0

Traveloka MY

12 Jun 2017 - 5 min read

Menempuh huru-hara bila balik kampung: Lihat tip daripada pengembara raya ini

Saban tahun ketika tamatnya Ramadan dan bermulanya Syawal, seluruh warga Malaysia di dalam dan luar negara mula berkejar pulang ke kampung halaman. Semestinya untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Pulang ke kampung halaman setiap tahun mesti berkait rapat dengan perjalanan panjang yang memenatkan, berjam-jam tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang semacam ular sawa kekenyangan di Lebuhraya Utara-Selatan.

Bagi keluarga saya, perjalanan kami mengambil masa sehingga sembilan jam. Kerana kami berasal dari selatan Johor sementara kampung sebelah ayah saya pula berada jauh di utara Malaysia, di Kedah.

Namun, bagi saya, sebagai kanak-kanak, sejujurnya saya sukakan perjalanan yang panjang itu.

Tapi, saya rasa ayah saya tak berkongsi keghairahan yang sama. Terutamanya apabila terpaksa memandu berjam-jam lamanya. Tapi dia tetap sabar mengharungi kesesakan itu dengan memaksa kami semua mendengar muzik pilihannya yang unik. (Jangan ditanya kenapa.)

Beberapa jam perjalanan, kami adik-beradik perlahan-lahan mendiamkan diri. Ada yang sudah mula mengantuk, dan ada ahli keluarga yang sudah memakai earphone di telinga.

Tapi tak kisah berapa kali saya melihat pemandangan di luar, setiap kali itu jugalah saya akan terpesona dengan pembangunan — yang dipenuhi dengan kenderaan dan bangunan pencakar langit — yang kemudiannya beransur bertukar kepada pemandangan sawah padi yang luas terbentang. Ianya sangat-sangat mengujakan.


Sekarang ini, ramai orang pulang ke kampung dengan memilih untuk menaiki kapal terbang — asalkan dapat mengelak kesesakan lalu lintas. Tetapi hingga sekarang, saya masih pulang ke kampung halaman dengan keluarga dalam sebuah kereta.

Saya fikir, erti ‘keluarga’ ialah bertoleransi dengan saudara sendiri yang kuat berdengkur atau bertolak ansur kerana terpaksa berkongsi ruang yang sempit dalam kereta. Tanpa bergaduh.


Kebanyakan perjalanan kami bukanlah best sangat — yang paling saya ingat adalah waktu jalan raya ke rumah nenek ditimpa banjir. Jadi kami perlu menempuh ladang getah yang berlumpur, dalam kegelapan malam sebelum akhirnya sampai. Sampai dengan kereta yang dipenuhi becak dan lumpur.

Jadi, persoalannya kenapa orang ramai sanggup menempuh ‘ujian’ dan kesengsaraan semacam ini hanya untuk ‘balik kampung’?

Saya fikir, jawapannya ada sepertimana yang disebut pengarang Inggeris Leigh Hunt: “Mengembara bertemankan orang yang kita sayang seumpama berada dalam rumah yang bergerak.”

Dan akhirnya, tidak ada yang mampu mengatasi nikmat bersantai bersama keluarga sementara menunggu waktu berbuka puasa di kampung saya. Di kampung yang dipenuhi riuh rendah saudara-mara dan menikmati masakan istimewa daripada nenek tercinta.

Jadi, di sini saya sertakan tips dan petua mudah untuk ‘balik kampung’:

1. Rancang Perjalanan


Pilih hari yang tepat untuk pulang ke kampung. Juga pastikan waktu sesuai untuk keluar dari rumah. Ramai yang pulang beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, dan kebanyakkannya memulakan perjalanan pulang seawal pagi yang boleh untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

2. Pastikan gajet anda sudah dicaj


Sebagai generasi yang bergantung kepada telefon pintar dan pelbagai lagi jenis teknologi, hal ini semestinya penting. Jadi, pastikan peralatan gajet anda (contoh: telefon pintar, tablet, pemain muzik) dicaj sepenuhnya sebelum berangkat pulang. Dan jangan lupa power bank anda juga!

3. Berhenti berehat di perhentian-perhentian


Memandangkan anda mengembara pulang dalam keadaan berpuasa, anda akan cepat berasa letih berbanding hari lain. Jadi, rehatlah secukupnya di perhentian-perhentian setiap beberapa jam. Dengan itu anda boleh ke tandas, regangkan otot-otot, atau tidur sebentar untuk mengembalikan tenaga.

4. Sediakan benda penting


Untuk perjalanan yang memakan masa panjang, keselesaan adalah keutamaan. Jadi, sediakan keperluan yang penting seperti selimut, bantal leher, dan mungkin juga penutup mata.

5. Pastikan anda sudah bersedia dengan senarai lagu terbaik


Seperti Peter Quill/ Star Lord yang percaya pengembaraan tidak akan lengkap tanpa pilihan lagu yang mengancam, jadi semestinya anda mahukan senarai muzik ‘balik kampung’ tersedia dalam gajet anda atau melalui aplikasi Spotify — asalkan anda terhibur dalam perjalanan anda. Jom nyanyi bersama saya saya: “Wo wo woaah balik kampungggggg…”

Di sini senarai lagu Raya yang dapat menaikkan semangat ‘balik kampung’ anda!

6. Elakkan sama sekali kesesakan jalan raya dan terbang pulang


Seperti saya katakan sebelum ini, bilangan orang yang memilih sistem penerbangan untuk balik kampung semakin meningkat kerana ianya lebih cepat dan mudah. Jadi, jika anda mahukan perjalanan pulang yang bebas tekanan, tempahlah dengan Traveloka — lagi awal lagi bagus!

Diterjemahkan oleh: Zack Muhammad

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka