5 festival musim panas di Jepun yang wajib anda pergi

5 festival musim panas di Jepun yang wajib anda pergi

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

 

Ketibaan musim panas di Jepun membuat setiap rakyat tempatan teruja, apatah lagi pelancong yang dapat menyaksikan seluruh negara tersebut dalam keadaan paling meriah. Tahun ini, festival ini disambut lebih hangat daripada biasa, kerana negara ini menyambut era Reiwa yang baru bermula semasa pertabalan Maharaja Jepun yang ke-126, iaitu Maharaja Naruhito, pada bulan Mei lalu.

Kredit: Giphy

Daripada festival kebudayaan, festival bunga api (Hanabi) hinggalah festival bunga matahari (Himawari), sambutan musim panas di negara matahari terbit ini diadakan dengan penuh warna-warni. Jika anda ada rancangan untuk bercuti di Jepun pada bulan Julai atau Ogos, kami sangat syorkan anda untuk mengalami festival-festival tahunan ini sendiri: 

 

1. Gion Matsuri Festival, Kyoto

Inilah masanya bandar Kyoto yang tenang bertukar meriah. Gion Matsuri merupakan salah satu festival tahunan terbesar di seluruh Jepun. Saksikan perarakan Yama dan Hoko (jenis wooden floats tradisional) yang dihias cantik sambil diiringi megah oleh ribuan rakyat tempatan. Malah, ada yang setinggi 25 meter dan membawa penumpang bersama sambil memainkan muzik tradisional! 

Walaupun diadakan sekitar bandar sepanjang bulan Julai, kemuncak festival ini disambut pada 17 Julai (Sakimatsuri) dan 24 Julai (Atomatsuri). Pada kedua-dua hari, perarakan besar akan dipersembahkan untuk mempamerkan hasil-hasil Yama dan Hoko terhebat yang dibuat dengan penuh ketelitian. Ia akan dibawa berarak di kawasan bandar Kyoto dengan penuh bersemangat.

Tarikh: 1 Julai – 31 Julai 2019

Tempat: Yasaka Shrine, Higashiyama, Kyoto 

Tips: Luangkan masa untuk menyaksikan persembahan muzikal tradisional Gion Bayashi yang unik. Disertai lebih 40 orang tempatan, mereka memainkan dram Taiko, flute Jepun, dan gong Jepun sambil diiringi menaiki Yama dan Hoko

 

2. Tenjin Matsuri Festival, Osaka

Dekati kebudayaan Jepun melalui festival cahaya dan lampu Tenjin Matsuri. Hanya diadakan dua hari setiap tahun, sambutan musim panas terbesar di bandar Osaka ini menampilkan perarakan gergasi yang disertai oleh 3,000 orang tempatan. Pada hari pertama, mereka akan mengiringi mikoshi (kuil Jepun mudah alih yang boleh diangkat) sambil berpakaian tradisional Jepun. Tradisi ini dipercayai membawa berkat kepada penduduk bandar. 

Pada hari kedua, perarakan bermula dari Tenmangu Shrine ke Tenjinbashi Bridge sekitar awal petang dan bersambung ke sungai menjelang senja. Semasa kemuncak ini, pengunjung dapat melihat perarakan 100 bot berhias yang diterangi lampu. Bot-bot ini akan berlepas dari pinggiran Okawa River, sambil acara penutup berlangsung dengan pertunjukan bunga api yang memukau. 

Tarikh: 24 Julai & 25 Julai 2019

Tempat: Tenmangu Shrine, Kita, Osaka

Tips: Di festival ini, anda juga boleh melihat persembahan tradisional seperti Shishimai (tarian singa), perarakan wooden floats, dan mainan dram Jepun. Jika anda ingin menyertai rakyat tempatan, anda juga boleh menggayakan yukata (pakaian tradisional Jepun).

 

3. Sumidagawa Fireworks Festival, Tokyo 

Hanabi ataupun bunga api adalah elemen simbolik semasa musim panas Jepun, dan ia boleh dilihat di kebanyakan festival di bandar-bandar utama. Jika berkesempatan, alami acara luar biasa ini di Tokyo. Berlangsung selama 90 minit, festival bunga api ini telah disambut dengan megah seawal zaman Edo lagi. Tahun ini, dianggarkan sebanyak 22,000 bunga api akan menyinari langit malam Tokyo. Kami pasti, pengalaman ini sukar untuk dilupakan! 

Merupakan pertunjukan Hanabi terbesar di Jepun, festival ini akan berlangsung di dua tempat utama. Tempat pertama adalah di sekitar hilir Nihonbashi Bridge, di mana pembuat bunga api bertanding untuk mempamerkan 200 hasil bunga api yang terhebat di Jepun (ada yang berbentuk karakter Pokemon! 🙀). Manakala tempat kedua diadakan di sekitar Komagata Bridge dan penonton dapat melihat keindahan pertunjukan bunga api kontemporari seperti letupan star mine yang mengagumkan. 

Tarikh: 27 Julai 2019*

Tempat: Di sekitar Sumida River, Tokyo

Tips: Festival ini diadakan dari 7.00 malam – 8.30 malam. Jika anda inginkan pemandangan yang baik dan kurang sesak, saksikannya dari Shiori Park (600m dari Stesen Minamisenju) atau bahagian selatan Oyokagawa Water Park berhampiran Tokyo Skytree dan Stesen Honjo-Azumabashi.

 

*Nota: Sekiranya cuaca buruk, pertunjukan ini akan ditunda pada keesokan hari dan akan dibatalkan sekiranya cuaca masih tidak mengizinkan. 

 

4. Kiyose Sunflower Festival, Tokyo 

Kredit: Tokyo in Pics

Tiada bunga yang lebih sinonim untuk dilihat pada musim panas Jepun selain daripada bunga matahari ataupun dikenali sebagai Himawari. Jika anda ingin lari daripada kesibukan pusat bandar Tokyo, pergi ke festival ini untuk menikmati pemandangan bunga yang bermusim sekali setahun di Kiyose. Anda boleh melihat lebih daripada 100,000 bunga matahari besar yang mekar di ladang Kiyose. Perasaan yang tidak tergambar apabila anda berjalan melalui bunga-bunga ini!  

Persiapan festival ini bermula seawal bulan Jun lagi, di mana para pelajar sekolah dan sukarelawan akan menanam benih bunga matahari di padang berkeluasan 24,000 meter persegi. Kiyose Sunflower Festival sangat sesuai untuk pengunjung berkeluarga, kerana di sini terdapat pelbagai aktiviti mesra kanak-kanak yang menyeronokkan. Sambil bersiar-siar, jangan lupa menikmati jualan segar hasil-hasil tanaman istimewa di ladang tersebut.  

Tarikh: 16 Ogos – 27 Ogos 2019

Tempat: Ishii Farm atau Kodera Farm, Kiyose-shi, Tokyo

Tips: Bawa pulang beberapa jualan produk agrikultur di sini seperti produk berasaskan karot (jem, losyen, sabun), ataupun cenderamata bunga matahari yang istimewa. Anda juga boleh menikmati sayuran segar seperti edamame dan jagung!  

 

5. Himawari no Sato @ Hokuryu Sunflower Festival, Hokkaido 

Jika jumlah bunga matahari di Kiyose tidak cukup untuk menarik hati anda, macam mana pula dengan lebih daripada 1.5 juta bunga matahari? 🌻 Hokkaido menempatkan kebun bunga matahari paling besar di Jepun dan di sini, anda boleh menikmati Hanabi dan Himawari pada masa yang sama — kombinasi festival musim panas Jepun yang paling tepat! Keindahan landskap semasa Himawari no Sato yang unik akan membuat anda tersenyum sepanjang hari walaupun di bawah cuaca panas terik. 

Sepanjang festival ini, Hokuryu Sunflower Farm dimeriahkan dengan pelbagai jenis tarikan, aktiviti, gerai jualan, serta hiburan khas untuk pengunjung. Anda boleh meneroka kebun ini sepuas-puasnya dengan menyewa basikal ataupun pilih untuk menaiki traktor persiaran yang ditawarkan. Juga terdapat beberapa dek pemerhatian yang memberikan spot pemandangan terbaik kebun ini secara meluas! 

Tarikh: 20 Julai – 20 Ogos 2019

Tempat: Hokuryu Sunflower Farm, Hokkaido

Tips: Luangkan sehari untuk menikmati pelbagai aktiviti di festival ini. Cuba tempuhi cabaran pagar sesat bunga matahari yang ada di sini dengan bayaran yang kecil. Di sini juga terdapat tarikan lain seperti kincir air dan ladang itik. 


Nota: Semua maklumat adalah tepat pada waktu penerbitan. 

 

Sebelum memulakan pengembaraan anda di Jepun, ketahui jika anda benar-benar memerlukan Japan Rail Pass dan lihat pelbagai senarai tarikan lain untuk menambah keseronokan trip anda. 

 

Selamat bercuti! 

 

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share