Alaya Malai: Lambaian mesra dan pesona pantai di Terengganu

Alaya Malai: Lambaian mesra dan pesona pantai di Terengganu

Pernah termimpi untuk beralih angin dari bandar ke suasana yang mempunyai bayu laut yang dingin serta pemandangan matahari terbam? Kawasan pantai Terengganu dan pulau indah adalah apa yang anda perlukan.

Kawasan tarikan pelancong seperti Pulau Redang kadangkala boleh menjadi agak sesak ketika musim puncak. Jadi kalau anda mahu percutian yang lebih ‘peribadi’ pilih Alaya Malai yang terletak di kampung nelayan di Merang.

 

Temui ketenangan berdekatan laut

Alaya Malai, bermaksud “Rumah Malai” dalam bahasa sanskrit, telah diilhamkan daripada pokok malai yang juga dipercayai sumber asal usul nama “Melayu”. Vila dua tingkat berhadapan pantai dan menghadap Laut China Selatan ini mempunyai akses terus ke pantai tersedia untuk anda.

Bilik-bilik di sini juga diberi sentuhan moden serta mainan warna yang ceria serta ruang yang cukup selesa untuk dua orang tetamu. Bagi yang menginap di bilik yang menghadap laut, tidur anda akan didendangkan dengan bunyi ombak menghempas pantai.

Alaya Malai menawarkan percutian yang peribadi dan selesa. Setiap ruangan telah direka dengan begitu teliti untuk memberikan kebebasan untuk tetamunya memilih sama ada untuk bersendirian sambil menikmati waktu terluang atau bersosial dibahagian yang lebih terbuka.

Anda juga boleh memilih untuk bersantai di kolam renang dibahagian luar, berendam dalam jakuzi atau berehat dalam hammock yang terletak di bawah pokok casuarina. Jika anda seorang ulat buku, anda pasti akan jatuh cinta dengan seleksi buku-buku di perpustakaan yang tersedia. Nikmati waktu membaca anda di kerusi rotan yang disediakan.

 

Rasai pengalaman seakan rumah sendiri

Daya penarik penginapan ini adalah hasil sentuhan peribadi pengasasnya, Budi dan Tony yang menjadi sebahagian kecil kumpulan yang menguruskan vila ini, bagi memastikan setiap yang disediakan di sini serta perkhidmatannya disertai dengan senyuman. Mereka juga sentiasa ada untuk berbual dengan para tetamu dan jangan terkejut kalau mereka tiba-tiba menawarkan jus atau teh ais kepada anda!

Sebagai anak jati Terengganu, pengetahuan Budi tentang aktiviti dan tarikan terbaik di sini dapat membantu anda merancang perjalanan anda. Lebih menarik lagi, mereka juga dapat membantu anda membuat pelbagai tempahan dan pengangkutan.

Bercakap tentang makanan pula, Alaya Malai sentiasa mengutamakan kualiti. Tak kisahlah apa jua makanan atau hidangan yang disediakan, semuanya sedap-sedap belaka. Anda boleh memesan makanan tengah hari mingguan dan makan malam yang telah dimasak seperti rasa hidangan asli mengikut bahan-bahan mentah tempatan yang segar.

Jadi, untuk berehat tanpa memikirkan realiti, jadikan Alaya Malai destinasi percutian anda.

 

Aktiviti terbaik yang boleh dilakukan di sekitar Merang

Sebagai pintu masuk ke Pulau Redang, Lang Tengah dan Bidong, Merang adalah tempat yang sempurna untuk menghindari kumpulan pelancong yang ramai.

Masa yang terbaik untuk melawat pulau adalah antara bulan Mac dan Oktober, kerana pulau-pulau ini akan melalui musim hujan monsun dari November hingga Februari. Selain pulau-pulau, terdapat juga beberapa tarikan di pantai yang perlu anda lihat.

Menari dengan penyu di Pulau Redang

Jeti Merang sebenarnya berdekatan saja dengan Pulau Redang. Terletak di kawasan Taman Laut Redang yang dilindungi, perairannya penuh dengan haiwan marin yang menarik, tetapi yang lebih menarik tentulah berenang dengan penyu semasa waktu memberi makan di Turtle Bay.

Pantai terbesar di pulau ini ialah Pasir Panjang, yang dipenuhi dengan resort dan biasanya penuh dengan pelancong. Walau bagaimanapun, hujung selatan Tanjung Tengah, yang menghubungkan ke hujung utara Pasir Panjang, mempunyai beberapa tempat snorkeling yang baik, termasuklah Shark Bay, dengan terumbu yang merupakan tempat memulihara anak jerung hitam. Anda boleh menempah perjalanan sehari ke pulau sekitar RM120 (termasuk snorkel dan jaket keselamatan). Dari jeti ini, kira-kira ke sana mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan dengan menaiki bot.

Nota: Anda perlu membayar fi taman laut berharga RM5 dan fi jeti berharga RM5 sebelum menaiki bot.

 

Nikmati pantai di Pulau Lang Tengah hanya untuk anda

Jika anda tidak mahu bersesak-sesak dengan yang orang ramai, singgah di Pulau Lang Tengah. Walaupun ia lebih kecil berbanding Pulau Redang, banyak permata tersembunyi hanya untuk anda. Lagipun, kos untuk aktiviti snorkeling di Pulau Lang tengah sama sahaja dengan di Pulau Redang.

Selain menyelam dan snorkeling, anda juga boleh berkayak dan melakukan aktiviti mendaki. Tiada jalan yang boleh dilalui oleh kenderaan di pulau ini, jadi anda hanya boleh berjalan kaki. Tapi anda hanya perlu berjalan selama 15 hingga 20 minit sahaja untuk dari pantai ke pantai. Pusat Pemerhati Penyu Lang Tengah, program sukarelawan yang menyokong pemuliharaan penyu yang juga beroperasi di pulau itu.

Nota: Anda perlu membayar fi taman laut berharga RM5 dan fi jeti berharga RM5 sebelum menaiki bot.

 

Terokai dan temui terumbu karang yang mengelilingi Pulau Bidong

Pulau Bidong pernah menjadi tapak kem pelarian Vietnam yang melarikan diri daripada pemerintahan Komunis, tapi sejak ia ditutup, terumbu karang yang mengelilingi pulau ini hidup dengan baik dan menarik ramai penyelam untuk menerokai kawasan ini. Kalau anda seorang penyelam dan peminat harta karun, tentu anda akan suka dengan galeri bawah air yang mempunyai replika peninggalan dan artifak kebudayaan seperti Batu Prasasti Terengganu, tapak sireh dan bot tradisional.

Di pulau itu sendiri, pengunjung dapat melihat struktur yang masih tersisa dari bekas kem pelarian yang dikenali sebagai “Little Saigon“, serta pelajari sejarah pulau itu. Sesetengah lawatan juga termasuk penyinggahan di Pulau Karah, yang juga terkenal dengan tapak snorkeling dan menyelam yang menakjubkan. Tiada kafe atau restoran di pulau itu, jadi pastikan anda bawa bersama makanan dan minuman.

 

Anda perlu menempah bot terlebih dahulu untuk menuju ke Bidong, kerana tidak ada pemindahan bot harian dari Jeti Merang ke pulau dan pulang. Tambang bot pulang adalah sekitar RM100 seorang.

 

Anda patut cuba sotong celup tepung

Kalau anda ke kawasan pantai di Terengganu, jangan lupa singgah di mana-mana gerai menjual sotong celup tepung atau makanan laut celup tepung.

Yang popular di Kuala Terengganu, tentu sekali Warung Pok Nong yang menyediakan pelbagai makanan laut celup tepung yang sedang dang rangup. Nak lebih ‘kick’ jangan lupa makan dengan sos yang disediakan.

Nota: Datang lebih awal kerana anda mungkin perlu beratur panjang untuk memesan makanan di warung ini!

 

Lepak di Pantai Penarik

Hanya 10 minit memandu ke utara Merang adalah Pantai Penarik yang indah, tempat yang popular dikalangan penduduk tempatan. Dilengkapi dengan pokok kelapa sawit dan pokok kelapa yang merimbun, latar belakang di pantai ini memang sesuai untuk gambar Instagram anda.

Nikmati bayu laut sambil berhayun dibuaian yang disediakan di tepi pantai atau bawa anak-anak bermain layang-layang. Pada hari yang cerah, cuba lihat jika anda boleh melihat pulau-pulau berhampiran seperti Redang, Lang Tengah dan Bidong dari pantai itu. Tak lupa juga, nikmati makan malam bbq makanan laut yang segar dan pastinya buat anda mahu kembali lagi.

_______________________________________________________________________

Dengan pelbagai penginapan di seluruh negara, pastinya sukar untuk memilih. Kalau tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

 

17 Shares
Share17
Tweet
+1
Pin
Share