0

Traveloka MY

30 Aug 2019 - 6 min read

Tahu tak? 6 lapangan terbang di Asia ini ada tempat makan halal dan surau

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

Kami faham, misi mencari tempat makan halal dan surau semasa mengembara di luar negara bukanlah semudah yang disangka. Kemudahan awam bagi pelancong Muslim ternyata masih terhad, apatah lagi di negara yang bukan dalam senarai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kredit: Unsplash / VanveenJF

Bayangkan jika penerbangan anda tertunda ataupun mempunyai transit yang perlu overnight di lapangan terbang negara-negara ini. Mungkin lebih sukar rasanya untuk membawa diri, tetapi dengan bantuan teknologi seperti aplikasi mesra Muslim, ia sedikit sebanyak dapat memberi anda panduan pengembaraan yang diperlukan.

Kali ini, kami ingin kongsikan beberapa lapangan terbang di Asia yang menyediakan perkhidmatan mesra Muslim seperti tempat makan halal dan surau:

1. Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai

Kebelakangan ini, Jepun semakin giat memperkukuhkan sektor pelancongan halal di bandar-bandar utama negara mereka. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka sahaja terdapat tiga restoran halal untuk anda singgah menjamu selera. Diiktiraf halal oleh Japan Islamic Trust, restoran The U-don yang terletak di Aras 2 Terminal 1 menawarkan pelbagai jenis udon dengan masakan tempura atau kari Jepun.

Teringin mi soba Jepun yang asli sebelum pulang? Pergi ke Restoran Sojibo di Aras 3 Terminal 1 atau Restoran Oraga-soba di Aras 3 Aeroplaza yang juga menyediakan menu halal. Kemudahan tiga bilik sembahyang untuk berasingan jantina di lapangan terbang ini pula disediakan di Aras 3 Terminal 1, serta berhampiran Pintu Utara dan Pintu Selatan di kawasan Pelepasan Antarabangsa. Selain luas dan bersih, ia turut dilengkapi dengan sejadah dan ruang mengambil wuduk.

Info tambahan: Dengan bayaran tambahan, anda boleh berehat di Sakura Lounge yang disediakan oleh syarikat penerbangan Japan Airlines di lapangan terbang ini. Mereka menawarkan menu halal untuk makan malam dan kawasan rehat khusus untuk wanita.

2. Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan

Kredit: Unsplash / Moralis Tsai

Taiwan bukanlah negara yang mustahil untuk diterokai. Selain senarai restoran halal yang semakin bertambah di sekitar bandar Taipei, Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Taipei juga tidak terkecuali untuk menyediakan kemudahan surau dan restoran halal. Jadi, tak perlu risau kalau anda ada penerbangan transit di sini!

Anda boleh menunaikan ibadah di dua surau 24 jam yang tersedia di kawasan transit lapangan terbang ini, masing-masing terletak di Terminal 1 berhampiran Pintu B3 dan Terminal 2 di Pintu C1. Untuk makanan halal, kunjungi Taipei Halal Bismillah Restaurant yang terletak di Terminal 1 di mana anda boleh menikmati masakan gaya Cina dan Indochina seperti wrap ayam, pizza, nasi dengan kari ayam, dan beraneka roti dengan hummus.

3. Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong

Semakin popular dalam kalangan pengembara dari seluruh dunia, Hong Kong juga tidak ketinggalan untuk berjinak dalam industri pelancongan halal. Buktinya melalui tawaran restoran halal di sekitar bandar serta kemudahan mesra Muslim di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Terasa lebih dekat dengan tanah air apabila dapat menikmati makanan halal di Old Town White Coffee di Aras 6 Balai Pelepasan West Hall (Terminal 1) dan Popeyes Louisiana Kitchen di Aras 7 Balai Pelepasan (Terminal 1).

Di sini terdapat kemudahan lima bilik sembahyang dan semuanya terletak di kawasan Balai Pelepasan. Bilik di Aras 7 (Terminal 1) dan Aras 5 (Terminal 2) dibuka dari 5.00 pagi hingga 12.00 malam, manakala bilik 24 jam disediakan berhampiran Pintu 42 Aras 6 (Terminal 1), Pintu 501-510 Aras 5 (North Satellite Concourse), dan Pintu 211 Aras 5 (Midfield Concourse). Semua bilik sembahyang dilengkapi arah qiblat, tempat mengambil wuduk, dan kerusi bagi yang kurang berupaya.

4. Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi

Untuk percutian anda di Bangkok yang seterusnya, kami cadangkan anda mengambil penerbangan pergi balik di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi. Ia bukan saja salah satu lapangan terbang terbesar di Asia Tenggara, malah dilengkapi dengan kemudahan yang lebih selesa berbanding Don Mueang! Di sini terdapat tiga surau khusus untuk Muslim di Aras 3 Bangunan Terminal Penumpang, Aras 3 dalam Kawasan Transit Lapangan Terbang, dan Jet Bridge E.

Lapangan terbang ini juga menyediakan beberapa restoran makanan halal. Antaranya termasuklah Canadian Pizza di Aras 4 dan Halah Restaurant yang menghidangkan masakan halal Thai berhampiran Pintu B di Aras 3 Concourse B. Anda juga boleh mengunjungi medan selera The Miracle Food Village di Aras 3 untuk menikmati makanan di Express Kebab (juga terdapat di Aras 4), dan gerai Sareefah yang terletak di medan selera Magic Food Point di Aras 1 berhampiran Pintu 8.

Tip halal: Jika anda menuju ke medan selera, cari saja kedai-kedai yang mempamerkan logo halal pada papan tanda ataupun menu mereka.

5. Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh

Kredit: Facebook / Cambodia Airports

Merupakan lapangan terbang utama dan yang terbesar di Kemboja, Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh yang terletak dalam perjalanan 10 kilometer dari pusat bandar ini menawarkan kemudahan yang tidak kurang hebatnya setelah siap diubahsuai sepenuhnya pada tahun lalu. Di sini terdapat dua bilik sembahyang yang terletak di ruang rehat Balai Pelepasan Antarabangsa berhampiran Pintu 5 dan satu lagi di kawasan Balai Ketibaan Domestik.

Jika anda lapar, Taste of Asia Restaurant berhampiran Pintu 6 dan 7 di ruang Balai Pelepasan Antarabangsa menawarkan pelbagai masakan asli Asia (termasuklah Malaysia!) dan hidangan vegetarian. Ataupun, pergi ke restoran Park Cafe di luar Balai Ketibaan untuk menikmati beraneka pilihan mi tempatan yang lazat. Kedua-dua restoran ini mendapat pengiktirafan halal daripada Cambodian Halal Steering Committee.

6. Lapangan Terbang Antarabangsa Changi

Kredit: Facebook / Changi Airport

Berita baik buat anda yang bakal ke Singapura menaiki penerbangan! Anda boleh mencuba makanan halal yang mesra poket di medan selera Terminal M, di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Selain tidak mengenakan caj servis (yay, jimat 10%), Terminal M menawarkan enam gerai yang menjual makanan Korea, Jepun, dan Cina — kesemuanya telah diberi pengiktirafan halal oleh Majlis Ugama Islam Singapura.

Restoran halal mudah ditemui di keempat-empat terminal lapangan terbang yang luas ini, antaranya seperti Pappamia dan Fitra Chicken Rice (Terminal 1), Central Thai (Terminal 2), So Pho (Terminal 3), serta Heavenly Wang dan Andes by Astons (Terminal 4). Malah, di Terminal 2 juga terdapat kedai boba tea halal TP Tea yang dibuka 24 jam! Selain itu, di sini ada empat surau yang terletak di Aras 3 kawasan Departure Transit Hall (Terminal 1), Aras 2 Departure Transit Hall North (Terminal 2), Aras 2 Departure Transit Hall South (Terminal 3), dan Aras 2M Departure Transit Hall (Terminal 4).

Sekarang, tak perlu risau lagi sekiranya anda perlu transit atau menanti penerbangan yang tertunda di semua lapangan terbang ini!

Jangan lupa kongsikan maklumat ini untuk kebaikan bersama, ok? ✌️

_________________________________________________________________________

Ingin perjalanan pergi balik ke lapangan terbang dengan lebih lancar? Pastikan anda menempah pengangkutan lapangan terbang melalui Traveloka!

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka