Tip Jalan-Jalan

5 bazar Ramadan terbaik di Kuala Lumpur

Ditulis oleh: Farah Fazanna Zulzaha

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

 

Kini tibalah bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan bagi umat Islam yang berpuasa selama sebulan. Di Malaysia, tradisi membeli juadah berbuka di bazar Ramadan sememangnya rancak dan meriah.

Segala-galanya ada di bazar Ramadan termasuklah makanan tradisional tempatan seperti yang popular ketika bulan ini seperti nasi tomato, ayam percik, bubur lambuk dan murtabak. Malah yang bukan beragama Islam pun gemar mencari makanan di sini.

Bazar yang mewah dengan budaya dan keraian di Malaysia pastinya suatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat tempatan dan pelancong. Di sini, kami memilih 5 bazar Ramadan paling popular di Kuala Lumpur yang buat anda mahu berbelanja sakan. Jom cari makanan!

1. Kampung Baru

Kampung Baru yang ikonik slalunya ditemani Menara Kembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur sebagai latar belakangnya. Ia juga dikenali sebagai syurga makanan bagi warga Kuala Lumpur. Dan apabila Ramadan tiba, jalan-jalan di sini dipenuhi dengan makanan jalanan yang sedap-sedap belaka. Daripada pelbagai jenis nasi campur hinggalah ke murtabak Singapura. Sebut saja, segalanya untuk selera anda ada di sini!

Tip pro: Cari gerai yang menjual bubur lambuk. Antara makanan yang paling laris di di bazar ini, jadi anda mungkin perlu beratur sedikit. Jangan kecewa kerana ia pasti berbaloi.

Alamat: Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur

2.  Taman Tun Dr. Ismail

Bazar Ramadan TTDI adalah antara yang paling popular di Kuala Lumpur kerana ia berdekatan dengan kawasan perumahan yang padat di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Jalan-jalan di Jalan Tun Mohd Fuad dan selera anda pastinya bertambah-tambah. Ada nasi ayam, nasi tomato, nasi hujan panas, nasi kerabu dan bermacam jenis nasi lagi. Malah yang unik seperti murtabak Maggi juga ada.

Tip pro: Datang awal untuk merasai pulut udang kerana ia selalunya habis dijual pada jam 5 petang. Sedapnya!

Alamat: Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, Kuala Lumpur

3.  Jalan Raja

Kredit editorial: Abdul Razak Latif / Shutterstock.com

Bazar Ramadan ini telah dipindahkan ke Jalan Raja (berdekatan Dataran Merdeka) pada tahun ini (tempat sebelumnya adalah Jalan Tuanku Abdul Rahman). Salah satu bazar terbesar di KL ini mempunyai lebih daripada 300 buah gerai.

Tip pro: Serbu gerai menjual serunding. Nak ekstra umph? Tambah serunding dalam bubur lambuk.

Alamat: Jalan Raja, Kuala Lumpur

4. Bangsar

Kredit editorial: masuti / Shutterstock.com

Kawasan kejiranan yang mewah ini adalah salah satu syurga makanan di KL dan tak peliklah kalau ia juga ada menawarkan makanan yang sama menjelangnya Ramadan. Kalau anda teringin ayam percik yang sedap, di sinilah tempatnya. Terletak bersebelahan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, anda hanya perlu berjalan selama 15 dari stesen LRT Bank Rakyat-Bangsar.

Tip pro: Kami suka putu piring. Pembuka selera yang sesuai untuk berbuka puasa!

Alamat: Jalan Telawi 1, Bangsar, Kuala Lumpur

5.  Taman Melawati

Bazar ini dianggap antara bazar terbesar dan paling meriah di Kuala Lumpur. Peminat makanan laut, inilah bazar untuk anda. Antara makanan lain yang boleh anda dapati seperti popiah basah, tauhu bakar dan roti john. Bazar ini sering dikunjungi oleh para selebriti tempatan. Kalau nasib anda baik, ada juga selebriti yang berniaga di sana nanti!

Tip pro: Beli ayam claypot, tauhu sumbat dan tepung pelita. (kegemaran kami ni!)

Alamat: Lorong Selangor, Taman Melawati Ampang, Selangor

Akhir sekali, kebanyakan bazar Ramadan mula dibuka seawal jam 3.30 petang dan ditutup selepas sembahyang Maghrib atau ketika berbuka puasa. Orang ramai mula penuh pada 4.30 petang, jadi untuk datang lebih awal untuk mengelak kesesakan dan kekecewaan kerana juadah yang anda mahukan habis dijual. Ramadan juga adalah masanya untuk kesabaran dan bersederhana. Jadi berpada-padalah ketika membeli di bazar.

_________________________________________________________________________

Dah siap sedia untuk trip jalan-jalan cari makan di Kuala Lumpur? Lihat tawaran penerbangan dan hotel terbaru daripada Traveloka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share