersihkan dan ditutup selepas digunakan oleh tetamu, dan terdapat sumber air pancut di setiap tingkat untuk mengisi semula air. Sangat menjimatkan dan mesra alam, kami sokong 100%!

Bilik mandi yang luas ini menampilkan almari walk-in, dengan ruang mandi yang dipisahkan daripada tandas. Peralatan mandi dan tuala turut disediakan, jadi anda tidak perlu bersusah payah membawanya sendiri. Yay, lebih ruang dalam beg untuk pakaian #OOTD! 😉

Pengalaman menginap di Hard Rock Hotel tidak bermakna tanpa muzik. Di sini, anda boleh meminjam piring putar Crosley yang disertakan dengan 10 rekod ikonik oleh pemuzik terkenal seperti Michael Jackson dan Bruce Springsteen. Bukan itu saja, jika anda bermimpi menjadi rockstar, anda boleh meminjam gitar Fender yang disertakan dengan fon kepala Marshall dan amplifier lantai Fender Mustang untuk membuat studio pop-up sendiri dalam keselesaan bilik anda. Kami teringin untuk jamming tetapi sayangnya tiada siapa yang reti bermain gitar, jadi kami hanya memainkan muzik pada piring putar sambil menari-nari. 

Pengalaman gastronomi yang hebat

Walaupun tiada Hard Rock Cafe di premis ini, masih terdapat empat pilihan tempat makan sekiranya anda lapar bila-bila masa. Di Sessions, anda boleh menikmati pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa dalam menu yang tersedia sepanjang hari. Restoran yang diinspirasikan oleh muzik ini turut menawarkan pilihan bufet dan à la carte dengan sentuhan tersendiri. Antara yang perlu dicuba termasuklah mi mamak, briyani kambing, dan beraneka minuman smoothie

Sementara itu, bar tepi kolam The Elephant & The Butterfly pula menawarkan hidangan tradisional Mexico dengan sentuhan moden. Kami mencuba menu cadangan chef iaitu burger Mexico istimewa yang dimasak dengan daging segar yang lembut, dan sangat menyelerakan apabila dimakan bersama guacamole dan sos pedas. Anda juga boleh menghirup mocktail di tepi kolam renang sambil menanti matahari terbenam. Tidak dinafikan, menikmati makanan enak sambil ditemani pemandangan indah adalah perasaan yang sangat sempurna! 

Jika anda ingin menikmati snek ringan dan kopi, bar kopi Constant Grind menawarkan pelbagai pilihan aiskrim, kopi, kek, dan minuman smoothie. Kafe yang bersuasana santai ini sesuai untuk meluangkan masa bersama yang tersayang ataupun membuat kerja. 

Selain itu, tetamu juga boleh bersantai sambil menyaksikan persembahan muzik secara langsung yang diadakan di ruang rehat lobi setiap malam. Ruang rehat kosmopolitan yang dinamakan sebagai GMT+8 ini diinspirasikan oleh koleksi jam tangan dan konsep perjalanan masa. 

Keputusan: Hotel idaman ini pasti memikat hati peminat muzik. Kami sangat terpegun dengan memorabilia muzik yang dipamerkan di setiap sudut hotel ini, lebih-lebih lagi koleksi pakaian dan aksesori yang pernah dipakai oleh rockstar popular! Para petugas hotel ini juga layak diberi pujian kerana mereka membuat pengalaman kami di sini lebih baik dengan layanan mesra dan perhatian yang diberikan. Untuk menikmati penginapan chill yang dilengkapi senarai lagu-lagu yang disusun khas, Hard Rock Hotel Desaru Coast sememangnya sesuai! 

Tarikan dan Aktiviti

Suasana bilik hotel ini sangat mengalu-alukan anda untuk hanya meluangkan masa di dalam, tambahan pula apabila anda mempunyai studio jamming sendiri. Tapi, rugilah kalau anda ketinggalan untuk menikmati keseronokan pelbagai aktiviti mesra keluarga yang menanti anda di Desaru! Ini tiga tempat yang mesti dikunjungi:  

Adventure Waterpark Desaru Coast

Adventure Waterpark Desaru Coast dipenuhi banyak permainan yang menakjubkan termasuklah roller coaster air pertama di rantau ini dan salah satu wave pool terbesar di dunia! Menampilkan lima zon berbeza, taman tema air ini juga menawarkan lebih daripada 20 permainan basah dan kering, serta pelbagai gelongsor dan tarikan menyeronokkan! Bagi pemegang tiket yang menginap di hotel ini, anda boleh menikmati akses peribadi untuk ke sini.

Taman Buaya Teluk Sengat

Ditubuhkan pada tahun 1979, taman buaya terbesar di Malaysia ini menempatkan lebih daripada 1,000 ekor buaya. Di sini anda akan menemui seekor buaya tanpa gigi berusia 130 tahun yang gemar meluangkan masanya sambil berjemur di tengah panas tanpa mengendahkan pengunjung yang datang. Semasa waktu memberi makan, pelawat juga berpeluang untuk mendukung anak buaya di bawah pengawasan penjaga. 

Desaru Ostrich Farm

Terletak di Teluk Ramunia, Desaru Ostrich Farm memberi peluang untuk anda mendekati lebih daripada 300 ekor burung unta. Pemandu pelancong yang turut bertugas sebagai penjaga ladang akan bersedia untuk membantu anda sepanjang lawatan, sambil menerangkan fakta menarik berkaitan tempat tersebut dan burung terbesar di dunia ini. Menariknya, di sini anda boleh menikmati hidangan telur burung unta yang luar biasa! Selain itu, anda juga berpeluang menunggang burung unta dengan bayaran tambahan. 

_____________________________________________________________
Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share