Inspirasi,  Tip Jalan-Jalan

5 destinasi terbaik untuk menikmati Loi Krathong, Pesta Cahaya Thailand

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

 

Menjelang senja pada hari Loi Krathong, ramai yang berkumpul di sekitar tasik, sungai, dan terusan sekitar Thailand untuk memberi penghormatan kepada Dewi Air. Beribu-ribu krathong (bekas kecil yang diperbuat daripada daun pisang) akan dihanyutkan ke permukaan air — ada yang berbentuk teratai, dihiasi lilin dan setanggi, serta tawaran seperti bunga berwarna-warni  — semuanya indah menyinari kegelapan malam semasa Pesta Cahaya Thailand ini bermula. 

Salah satu pesta kebudayaan yang terkemuka di Thailand selepas Pesta Tahun Baru Songkran, Loi Krathong berjaya menarik kehadiran ribuan pelancong untuk menyaksikan fenomena hebat perayaan ini. Disambut pada hari bulan penuh dalam bulan ke-12 kalendar lunar Thailand, tahun ini, hari Loi Krathong jatuh pada 11 November. 

Jangan terlepas untuk menyaksikan keindahan Pesta Cahaya Thailand ini di lima destinasi berikut untuk melihat tradisi yang berbeza! Baca selanjutnya: 

1. Sukhothai

Walaupun Loi Krathong disambut di seluruh Thailand, ritual ini sebenarnya berasal dari Sukhothai, iaitu tempat kelahiran Kerajaan Siam yang terawal. Perayaan utama di bandar ini akan bertapak di sekitar Sukhothai Historical Park, dan Pesta Loi Krathong di sini disambut bersama Candle Festival dalam tempoh 10 hari. 

Ketika pesta ini, pengunjung boleh melihat perarakan krathong yang besar daripada 17 daerah Utara Thailand dan menyaksikan persembahan kebudayaan yang mengujakan. Antaranya termasuklah pertunjukan cahaya dan bunyi di kuil Wat Maha That pada setiap malam, tarian topeng Khon di Wat Chana Songkhram dan pertunjukan bunga api. 

Tarikh sambutan: 2 – 11 November 2019*

2. Chiang Mai

Untuk melihat budaya Thai dengan lebih mendalam, bandar kebudayaan Chiang Mai sememangnya menjadi tempat pilihan. Pesta Loi Krathong daerah Utara Thailand lebih istimewa, kerana ia disambut bersama festival kebudayaan Lanna yang dikenali sebagai Yi Peng ataupun Pesta Tanglung Chiang Mai, yang disambut pada malam sebelum Loi Krathong. 

Tempat terbaik untuk melihat tanglung yang dilepaskan ke langit secara besar-besaran ialah di Mae Jo University, tetapi anda perlu tiba lebih awal untuk mendapatkan spot pemandangan terbaik. Di samping persembahan budaya, pertandingan ratu cantik tempatan, dan pelbagai bazar untuk menikmati hidangan tempatan, anda juga berpeluang untuk melepaskan tanglung anda sendiri. 

Tarikh sambutan: 9 – 12 November 2019*

3. Bangkok

Sebagai ibu negeri Thailand yang sering dibanjiri oleh pelancong, Bangkok menjanjikan pesta Loi Krathong yang lebih meriah. Kehangatannya boleh dirasai hampir di setiap sudut bandar, tetapi sambutan utama biasanya diadakan di sekitar Asiatique, Santi Chai Prakan Public Park, Wat Saket, dan Rama VIII Bridge. Untuk mengapungkan krathong anda sendiri, pergi ke Lumpini Park di Silom atau Benjasiri Park dan Benjakiti Park di Sukhumvit.

Beberapa hotel terkemuka di sekitar Chao Phraya River juga turut menyambut pesta ini dengan mengapungkan krathong di kolam renang mereka. Ada juga yang mengadakan jamuan makan malam istimewa bersama pertunjukan bunga api kecil-kecilan untuk tetamu seperti anda, yang turut dialu-alukan untuk meraikan pesta kebudayaan ini bersama.

Tarikh sambutan: 9 – 11 November 2019*

4. Ayutthaya 

Terletak kira-kira 80 kilometer dari Bangkok, bandar purba Ayutthaya merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menawarkan pengalaman Loi Krathong tersendiri dan lebih berunsur keagamaan. Berlatarkan suasana kota tua yang tenang, di sini anda turut berpeluang untuk mendalami peninggalan sejarah Thai yang terunggul. 

Sambutan utama di sini biasanya diadakan di Bang Sai Royal Folk Arts & Crafts Centre, dan ia diraikan bersama tiga festival kecil iaitu Festival Tam Prathip, Krung Kao, dan Talapat  — semuanya dalam sehari. Jika anda ingin melepaskan krathong ke sungai, pergi ke kawasan berdekatan Chao Phraya River atau Pridi-Thamrong Bridge. Selain aktiviti seperti pertandingan membuat krathong, mereka juga mengadakan upacara mandian semasa bulan penuh. 

Tarikh sambutan: 11 November 2019*

5. Tak

Mungkin anda belum pernah dengar tentang wilayah Tak di barat Thailand, kan? Terletak berhampiran sempadan Myanmar, perjalanan ke Tak mengambil masa kira-kira 3 jam setengah dari Chiang Mai. Selain sejarah dan kebudayaan yang unik, Tak menyimpan pelbagai keindahan alam semula jadi seperti Air Terjun Thi Lo Su yang dikatakan terbesar dan tertinggi di Thailand.

Digelar Loi Krathong Sai Festival, ia diraikan bersama Festival Thousand Floating Lanterns yang disambut besar-besaran oleh rakyat tempatan. Sambutan utama untuk tradisi mengapungkan krathong dan melepaskan tanglung bersama-sama bertempat di Ping Riverside pada waktu malam. Menariknya, di sini anda boleh melihat perarakan bot-bot besar yang dihias cantik dengan elemen kebudayaan Thai!

Tarikh sambutan: 9 – 13 November 2019*

 

Tahukah anda?💡 Rakyat Thai percaya bahawa meletakkan helaian rambut, potongan kuku, dan lebihan kain lama dalam krathong dapat membuang badi. 

Nota: Pengunjung dinasihatkan untuk menggunakan krathong yang diperbuat daripada bahan-bahan biodegradasi sahaja dan mematuhi had satu krathong bagi setiap satu keluarga untuk memelihara alam sekitar. 

*Tarikh sambutan adalah tepat semasa waktu artikel ini diterbitkan.  

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share