Tip Jalan-Jalan

Suka berjaga malam? Cuba 9 keseronokan tengah malam ini

Seperti lirik lagu “Pesta Muda Mudi” dendangan Saloma berbunyi, “Malam pesta muda mudi. Bertemasya dan menari. Suka ria dalam hati.”

Jika anda orangnya yang berjaga sepanjang malam dan tidur di siang hari, andalah yang kami panggil burung hantu.

Mungkin dunia seperti lebih tertumpu ke arah mereka yang memulakan hari di awal pagi. Tetapi selepas matahari terbenam dan jam berdetik 12 tengah malam, waktu itulah keseronokan bermula.

Walau di negara asing, sebenarnya ada banyak aktiviti larut malam yang boleh dilakukan sehingga ke awal pagi. Ini cadangan kami:

1.  Saksikan ‘gig’ secara langsung

Sumber: Shutterstock.com

Tak sukar mengenali “jiwa” sebenar sesebuah negara asing. Selami dunia muzik tempatan untuk mengetahui rentak sesuatu tempat itu.

Muzik melangkau sempadan bahasa, irama yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tanpa memahami lirik lagu, emosi di sebalik lagu itu terzahir daripada vokalis yang mendendangkannya. Lawati persembahan muzik dan hayati intipati karya pemuzik tempatan.

Tak kira apa pun genre muzik kegemaran anda, sama ada blues atau jazz mahupun rock, terdapat banyak bar dan pub yang menyediakan muzik sesuai dengan jiwa anda.

Pilihan kami adalah Gaslight Cafe di Kuala Lumpur, Wala Wala Cafe Bar di Singapura dan 12 Monkeys Music Hall & Pub di Manila.

2.  Menyanyi lagu kegemaran anda sehingga serak suara

Sumber: Shutterstock.com

Sudah pasti destinasi wajib untuk seseorang yang gemar menyanyi adalah mengunjungi pusat karaoke. Sewa bilik karaoke yang kalis bunyi dan nyanyi sepuas-puasnya tanpa rasa bimbang.

Karaoke, sebenarnya aktiviti kegemaran untuk menghilangkan tekanan dalam budaya masyarakat Asia. Tenangkan fikiran sebentar daripada kerja yang tidak pernah berkesudahan, cuba nyanyi Bohemian Rhapsody dari Queen sekuat hati.

3.  Saksikan pertunjukan cahaya dan bunyi yang mempesonakan

Sumber: Nattee Chalermtiragool / Shutterstock.com

Teringin untuk menyaksikan keajaiban aurora? Berita baik untuk anda – tak perlu pergi sejauh kutub utara untuk melihat fenomena ini. Simfoni Cahaya di Hong Kong dan Iluminasi Musim Sejuk di Tokyo, acara tahunan yang mempersembahkan komposisi cahaya dan bunyi sepanjang malam pun tidak kurang magisnya.

Di Supertree Grove Singapura, gabungan alam semula jadi dan teknologi dalam 12 struktur gergasi yang menyerupai pokok adalah sesuatu yang mungkin. Di malam hari, pokok-pokok futuristik ini juga akan bergemerlapan dengan cahaya.

4.  Cuba permainan yang mengujakan di taman tema

Sumber: Shutterstock.com

Siapa kata semua taman tema tutup di petang hari? Terletak lebih kurang 40 minit dari Kuala Lumpur, i-City ialah bandar bercahaya digital di Shah Alam. i-City beroperasi sehingga lewat malam pada kebanyakan hari dan sehingga 1 pagi pada hari Jumaat dan Sabtu.

Sesuai untuk seisi keluarga, i-City mempunyai pelbagai tarikan yang sesuai untuk semua peringkat umur seperti SnoWalk, taman musim sejuk tertutup yang pertama di Asia Tenggara; Misi Angkasa, pengalaman mengembara ruang angkasa; Muzium Seni Silap Mata dan tarikan utama taman tema tersebut, Bandar Bercahaya Digital yang dinyalakan oleh berjuta-juta lampu LED yang berwarna warni.

Menjelang Halloween, taman tema popular seperti Universal Studios di Singapura dan Sunway Lagoon di Malaysia akan melanjutkan waktu beroperasi mereka sehingga lewat malam dengan tarikan berunsur mistik untuk mereka yang sukakan unsur-unsur seram.

5.  Borong sakan di pusat membeli-belah 24 jam

Sumber: topnatthapon / Shutterstock.com

Adakah anda ‘kaki shopping’? Berita baik untuk anda, syurga membeli-belah iaitu Mustafa Center di Little India di Singapura dan Dongdaemun di Seoul beroperasi selama 24 jam.

Dari tekstil dan barang kemas hingga jam dan barang elektronik, Mustafa Center ada segala-galanya. Produk daripada pereka fesyen terkenal juga jauh lebih murah dari harga pasaran. Inilah masanya untuk anda borong cenderahati yang murah-murah untuk dibawa pulang!

Gaya kasual fesyen jalanan Seoul – rekaan yang moden, aksesori yang menonjol – memang mencuri perhatian. Kemas kini almari fesyen anda dengan ‘trend’ terkini daripada pusat membeli-belah terkenal Dongdaemun.

Tentu rambang mata dan tak keruan melihat pilihan yang berbagai dan berbaloi! Tak hairanlah ia dikenali sebagai daerah membeli-belah borong dan runcit terbesar di Korea. Lebih menarik lagi, pakaian dan aksesori di sini jauh lebih murah daripada pusat membeli-belah yang lain.

6.  Manjakan diri semalaman di spa

Sumber: Ronny Siegel / Wiki Commons

Tenang dan mendamaikan. Bersantai di kolam air panas gunung berapi semulajadi di onsen yang boleh didapati serata Jepun. Onsen dikatakan mampu menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit dengan airnya yang kaya dengan kandungan mineral.

Anda pasti tidak mahu ketinggalan bermalam di Ooedo-Onsen Monogatari di daerah Odaiba di Tokyo, taman tema onsen terbesar di Jepun.

Selain daripada kolam mandian, rehatkan minda dengan rawatan spa yang terapeutik sebelum nikmati makanan di matsuri (pesta Jepun), lengkap dengan permainan karnival yang menyeronokkan.

7.  Alami Safari Malam yang mengujakan

Sumber: Shutterstock.com

Alami pengalaman melihat habitat haiwan liar di malam hari di Safari Malam Singapura, konsep taman safari malam yang pertama di dunia. Naiki trem dengan melalui enam zon geografi di taman itu, dari konsep Himalaya yang berbukit hingga Hutan Khatulistiwa Asia.

Kemudian, jelajah taman dengan berjalan kaki untuk melihat haiwan yang tidak terlihat dari trem seperti musang terbang Malaya dan tupai terbang gergasi dengan lebih dekat.

Dengan lebih 1,000 spesies haiwan nokturnal yang aktif, anda boleh mendekati spesies-spesis unik yang diancam kepupusan seperti tapir dan harimau Malaya.

8.  Singgah di pasar malam bila lapar pada tengah malam

Sumber: Shutterstock.com

Lenguhnya kaki berjalan ke sana dan ke sini. Jika anda menginginkan snek ringan, makanan jalanan ialah pilihan yang terbaik.

Antara pasar malam terbaik yang menjadi impian setiap pencinta makanan termasuklah Pasar Malam Shilin di Taipei dan Pasar Rot Fai di daerah Ratchada di Bangkok. Murah pun murah, sedap pun sedap!

Sukakan makanan bergoreng? Atau dipanggang? Atau dikukus? Tak kira apa pun pilihan anda, pasar malam lengkap dengan aneka makanan untuk semua.

Menu yang wajib dicuba di Pasar Shihlin Night adalah tahu busuk Taiwan. Manakala Pasar Rot Fai pula terkenal dengan tiram segar, dan aiskrim gulung.

9.  Mengopi bila-bila masa

Sumber: Shutterstock.com

Secawan kopi bukan sahaja minuman yang dinikmati penggemar kafein, tetapi kini menjadi suatu gaya hidup. Sebagai salah satu pengeluar kopi terbesar di dunia, Jakarta mengikuti ‘trend’ perkembangan pesat budaya kopi di Asia Tenggara.

Kedai-kedai kopi di Jakarta membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Malah, ada yang beroperasi sehingga lewat malam khusus untuk mereka yang insomnia, gila kerja atau hanya lebih suka kopi pada lewat malam.

Kunjungi Lucky Cat Coffee And Kitchen di Plaza Festival yang dibuka 24 jam untuk para penggemar kopi.

Tidak dilupakan Jakarta Coffee House yang beroperasi sehingga pukul 1 pagi pada hari Jumaat dan Sabtu atau Anomali Coffee Kemang yang beroperasi sehingga pukul 2 pagi pada hari Sabtu.

 

Diterjemahkan oleh: Nadhirah Hasnan

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

31 Shares
Share31
Tweet
+1
Pin
Share