Tip Jalan-Jalan

Mahu kembara solo? Cuba Singapura dulu!

Sekarang ini, kembara solo semakin menjadi trend tidak kira usia atau jantina. Disebabkan ramai blogger yang berkongsi pengalaman mereka mengembara sendirian, ramai pula yang teruja ingin mencuba.

Tapi di mana patut anda bermula?

Sebelum saya berani mengembara solo sejauh ke Turki, saya juga memulakan langkah kecil terlebih dahulu. Destinasi pertama kembara solo saya ke luar negara ialah, Singapura.

Mengapa saya pilih Singapura?

Ada lima sebab utama selain kedudukan yang bersebelahan dengan Malaysia;

  1. Dengan fasiliti dan sistem pengangkutan awam yang moden, Singapura seperti padang latihan  untuk kita mengembara terutama ke negara-negara yang lebih jauh.
  2. Cuaca, bangsa, dan gaya hidup rakyat Singapura lebih kurang sama dengan Malaysia, jadi tidaklah anda terkena kejutan budaya sangat.
  3. Matawang Singapore Dollar lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia, jadi perasaan mengembara ke luar negara itu lebih terasa.
  4. Selamat walaupun pada waktu malam.
  5. Mudah mencari masjid dan makanan Halal.

Bagi yang pertama kali mahu ke Singapura, ada lima tarikan pelancong yang wajib dikunjungi sebagai ‘syarat sah’ sudah menjejakkan kaki ke sana.

Merlion Park

Merlion adalah maskot Singapura yang berasal daripada makhluk dongeng iaitu singa laut. Perkataan ‘merlion’ pula adalah daripada gabungan mer  (laut / panggilan untuk makhluk laut fantasi) dan lion (singa). Menurut kisah legenda yang terkenal, seorang putera dari Palembang iaitu Sang Nila Utama berlayar lalu menemui Temasek (nama lama Singapura). Apabila mendarat, baginda ternampak seekor singa lalu dinamakan pulau itu sebagai Singapura (pura = bandar). Tugu Merlion adalah tempat wajib berfoto apabila datang ke Singapura!

Singapore River Cruise

Ini cara paling santai dan pantas untuk menikmati pemandangan Kota Singa. Melayari Sungai Singapura selama 40 minit menaiki bot dengan reka bentuk tradisional dan berteknologi elektrik mesra alam, sambil menikmati sisi moden dan tradisional bandar ini dengan penceritaan The Tale of 2 Quays. Ada 13 jeti pilihan di sepanjang sungai, antaranya Clarke Quay, Fullerton, Esplanade, dan Merlion Park. Harga untuk dewasa ialah SGD25 dan SGD15 untuk kanak-kanak.

Pulau Sentosa

Tidak sah melancong ke Singapura jika tidak ke Pulau Sentosa. Pulau ini terbahagi kepada tiga zon keriangan yang mempunyai tarikan tersendiri iaitu Imbiah, Beach, dan Waterfront di mana terletaknya Universal Studios. Ada pelbagai cara untuk ke Pulau Sentosa, antaranya menaiki MRT ke VivoCity, kemudian pergi ke tingkat 3 untuk menaiki Sentosa Express. Tiket masuk sehari ke pulau ini sahaja ialah SGD4 termasuk perjalanan ulang alik menaiki Sentosa Express. Manakala tiket untuk segala macam tarikan di Imbiah dan Waterfront pula berbeza-beza.

Masjid Sultan

Masjid ini terletak di Muscat Street yang bercantum dengan Bussorah Street dan Arab Street, di Kampong Glam iaitu kawasan perkampungan orang Melayu. Sejarah pembinaannya bermula pada tahun 1824 oleh Sultan Hussain Shah (Johor). Masjid ini melalui pelbagai perubahan sehingga diisytiharkan sebagai bangunan warisan sejarah pada tahun 1975. Bahagian paling menarik pada masjid ini ialah kubah berwarna emas yang disinari lampu bertukar-tukar warna pada waktu malam, dan juga rekaan dalamannya yang begitu memukau. Cuma 10 minit sahaja berjalan kaki dari stesen MRT Bugis untuk ke sini.

Mustafa Centre

Sebut sahaja mahu beli apa, semuanya ada di Mustafa Centre! Dibuka 24 jam sehari, pusat membeli-belah yang terdiri daripada beberapa buah bangunan bertingkat ini menjual barangan daripada cenderamata, pakaian, beg, hinggalah perkakasan rumah dan elektronik. Dan produk yang paling dicari oleh pengunjung ialah minyak wangi pelbagai jenama terkenal antarabangsa dengan harga yang murah kerana bebas cukai! Terletak di Syed Alwi Road di kawasan Little India, dan stesen MRT terdekat ialah Farrer Park.

 

Berikut pula adalah cadangan itinerari tiga hari dua malam untuk anda yang mahu berlatih kembara solo  atau yang baru pertama kali ke Singapura.

HARI 1

  •   Penerbangan dari Kuala Lumpur. (Pengangkutan terbaik untuk menjimatkan masa.)
  •   Tiba di Lapangan Terbang Changi. Naik MRT terus ke pusat bandar.
  •   Menginap di kawasan mudah mendapatkan makanan halal seperti Bussorah Street, Bugis, dan Lavender. Jika lebih suka menginap di tengah bandar, boleh juga cari hotel bajet ataupun hostel di kawasan berhampiran Clarke Quay dan City Hall.
  •   Makan murtabak Singapura ataupun beriani kambing yang enak di Zam Zam Restaurant, berdepan dengan Masjid Sultan.
  •   Naik Singapore Flyer sambil menikmati suasana matahari terbenam. Tiket dewasa SGD33, kanak-kanak SGD21. Stesen MRT: Promenade.
  •   Bersiar-siar waktu malam menikmati lampu berwarna-warni di Gardens By The Bay. Tiket dewasa SGD28, kanak-kanak SGD15. Stesen MRT: Bayfront.

HARI 2

  •   Naik MRT ke Vivo City, dan Sentosa Express ke Pulau Sentosa. Tiket SGD4 untuk sehari.
  •   Bergembira seharian di taman tema Universal Studios dan menyaksikan hidupan laut berenang bebas dalam akuarium gergasi di S.E.A Aquarium (Waterfront Station) – ataupun meneroka Imbiah Lookout – Images of Singapore, Tiger Sky Tower, Sentosa 4D Adventureland, Sentosa Luge & Skyride, The Flying Trapeze dan banyak lagi.
  •   Makan tengah hari di medan selera ataupun restoran makanan segera (majoriti berstatus Halal). Jika masuk ke Universal Studios, ada restoran tertentu yang memiliki status Halal (Rujukan di sini: http://www.rwsentosablog.com/halal-food-at-rws/).
  •   Membeli cenderamata di Mustafa Centre (MRT: Farrer Park) ataupun di Chinatown (MRT: Chinatown).

HARI 3

  •   Merlion Park (MRT: Raffles Place)
  •   River Cruise (MRT: Clarke Quay)
  •   Kenali sejarah Singapura dengan melawat muzium menarik dan unik seperti Asian Civilisations Museum, Peranakan Museum, Malay Heritage Centre, dan lain-lain lagi. Bagi peminat buku pula, boleh berkunjung ke National Library, kedai buku terbesar di Singapura iaitu Kinokuniya di Takashimaya Shopping Centre, Orchard Road, ataupun Kompleks Bras Basah untuk mendapatkan buku-buku terpakai yang sukar ditemui.
  •   Bertolak ke Lapangan Terbang Changi untuk menaiki penerbangan pulang.

Mahu tambah satu hari lagi di Singapura? Habiskan masa dari pagi hingga ke malam bersama haiwan-haiwan comel di Singapore Zoo, Jurong Bird Park, dan River Safari.

Nota tambahan:

  • Beli kad transportasi EZ Link bagi memudahkan pergerakan naik MRT, bas, dan teksi.
  • Hadiahkan cenderamata paling unik daripada Singapura buat diri anda sendiri iaitu t-shirt bertulis ‘Singapore Is A Fine City!
  •  Sekiranya ada masa lebih, boleh cuba sup tulang merah yang istimewa di Deen Tiga Rasa, Golden Mile Complex, Beach Road.

Saya percaya, selepas berjaya meneroka Singapura secara sendirian, anda akan lebih yakin untuk menempuhi pengembaraan solo di negara lain pula.

 

Apa yang paling penting, mulakan dulu langkah pertama!

 

 

20 Shares
Share20
Tweet
+1
Pin
Share