0

Traveloka MY

15 Jun 2019 - 6 min read

Crockfords: Permata yang berharga di Genting Highlands

Selama berpuluh tahun, Genting Highlands yang menempatkan Resorts World Genting dan sentiasa diselubungi kabus ini telah menjadi destinasi kegemaran bagi percutian keluarga pada hujung minggu dan cuti sekolah, semua kerana suhunya yang sejuk. Pengubahsuaian terbaru yang dilakukan oleh konsortium hiburan bertaraf dunia ini termasuklah penginapan paling baru dan yang terhebat di sini: Crockfords.

Menyerlah dengan penuh kemewahan dan keanggunan, lokasi strategik hotel ini sangat sesuai untuk penggemar kasino atau mereka yang ingin lari daripada kesibukan bandar. Hotel ini mengutamakan privasi tetamu dengan pintu masuk yang tersorok. Apabila melangkah masuk, anda akan rasa seperti berada di dalam sebuah retreat tenang yang indah. Di sebelahnya terletak pusat membeli-belah SkyAvenue yang bergaya, taman tema Skytropolis Indoor Theme Park yang baru, kasino 24 jam, serta panggung wayang — kesemuanya menjanjikan keseronokan yang berbeza. Baca ulasan kami tentang penginapan yang cukup fabulous ini.

Hiasan dalaman yang elegan

Semasa berjalan masuk, kami tertarik dengan empat hiasan bingkai kaca berisi bunga yang dipamerkan di lobi — pemasangan khas yang dibuat oleh artis British, Rebecca Louise Law. Dinamakan “The Four Seasons”, karya itu mengandungi empat pemasangan menakjubkan yang dihasilkan daripada beribu-ribu bunga kering, dan melambangkan musim bunga, musim panas, musim luruh, serta musim sejuk.

Kemewahan dalam hiasan lobi hotel ini ditonjolkan dengan variasi warna hitam dan emas serta lantai marmar yang digilap berkilat. Lain daripada proses daftar masuk yang biasanya dilakukan di lobi hotel, di sini kami terus dibawa ke bilik kami oleh pelayan tetamu yang mesra tanpa perlu menunggu lama. Kehadiran kami sangat dijaga dengan baik! Kami menghargai layanan mesra staf mereka yang sentiasa mengucapkan “Selamat pagi” atau “Hello” jika berselisihan dengan kami. Layanan mereka yang menyenangkan membuat kami tersenyum sampai ke bilik.

Keterperincian hiasan bilik yang menakjubkan

Daripada lobi hotel yang mengagumkan, kami sambung rasa terpegun melihat bilik Superior King kami yang menampilkan stail klasik British.

Sedap mata memandang — bilik kami dihiasi dengan rona warna putih dan kelabu, dengan karpet lembut yang amat selesa dipijak oleh kaki kami yang kepenatan. Bilik ini menampilkan ruang tamu kompak yang lengkap dengan sebuah sofa 3-seater, meja kopi, dan TV flat screen. Jika anda mempunyai kerja untuk disiapkan, sebuah meja menulis dan mesin kopi Nespresso turut disediakan, jadi bolehlah anda bersengkang mata pada tengah malam untuk mengejar deadline, atau menyegarkan diri semasa bangun pagi. Dengan hidangan buah-buahan yang tersedia di atas meja, kedatangan kami terasa sangat dialu-alukan.

Untuk privasi maksimum, katilnya yang sangat selesa diasingkan dengan penghadang. Sambil berbaring, kami dapat menikmati pemandangan indah bukit-bukau di sekeliling melalui tingkapnya yang luas. Kami menyukai keutamaan yang diberikan supaya tetamu dapat berehat dengan selesa. Menariknya, satu ciri moden yang ada dalam setiap bilik ialah butang yang terdapat di tepi sofa dan di sebelah kanan katil. Dengan menekan butang ini anda boleh mengawal suhu, pencahayaan lampu, dan menarik langsir dalam bilik. Semuanya di hujung jari anda! Di kedua-dua sisi katil, terdapat beberapa port USB, soket untuk mengecas gajet, serta lampu bacaan dan pemegang botol air, jadi anda tak perlu bangun daripada katil!

Bilik mandi pula dilengkapi dengan batu marmar putih dan kelabu dari lantai hingga siling, memberikan suasana yang luas dan mewah. Ia juga lengkap dengan mandian wap dalam bilik (yang kami nikmati dengan senang hati!).

Kepuasan memanjakan diri yang berbeza

Selesai mengamati bilik ini, kami membuat keputusan untuk bersiar-siar di pusat membeli-belah SkyAvenue yang baru. Kejutan manis diberikan oleh pihak hotel ketika kami pulang dengan menghantar jus sparkling dan kuih-muih sebagai layanan tambahan untuk kami. Bukan itu sahaja, kami turut dihadiahkan sekotak peralatan mandi khas berserta losyen dan krim! Sekarang, kami bukan sahaja rasa seperti dijaga, malah dimanjakan dengan servis mereka yang memikat hati. Tidak hairanlah mengapa hotel ini dinilai lima bintang oleh Forbes Travel Guide 2019, menjadikannya hotel pertama di Malaysia yang menerima kehormatan ini!

Selepas tidur malam yang lena, kami menyapa kabus pagi dengan sarapan lazat, iaitu nasi lemak dan roti bakar panas, serta pilihan jem dan mentega yang dihidangkan oleh butler kami sendiri. Pengalaman menginap dengan penuh gaya ini lebih lengkap ketika bersarapan di atas katil, sambil meninjau pemandangan tanah tinggi di Genting yang dilitupi kabus, ditambah dengan kenyataan yang kami masih berbaju tidur! Memang sukar untuk kami meninggalkan penginapan ini, tetapi ‘realiti’ menanti, dan kini tiba masanya kami pulang ke bandar.

Keputusan: Keterperincian yang hebat diberikan kepada rekaan dalaman dan kelengkapan bilik. Servis yang cemerlang, dengan layanan para petugas yang mesra dan baik hati terhadap tetamu semasa penginapan kami. Penginapan sempurna yang sangat memuaskan!

Tarikan dan Aktiviti

Dalam jarak berjalan kaki, lokasi Crockfords yang strategik berdekatan dengan banyak tarikan dalam Resorts World. Jika anda tidak mahu memandu, anda boleh menaiki kereta kabel. Ini beberapa tarikan dan aktiviti menarik yang kami lakukan semasa menginap di sini:

Skytropolis Indoor Theme Park

Dengan keluasan melebihi 400,000 kaki persegi, taman tema terbaru ala Tron ini mempunyai lebih daripada 20 permainan menakjubkan, daripada permainan yang mengujakan untuk adrenaline junkie, hinggalah permainan mesra keluarga bagi mereka yang mempunyai anak kecil. Di antara kegemaran kami adalah Spin Crazy, yang membawa penunggang berpusing secara 360 darjah di udara, dan Disco!, sebuah cakera besar yang berpusing dan berhayun sepanjang trek yang berlengkung. Dengan kelajuan yang semakin bertambah sambil berputar pada masa yang sama, permainan ini membuat kami menjerit sekuat hati, dan kami mungkin telah menakutkan pengunjung yang lalu-lalang di sini.

Lokasi: Tingkat 1, First World Plaza

Waktu operasi: 10.00 pagi – 10.00 malam (Setiap hari)

Genting Strawberry Leisure Farms

Luangkan pagi anda sambil meneroka taman bunga yang berwarna-warni. Terletak dalam kawasan Gohtong Jaya, tarikan mesra keluarga ini hanya berjarak 6 minit menaiki kereta daripada stesen kereta kabel Awana SkyWay. Jika anda ke sini semasa musim memetik strawberi, anda boleh membawa pulang strawberi segar yang baru dipetik! Kami paling tertarik dengan bau harum di taman lavender yang menenangkan, seperti sesi aromaterapi semula jadi. Di sini juga terdapat tempat untuk anda bergambar bersama bunga hydrangea gergasi dan gerbera daisies.

Alamat: No. 1, Lot 3707, Jalan Jati 2, Bandar Gohtong Jaya, Genting Highlands

Waktu operasi: 9.00 pagi – 6.30 petang (Setiap hari)

Telefon: 03-6100 1152

Kuil Chin Swee

Terletak di salah satu tapak pemandangan terindah di Genting Highlands, tanah seluas 28 ekar yang berbatu dan berhutan tebal ini didermakan oleh pengasas Genting Group iaitu mendiang Lim Goh Tong, dan telah ditukar menjadi tapak keagamaan. Bersiar-siar sambil meneroka budaya dan melihat gambaran alam selepas kematian, atau nikmati landskap pergunungan yang memukau dari kuil ini. Pastikan anda juga melihat pagoda sembilan tingkat yang ikonik, kawasan terbuka SkyTerrace, dan patung Buddha setinggi 15 meter. Untuk ke sini, anda boleh menaiki kereta atau berhenti di Stesen Chin Swee daripada stesen kereta kabel Awana SkyWay.

_________________

Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka