Tip Jalan-Jalan

Tips: 5 destinasi terbaik di Eropah untuk menyaksikan Aurora Borealis

Diselubungi aura yang dramatik, fenomena ‘Cahaya Utara’ atau lebih dikenali sebagai Aurora Borealis adalah panorama yang cukup mempesonakan — seumpama fantasi bagi mereka yang dapat menyaksikannya! Kami yakin, pengalaman ini ada dalam bucket list anda. 😉

Kredit: Unsplash / Nelly Volkovich

Cahaya di langit yang berwarna-warni ini terbentuk apabila berlakunya perlanggaran elektron dan atom di ionosfera ataupun tindak balas daripada nitrogen dan oksigen. Untuk memahami lebih mendalam tentang fenomena alam yang unik ini, kami syorkan anda menyertai lawatan berpandu. 

Kredit: Unsplash / Emily Hon

Musim sejuk adalah waktu terbaik untuk melihat pemandangan Aurora Borealis kerana kadar pencemaran yang kurang, tempoh kegelapan yang lama dan udara yang lebih segar. September hingga April juga dikatakan sebagai tempoh terbaik. Kali ini, kami telah mengumpulkan cadangan destinasi berserta tips pengembaraan untuk anda memburu panorama ini! 

1. Tromso, Norway

Kredit: Unsplash / Angela Compagnone

Terletak sekitar 300 km dari bahagian utara Bulatan Artik, Tromso mempunyai banyak tarikan tersendiri bagi pelancong yang ingin melihat sesuatu yang baru. Antaranya termasuklah koleksi flora dari setiap benua dunia di Tromso Arctic-Alpine Botanic Garden, pelbagai artifak bersejarah di Polar Museum, dan keunikan hidupan akuatik di akuarium Polaria. 

Pada petang yang tidak berawan, salah satu tempat untuk melihat cahaya aurora meliputi bandar ini adalah di puncak Fjellheisen yang boleh diakses melalui kereta kabel. Keindahannya lebih mempersona apabila berlatarkan lampu malam bandar Tromso. Kadangkala kemunculannya boleh dilihat seawal jam 6 petang atau 6 pagi, apa-apa pun sabarlah menanti. 

Waktu terbaik: Akhir bulan September hingga awal April

Tips: Antara spot lain yang berhampiran termasuklah Grotfjorden dan kawasan Hansnes yang terletak dalam perjalanan sejam dari Tromso.  

2. Lapland, Finland

Kredit: The Aurora Zone

Lapland sesuai sebagai destinasi Aurora Borealis kerana bandarnya yang kecil dan kurang didiami penduduk memberikan lebih privasi. Mulakan perjalanan anda dari Rovianemi yang terkenal sebagai perkampungan Santa Claus. Pergi ke kawasan luar bandar yang lebih gelap untuk melihat pemandangan ini dan pastikan anda menyemak kaji cuaca terlebih dahulu. 

Di Finland, kemegahan Aurora boleh dikagumi dari pelbagai ruang penginapan yang dibina khas termasuklah iglu kaca dan suite peribadi dalam resort ski mewah. Dengan panorama langit yang terbentang luas seindah ini, ia seperti tiada penghujung di keliling anda. Tidak hairanlah mengapa Lapland sering menduduki carta teratas dalam bulan madu impian! 

Waktu terbaik: Akhir bulan Ogos hingga April 

Tips: Walaupun perbelanjaan di sini lebih tinggi, ia adalah tempat yang istimewa jika anda mencari pengalaman unik dan mewah untuk dicuba sekali seumur hidup. 

3. Reykjavik, Iceland 

Kredit: Unsplash / Nicolas J Leclercq

Bagi yang memburu Cahaya Utara di Reykjavik, anda boleh mengunjungi Westfjords dan bahagian utara Iceland yang terpencil. Di sini, anda mempunyai kira-kira 20 jam tempoh kegelapan semasa ekuinoks musim sejuk. Peluang melihat pemandangan jelas lebih tinggi pada ketika ini dan kemunculan aurora juga lebih awal sekitar senja.

Untuk pencemaran cahaya yang kurang, anda boleh pilih untuk bermalam di kawasan pedalaman yang menyediakan tapak perkhemahan. Menyewa kereta peribadi boleh memudahkan anda untuk menuju ke kawasan-kawasan yang jauh dari bandar Reykjavik. Ataupun, dapatkan saja lawatan berpandu berserta pemandu pelancong. 

Waktu terbaik: September hingga Mac

Tips: Ramai pelancong turut membuat road trip ke Reynisfjara Black Sand Beach dan Thorsmork untuk pengembaraan yang berbeza.

4. County Donegal, Ireland

Terletak dalam perjalanan 3 jam dari bandar Dublin, County Donegal di Ireland menjadi persinggahan popular untuk melihat Aurora Borealis. Ketiadaan pencemaran cahaya di Malin Head dan Dunaff menawarkan peluang yang baik untuk anda melihat fenomena ini tanpa gangguan. Kebiasaannya, landskap aurora dapat dilihat dalam jam 9 malam hingga 1 pagi. 

Anda pasti tergamam melihat langit malam yang diterangi oleh cahaya merah jambu, hijau, dan biru yang beralun menghiasi suasananya yang cantik. Hasil carian di Internet sahaja pun sudah cukup menunjukkan banyak rakaman Aurora Borealis yang sangat menakjubkan di wilayah Ireland ini, apatah lagi kalau melihatnya dengan mata sendiri! 

Waktu terbaik: November hingga Februari

Tips: Pantai-pantai di sekitar Inishowen Peninsula menawarkan pengalaman melihat panorama ini dengan lebih indah dan romantik. 

5. Kiruna, Sweden

Kredit: Unsplash / David Becker

Negara Nordik ini tidak terkecuali dalam senarai pemandangan Aurora Borealis terhebat.   Terletak paling utara di wilayah Swedish Lapland, bandar Kiruna menjadi titik permulaan yang sesuai dari Stockholm untuk mengikuti pelbagai lawatan berbeza. Yang penting, anda perlu pergi ke Aurora Sky Station di Abisko National Park yang tersenarai dalam lokasi kegemaran dunia untuk melihat pemandangan ini.

Sebelum itu, kaji cuaca dan pilih waktu yang tepat untuk lawatan anda kerana peluang melihatnya lebih rendah sekiranya tiada aktiviti solar. Untuk pengetahuan anda, Sweden lebih murah untuk dikunjungi daripada sesetengah negara jirannya. Ini bermaksud, lebih jimat untuk belanja penginapan, makanan dan pengangkutan! (Boleh rancang sekarang, kan? 😋)

Waktu terbaik: Awal September hingga akhir bulan Mac

Tips: Kawasan di Jokkmokk, Jukkasjarvi dan Lulea juga termasuk dalam destinasi pilihan dari Kiruna bagi para penggemar fotografi. 


Tahun baru, rancangan baru! Realisasikan impian anda untuk melihat Aurora Borealis dan lihat tawaran percutian yang menarik di Traveloka

 

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share