Tip Jalan-Jalan

Panduan untuk aktiviti menyelam dan snorkeling di Pulau Perhentian

Pulau Perhentian dikenali kerana tempat menyelamnya yang hebat serta pelbagai sebab lain. Terdapat lebih 30 kawasan menyelam untuk dijelajah dan setiapnya unik dengan tarikan yang akan buat anda kembali untuk lebih banyak pengalaman.

Tempat menyelam yang popular

1. Sugar Wreck

Salah satu tempat menyelam yang berdekatan dengan pulau, terdapat sebuah kapal yang telah tenggelam di kejauhan 18 meter bawah laut. Istimewanya kawasan ini adalah bangkai kapal ini yang menjadi rumah kepada hidupan marin yang banyak.

Menyelam sekitar kapal untuk melihat jerung, ikan buntal, ikan barakuda dan banyak lagi! Kapal sepanjang 80 meter ini juga pernah mengangkut gula.

Kredit: Ye Choh Wah / Shutterstock

2. Tokong Laut

Dikenali sebagai ‘Kuil Bawah Laut’, tempat ini patut ada dalam senarai anda. Bahagian terdalam kawasan menyelam ini adalah sedalam 25 meter. Di sini anda akan dapat melihat Nemo a.k.a clownfish, scorpionfish, ikan pari berwarna biru dan pelbagai jenis batu karang.

Jangan terlepas jerung buluh yang tinggal di bawah batu dan berenang di kalangan ikan jenahar!

3. Terumbu Tiga

Jika anda mahu melihat atau berenang bersama penyu, kawasan ini tempat yang sesuai untuk anda. Terumbu Tiga agak besar dan menjadi tempat tinggal bagi pipefish, mudibranch dan ikan barakuda. Terdapat beberapa gua besar dan kawasan berenang di antara batu-batu, yang menambah lagi keseronokan kepada penyelam.

Bayaran?

Kebanyakan pusat menyelam di Pulau Perhentian menawarkan kurus menyelam PADI dan berharga antara RM950 dan RM1,150.

Sesetengah tempat menawarkan pakej penginapan untuk 3 hari 2 malam dengan kursus menyelam. Kos menyelam bergantung pada jenis penginapan yang anda pilih. Harga selalunya kurang dari RM2,000.

Walaupun menyelam buat anda ketagih, ada yang kurang suka menyelam dan mahal untuk dicuba. Jadi jangan risau, kerana banyak tempat menyelam yang menawarkan kursus menyelam yang membolehkan anda belajar perkara asas dan menyelam di kawasan cetek (pakej berharga RM200-RM250) sebelum anda mengambil keputusan untuk mengambil lesen menyelam. Pakej ini juga sesuai untuk yang tiada masa.

Kepada sesiapa yang mempunyai lesen, kos menyelam ini berharga hanya RM65 dan RM90, setiap sesi.

 

Tak mahu menyelam tapi masih mahu berada dekat dengan hidupan marin?

Jawapannya tentulah snorkeling. Air laut di sini agak jernih dan penuh dengan hidupan marin yang berwarna-warni, jadi anda pasti tidak akan kecewa.

Pergi ke Turtle Point untuk melihat haiwan terancam ini berenang bebas di lautan. Jika anda bernasib baik, anda juga boleh berenang bersama penyu itu, yang tidak takut manusia dan tidak kisah dikerumuni manusia.

Shark Point adalah antara tempat menyelam yang diminati di kalangan pelancong. Anda boleh berenang dekat dengan jerung yang jinak. Sekiranya anda ingin melihat terumbu karang, Coral Point adalah tempat yang anda perlu pergi.

Pengendali selalunya mempunyai pakej yang bersesuaian dengan keperluan dan masa pelancong. Jadi periksa pakej dan lihat slot untuk kumpulan anda.

Bagaimana untuk menjadi pelancong yang bertanggungjawab

Seperti terumbu karang lain di seluruh dunia, terumbu yang berada di pulau-pulau sekitar Perhentian juga telah mati kerana pencemaran dan perubahan iklim. Bukti-bukti ini dapat dilihat di beberapa pantai di kepulauan Perhentian kecil dan besar.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk meminimumkan kesan pencemaran oleh manusia apabila anda melawat pulau-pulau.

1. Lihat jangan sentuh

Batu karang adalah makhluk hidup dan kadangkala terdiri daripada beribu-ribu haiwan kecil yang tinggal di sekelilingnya. Batu karang mungkin kelihatan kuat tapi ia mudah rosak dan mati. Cuba untuk tidak terlalu dekat dengannya apabila anda menyelam, kerana peralatan anda boleh merosakkan hidupan ini secara tidak sengaja.

2. Jangan beri makan kepada ikan

Ia mungkin kelihatan tidak berbahaya tetapi memberi makan ikan, akan menarik minat spesies lain yang bukan berasal dari kawasan itu. Ini boleh mengganggu ekosistem semula jadi di kawasan itu dan akhirnya menyebabkan banyak terumbu karang mati.

3. Pilih pengendali dengan bijak

Selidik pengendali pelancongan anda dengan baik. Di Pulau Perhentian, anda akan dapat melihat beberapa pengendali yang mempunyai poster dan bahan maklumat lain di kedai mereka tentang pemuliharaan untuk pengetahuan anda.

4. Kawal penggunaan plastik anda

Plastik adalah isu besar yang diwar-warkan dalam berita. Sebilangan besar plastik yang kami gunakan setiap hari mungkin akan mencemarkan lautan. Perkara-perkara mudah seperti membawa beg yang boleh diguna semula, kitar semula dan bahkan membuang sampah ke dalam tong yang betul boleh membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

 

Sedia untuk menempah perjalanan anda?

Sekarang, anda sudah mendapat semua maklumat yang anda perlukan, tunggu apa lagi? Jom tempah perjalanan anda ke Pulau Perhentian di sini.

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

8 Shares
Share8
Tweet
+1
Pin
Share