Penginapan Hebat

7 Jenis Hotel Yang Sesuai Dengan Gaya Percutian Anda. Jadi Apa Pilihan Anda?

Anda mungkin terserempak dengan beberapa pengembara atau pelancong yang berkongsi cita rasa yang sama. Tetapi bila bercerita tentang cita rasa penginapan, semestinya akan ada perbezaan. Ada yang memilih hotel bertaraf lima bintang atau pun mereka yang selesa walau hanya dengan hotel bertaraf satu bintang.

Sebenarnya, rating bukanlah semata-mata penentu kepada jenis percutian atau pengembaraan pilihan anda. Selain faktor perbezaan harga, setiap jenis hotel ini menawarkan pelbagai jenis keselesaan dan kemudahan untuk kesesuaian gaya percutian pilihan anda.

Jadi, melalui artikel ini, kami senaraikan 7 jenis konsep hotel yang wajib diketahui oleh pengembara seperti anda. Jom lihat senarai di bawah.

Vila

Konsep ini tidak semestinya dikhaskan untuk orang yang kaya sahaja tetapi juga bagi mereka yang tidak kisahkan tentang harga asalkan dapat memenuhi kemahuan dan pengalaman percutian yang tersendiri. Vila selalunya berkonsepkan kemewahan, berkelas dan luas. Vila a la desa sangat sesuai buat pasangan atau pun yang sudah berkeluarga.

Hotel Butik

Seni bina yang moden dan bergaya merupakan tarikan utama Hotel Butik ini. Oleh sebab itulah hotel jenis ini sangat digemari oleh orang muda. Hotel Butik boleh ditemui di bandar-bandar utama dan biasanya menawarkan antara 10 hingga 100 buah bilik.

Hotel Rantaian

Hotel Rantaian merujuk kepada kumpulan hotel-hotel yang diurus dan dikendalikan oleh sebuah kumpulan utama. Fokus utama hotel jenis ini ialah keseragaman standard. Hotel yang tersenarai dalam kategori ini selalunya boleh ditemui di kawasan-kawasan tumpuan atau komersil. Hotel jenis ini selalunya menawarkan servis buat pelancong perniagaan.

Hotel Kapsul

Apa yang unik mengenai Hotel Kapsul ini adalah setiap kapsul direka khas hanya untuk kegunaan seorang pengguna sahaja. Anda boleh merasai pengalaman ini di Jepun dan kerana ia menawarkan harga yang murah di kawasan bandar, hotel jenis ini sering menjadi pilihan utama pengembara backpackers. Jika anda seorang backpackers, hotel jenis ini sangat sesuai untuk anda.

Rumah tetamu

Inilah jenis pilihan yang akan membuatkan anda teringatkan kampung halaman — atau ketika anda menumpang tidur di rumah rakan anda. Oleh kerana ia kerap ditemui di kawasan desa yang jauh dari bandar, pengembara akan dapat merasai sendiri pengalaman tinggal bersama penduduk tempatan.

Hostel

Jika anda tidak kisah berkongsi ruang dengan hampir 20 orang dalam satu dorm, ini adalah pilihan yang sesuai buat anda. Hostel digemari oleh pengembara-bajet terutamanya kerana harga penginapan yang sangat murah. Selain itu anda dapat bergaul dengan kawan-kawan baru atau mungkin bakal teman pengembaraan anda nanti!

Rumah tumpangan

Homestay kebiasaannya adalah rumah peribadi yang disewa bergantung kepada masa dan jumlah tetamu. Ianya sesuai untuk mereka yang datang dengan keluarga atau secara beramai-ramai.

Jadi, apakah pilihan hotel yang sesuai untuk percutian atau pengembaraan anda?

Kongsikan jenis pilihan anda dengan kami! ?

 

Diterjemahkan oleh: Zack Muhammad

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share