0

Traveloka MY

03 Jun 2019 - 12 min read

Nak bercuti lepas raya? Ini cadangan destinasi untuk anda

Ditulis oleh : Farah Hanan Azahar

Kebiasaannya, ramai yang ambil peluang untuk sambung bercuti atau pergi melancong bersama keluarga, pasangan, atau rakan-rakan selepas sibuk beraya. Bagi mereka yang masih mendapat duit raya, lagi seronoklah bercuti kan?

Kami ingin memudahkan anda membuat pilihan. Jadi, kami telah kumpulkan beberapa destinasi percutian yang sesuai untuk anda melancong selepas Aidilfitri berserta info yang membantu untuk inspirasi pengembaraan anda. Baca seterusnya!

1. Ella, Sri Lanka

Kredit: Flickr / Vanda Francke

Sri Lanka sememangnya salah satu destinasi paling trending tahun ini. Jika anda akan ke sini, pastikan Ella ada dalam itinerari anda. Bandar kecil ini terletak kira-kira 200km dari Colombo, ibu negeri Sri Lanka, dan ia terkenal dengan kekayaan biodiversiti alam semula jadi yang mengagumkan. Anda pasti terpegun melihat pemandangan kehijauan ladang teh dan kesuburan hutan hijau yang memukau. Inilah sebabnya Ella menjadi pilihan sesuai untuk melarikan diri daripada kesibukan bandar dan menghayati keindahan alam.

Lakukan aktiviti hiking selama 15 minit di Adam’s Peak dan anda akan diberi ganjaran pemandangan yang tiada tandingan! Tak pun, anda boleh memanjat Ella Rock yang lebih mencabar selama 2 jam. Jika anda mempunyai masa, teruskan perjalanan dari Ella ke Kandy selama 7 jam dan nikmati salah satu perjalanan kereta api terindah di dunia yang akan membawa anda melepasi pergunungan, ladang teh dan perkampungan tempatan dengan panorama menakjubkan. Rasa seperti dalam filem pun ada!

Selain itu, anda juga boleh meneroka beberapa air terjun popular di Ella termasuklah Ravana Falls dan Diyaluma Falls untuk bermandi-manda. Pesona Ella memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata dan perlu disaksikan sendiri. Di sini juga ada banyak pilihan penginapan seperti villa menawan yang lebih dekat dengan alam semula jadi dengan lebih privasi, menjadikannya sesuai sebagai destinasi percutian romantik. Sesuai sangat kalau nak ke sini bersama si dia selepas raya! ;)

Sesuai untuk: Pasangan, pengembara solo, pencinta alam, penerokaan yang romantik

Tempat menarik: Nine Arches Bridge, Adam’s Peak, Ella Rock, Ravana Falls, Diyaluma Falls, Ella Spice Garden, Lipton’s Seat

Tip pro: Setiap pagi Rabu di Passara Road, sebuah pasar kecil akan dibuka untuk anda membeli pakaian, sayur-sayuran, rempah-ratus tempatan, dan buah-buahan segar.

2. Jogjakarta, Indonesia

Kredit: Unsplash / Gints Gailis

Satu-satunya daerah Indonesia yang masih diperintah dengan sistem monarki prakolonial ini semakin popular selepas menjadi salah satu lokasi filem Ada Apa Dengan Cinta 2. Dikenali tempatan sebagai kota Jogja, keunikan bandar ini terletak pada daya tarikan warisan kebudayaan dan tradisi yang masih dikekalkan sehingga hari ini. Semua ini boleh dilihat di tarikan popular seperti Taman Sari, Kraton Yogyakarta, Candi Borobudur dan Candi Prambanan. Tetapi anda juga boleh meneroka kesenian bandar ini yang berkembang maju dengan pelbagai seni jalanan moden seperti lukisan graffiti dan barisan kafe-kafe hip yang terdapat di sepanjang Jl. Tirtodipuran, Jl. Prawirotaman, dan Jl. Dl. Panjaitan.

Gudeg, soto, ayam geprek, rujak es krim dan bakpia merupakan di antara hidangan tempatan yang perlu dicuba apabila di Jogjakarta. Selain tempat membeli-belah seperti Jalan Malioboro yang terkenal, destinasi ini juga menjadi kegemaran untuk percutian dengan rakan-rakan kerana banyak aktiviti outdoor dan lawatan menarik boleh dilakukan bersama. Jika anda berani menaiki gondola yang dikendali manusia atau melintasi jambatan gantung di atas lautan, pastikan anda meluangkan masa di Pantai Timang yang juga terkenal dengan masakan udang galah segar!

Kredit: Unsplash / Iswanto Arif

Menjelajah Jogjakarta pasti menjadi impian setiap Instagrammer tegar yang suka mengambil gambar kerana di sini terdapat banyak spot unik seperti latar hutan pinus yang mengkhayalkan di Hutan Pinus Mangunan, kawasan pergunungan di Gunung Merapi, panorama indah di Pintoe Langit Dahromo, dan banyak lagi. Selain mengambil foto #OOTD dan mendokumenkan percutian anda, jangan lupa menghayati keindahan Jogja melalui orang tempatannya yang mesra dan suasana tenang kota tua, menambah kesesuaiannya sebagai destinasi percutian yang menyegarkan.

Sesuai untuk: Keluarga, rakan-rakan, pengembara solo, penerokaan kebudayaan, penggemar fotografi

Tempat menarik: Candi Borobudur, Goa Jomblang, Muzium Affandi, Alun Alun Kidul, Pantai Parangtritis, Gunung Merapi, Gumuk Pasir Parangkusumo

Tip pro: Kebanyakan tempat tarikan pelancong sekitar Jogja menyediakan spot gambar yang cantik untuk digunakan dengan bayaran yang sedikit. Sediakan wang kecil jika anda ingin mengambil gambar di sini.

3. Hat Yai, Thailand

Pulang beraya di Pantai Timur? Seronok juga kalau terus buat road trip ke Hat Yai, Thailand!Bandar dengan majoriti penduduk Muslim ini ialah syurga makanan yang popular, terutamanya bagi penggemar makanan laut kerana di sini ada pelbagai jenis hidangan tempatan yang menyelerakan dengan harga yang berpatutan. Antara yang perlu dicuba ialah makanan laut gaya Thai, masakan tradisional seperti somtam, tomyam, pelbagai dim sum, hinggalah pencuci mulut enak seperti penkek mangga atau ais krim kelapa. Makanan di sini memang asli dan kena dengan mereka yang mempunyai ‘tekak Melayu’.

Untuk pengalaman yang lebih manis, makan di pasar terapung Khlong Hae Floating Market yang berlatarkan pemandangan perkampungan tepi sungai. Dibuka setiap Jumaat hingga Ahad dari 3 petang hingga 9 malam, di sini terdapat lebih banyak pilihan makanan halal berbanding pasar apung di Bangkok. Sambil mencari lebih banyak makanan halal di ASEAN Night Bazaar, anda juga boleh mencuci mata dan membeli pakaian, aksesori, dan cenderahati yang murah-murah di sini. Jika ia tidak cukup memuaskan, sambung perjalanan ke Pasar Kim Yong, Pasar Santisuk atau Pasar Malam Greenway untuk membeli-belah. Jangan segan untuk tawar-menawar!

Hat Yai juga mencuri hati ramai pelancong berkeluarga kerana mempunyai tarikan mesra kanak-kanak seperti Kem Gajah Chang Puak dan Muzium Magic Eye 3D. Selain makanan dan membeli-belah, anda juga boleh mendalami kebudayaan Hat Yai dengan lawatan ke kuil-kuil di sini, termasuklah salah satu patung Buddha berbaring yang terbesar di dunia di Wat Hat Yai Nai. Aktiviti luar seperti meneroka air terjun dan mengalami safari di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Tong Nga Chang juga menarik. Apa-apa pun, suasana Hat Yai yang santai memang sesuai untuk percutian ringkas!

Sesuai untuk: Keluarga, rakan-rakan, pencinta makanan, percutian santai, road trip

Tempat menarik: Hat Yai Municipal Park, ASEAN Night Bazaar, Khlong Hae Floating Market, Wat Hat Yai Nai, Magic Eye 3D Museum, Chang Puak Elephant Camp

Tip pro: Ramai orang yang boleh berbahasa Melayu di Hat Yai, jadi anda tidak perlu risau tentang masalah komunikasi.

4. Bagan, Myanmar

Kredit: Unsplash / Charlie Costello

Salah satu tapak arkeologi tertua di dunia, Kota Tua Bagan di Myanmar ternyata dipenuhi banyak peluang penerokaan yang menakjubkan. Pelbagai warisannya terletak pada kuil berusia ratusan tahun yang indah dengan latar belakang kehijauan subur. Ingin menaiki belon udara seperti di Cappadocia? Di Bagan, anda boleh mendapatkan pengalaman menaiki belon udara selama lebih kurang sejam untuk menikmati pemandangan matahari terbit dari udara. Jika anda tidak sanggup membayar ratusan ringgit, pergi saja ke Kuil Dhammayangyi untuk mengambil gambar panorama indah dengan latar belakang belon-belon udara ini. Sebijik poskad!

Walaupun memiliki warisan setanding Machu Picchu dan Angkor Wat, Bagan boleh dikatakan masih kurang diketahui pelancong. Ada dua kawasan utama, Old Bagan dan New Bagan. Jika anda ingin mudah melawat banyak tempat tarikan pelancong, pilih penginapan di kawasan Old Bagan yang juga lebih nyaman daripada hiruk-pikuk bandar. Sewa basikal untuk meneroka bandar ini dengan lebih kasual, ataupun bersiar-siar menaiki kereta kuda tradisional. Bagi pelancong Muslim, makanan halal agak sukar dicari di Myanmar, tetapi anda boleh mencuba hidangan vegetarian di pasar-pasar tempatan atau membawa bekalan makanan segera yang dari rumah.

Dahulunya merupakan kerajaan purba yang berpengaruh, bandar ini masih mengekalkan banyak ciri kebudayaan dan tradisi Myanmar yang asal. Terokai lebih daripada 2,000 kuil Buddha dan pagoda yang ada di sekitar Bagan untuk memuaskan rasa ingin tahu anda tentang budaya yang berbeza dengan kita. Pastikan anda singgah di Pasar Mani Sithu ataupun Pasar Nyaung U untuk membeli kraftangan unik sebagai kenangan dari Bagan! Bandar ini terkenal dengan hiasan dan lacquerware cantik, termasuklah pinggan mangkuk dan perkakas rumah yang boleh dijadikan persiapan rumah terbuka anda setelah pulang nanti.

Sesuai untuk: Backpackers, pengembara berpasangan, penerokaan kebudayaan, menikmati keindahan alam

Tempat menarik: Muzium Arkeologi Bagan, Kuil Ananda, Kuil Dhammayangyi, Shwesandaw Pagoda, Shwezigon Pagoda, Bupaya Pagoda

Tip pro: Bagan bukanlah bandar moden, dan kemudahan di sini masih tidak mencukupi. Matawang USD diterima di sini dan anda dinasihatkan untuk membawa wang lebih kerana kekurangan mesin ATM di sini.

5. Phu Quoc, Vietnam

Tidak dinafikan, pulau yang trending di Vietnam ini makin memikat hati ramai pengunjung dunia. Destinasi ini sesuai untuk mereka yang ingin melapangkan minda dan menghirup udara segar kerana terdapat pantai-pantai cantik seperti Pantai Sao dan Pantai Khem, keindahan flora dan fauna di Phu Quoc National Park, serta suasana perkampungan nelayan yang tenang seperti Ham Ninh dan Ganh Dau. Keindahan semula jadi yang masih tidak tercemar membuatkan Phu Quoc layak berada dalam bucket list anda!

Mestilah kena rileks dulu sebelum kembali bekerja! Waktu panas macam ini, mungkin anda idamkan untuk bersantai di tepi laut sambil menikmati air kelapa, atau ada juga yang ingin menikmati cuaca panas ini dengan aktiviti menyegarkan seperti lawatan ke Vinpearl Safari Phu Quoc untuk melihat haiwan eksotik. Phu Quoc juga mempunyai pelbagai jenis hidupan marin dan anda boleh menyelam bersama penyu karah, penyu hijau, atau dugong. Baru dibuka tahun ini, terdapat tarikan kereta kabel melintasi lautan yang terpanjang di dunia di Pulau Hon Thom (Pineapple Island). Haa, anda berani cuba?

Cerita tentang percutian di Phu Quoc yang pernah didengari sentiasa indah belaka. Dengan banyak pilihan tempat peranginan mewah berdekatan pantai, ia juga sesuai dikunjungi oleh mereka yang ingin berbulan madu atau menikmati percutian keluarga yang menenangkan. Sebelum pulang, abadikan kenangan manis anda dengan gambar indah di spot gambar terkenal seperti buaian pokok palma yang terletak di hujung Pantai Sao atau pagoda terkenal seperti Ho Quoc Pagoda.

Sesuai untuk: Pasangan, rakan-rakan, backpacker, percutian romantik, bersantai dan berhibur

Tempat menarik: Pantai Sao, Pantai Long Beach, Air Terjun Suoi Tranh, Perkampungan Nelayan Ham Ninh, Pagoda Sung Hung, Phu Quoc National Park

Tip pro: Tiada restoran yang diiktiraf halal di sini, tetapi ada pilihan mesra Muslim di gerai-gerai Pasar Malam Phu Quoc seperti makanan laut barbeku. Rancang perjalanan anda lebih awal sebelum pasar ini mula sesak sekitar jam 7 malam.

6. Ubud, Bali

Kredit: Unsplash / Geio Tischler

Sama ada pelancong berkeluarga, sekumpulan kawan rapat, pasangan atau solo — Ubud mempunyai tarikan sesuai untuk semua. Ubud yang dikatakan sebagai pusat kebudayaan dan kesenian Bali menawarkan pelbagai aktiviti berasaskan kemahiran yang unik. Anda boleh mencuba kelas memasak, melukis Batik, atau membuat kraftangan yang akan diselia oleh orang tempatan Bali yang berkemahiran.

Perjalanan anda di Ubud tidak lengkap tanpa menikmati pemandangan sawah padi berteres yang rapi menghijau dan indah. Untuk pengalaman yang sukar dilupakan, anda boleh menjamu selera sambil menikmati panorama indah ini di tempat makan yang elegan seperti Sawah Terrace, Restoran Boni Bali, atau Pomegranate Cafe. Ubud yang mempunyai reputasi sebagai yoga retreat juga tidak terkecuali dengan senarai studio yoga menarik dan kafe-kafe chic yang menawarkan menu sihat. Turut mempunyai banyak spa kecantikan, tidak hairanlah mengapa Ubud menjadi destinasi impian hampir setiap wanita!

Kredit: Unsplash / Ruben Hutabarat

Selain pemandangan semula jadi yang mengagumkan, Bali menarik perhatian pengembara dunia dengan tradisi keagamaan yang kuat dan boleh dilihat melalui kuil-kuil suci yang dipelihara. Untuk mendalami kebudayaan Bali, terdapat beberapa kuil (dikenali tempatan sebagai pura) di sekitar Ubud yang mesti dilawati seperti Pura Saraswati, Pura Gunung Kawi, atau Pura Dalem Ubud. Ataupun, anda boleh mempelajari tentang kekayaan sejarah dan warisan seni Bali di Arma Museum Bali dan Muzium Puri Lukisan. Singgah di Ubud Art Market untuk membeli-belah barang hiasan dan aksesori seperti beg tangan rotan, kraftangan dan karya seni tempatan.

Sesuai untuk: Pasangan, rakan-rakan, keluarga, backpacker, peminat seni dan kebudayaan, percutian romantik

Tempat menarik: Sawah Padi Tegalalang, Ubud Monkey Forest, Pura Saraswati, Pura Tirta Empul, Istana Puri Saren Ubud, Ubud Art Market

Tip pro: Untuk memasuki tempat suci seperti pura di Bali, anda perlu berpakaian sopan. Bersedia dengan kain seperti pario, selipar, dan elakkan memakai pakaian tanpa lengan atau seluar pendek.

7. Siem Reap, Cambodia

Kredit: Unsplash / Gyorgy Bakos

Pertama kali ke Siem Reap, Kemboja? Bandar peranginan yang megah dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO Angkor Wat ini semakin kerap menerima kunjungan pengembara Muslim. Backpackers juga sering membuat lawatan ke sini kerana kini terdapat pilihan kemudahan yang berpatutan. Makanan halal juga banyak tersedia di kawasan Steung Thmey, kejiranan komuniti Muslim yang menawarkan beberapa restoran halal. Di sini, anda boleh mencuba makanan tempatan Khmer seperti Amok yang dimasak daripada air kelapa segar dan rempah kari Kroeung yang tidak begitu pedas dan dihidangkan dengan ikan.

Selami sejarah Kemboja melalui lawatan ke Muzium Perang Kemboja, Cambodia Landmine Museum dan Angkor Panorama Museum untuk pengalaman yang lebih membuka mata. Dari Siem Reap, anda boleh menaiki tuk-tuk dalam perjalanan 40 minit ke Banteay Srei dalam kawasan Angkor Archaeological Park untuk melihat seni bina ukiran batu yang indah. Jelajahi tapak arkeologi Beng Mealea untuk melihat sebuah kuil Vishnu abad ke-12 yang merupakan antara simpanan misteri tertua dalam kawasan hutan ini.

Inginkan aktiviti yang lebih santai? Anda boleh menemui ribuan rama-rama endemik yang cantik di Pusat Rama-Rama Banteay Srei atau menonton persembahan Phare Circus yang menghiburkan! Selain daripada Angkor Night Market yang terkenal, anda juga boleh singgah membeli cenderahati di beberapa tempat lain seperti Siem Reap Art Center Night Market atau Noon Night Market. Sambil berjalan di pasar malam, jangan lupa mencuba pelbagai jenis jus buah-buahan segar yang ada di sini!

Sesuai untuk: Backpacker, rakan-rakan, keluarga, penerokaan mencabar, penggemar sejarah

Tempat menarik: Angkor Archaeological Park, Kuil Angkor Thom, Muzium Nasional Angkor, Banteay Srei, Kampong Phluk Floating Village, Pub Street, Angkor Night Market

Tip pro: Selain hiburan malam yang banyak tersedia di Pub Street, ia juga merupakan kawasan kegemaran backpacker untuk mencari penginapan seperti hostel berpatutan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dah tak sabar nak bercuti? Masih belum terlambat jika anda ingin merancang perjalanan anda sekarang. Jom tengok promosi percutian kami di sini untuk menikmati lebih penjimatan!

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka