Traveloka MY
07 Mar 2017 - 7 min read
Kami benar-benar faham yang merancang percutian keluarga agak menakutkan. Agenda utama ialah memuaskan hati ahli keluarga yang paling muda sehinggalah yang paling tua, berehat sambil bercuti, memastikan keseluruhan perjalanan tanpa cacat cela, dan berharap usaha anda dihargai. Yang lucunya, selepas percutian itu, anda selalunya memerlukan satu lagi percutian untuk pulih dari segala kekusutan itu!
Sebenarnya, kami tak boleh menjadi penganjur percutian keluarga anda, tetapi kami boleh mencadangkan 10 destinasi percutian yang mesra keluarga dan dapat mengurangkan tekanan anda. Semoga semuanya lebih mudah dan percutian anda lebih menyeronokkan! Jom lihat!
Sumber: Shutterstock.com
Kota padat dan sibuk, Kuala Lumpur cukup sesuai untuk dilawati bagi kanak-kanak. Terdapat pelbagai tarikan dan aktiviti mesra kanak-kanak dan orang dewasa juga dapat menikmatinya!
Bagi penggemar alam sekitar, tarikan seperti Taman Burung KL, Taman Rama-Rama dan Taman Tasik Tititwangsa ialah pilihan yang bagus untuk dilawati kerana lokasinya betul-betul di tengah bandar Kuala Lumpur!
Bagi penjelajah kecil, pastikan berada seharian di tempat seperti Pusat Penemuan Petrosains (terletak di dalam KLCC), Aquaria KLCC – sebuah akuarium yang mempamerkan lebih daripada 5,000 haiwan akuatik dan Pusat Sains Negara (Bukit Damansara), Kidzania Kuala Lumpur (Mutiara Damansara), versi bandar mini bagi kanak-kanak yang menawarkan aktiviti seperti kerjaya yang boleh dicuba oleh kanak-kanak serta Kidzos, di mana kanak-kanak dapat mengira, memperolehi dan membeli barangan dengan matawang Kidzos! Seronoknya!
Sumber: Shutterstock.com
Terletak di utara, Pulau Pinang terkenal dengan makanannya yang pelbagai seperti Char Kuey Teow, Nasi Kandar Ganja, Rojak Pulau Pinang, Mee Kari Pulau Pinang, Apom Manis, Cendol – oh, senarai ini tak akan habis. Syurga makanan ini untuk penggemar makanan. Merancang pencarian makanan dengan kereta, mencuba makanan enak boleh menjadi satu penggembaraan yang menarik terutama sekali apabila anda mempunyai anak-anak dewasa yang boleh menolong mencari tempat makanan yang patut di cuba di Pulau Pinang melalui internet.
Menaiki feri dari Butterworth ke pusat pulau, George Town ialah langkah yang baik untuk menghirup udara laut yang segar, pastinya pengalaman yang baik untuk yang tua dan muda. Tambangnya juga murah.
Muzium Patung dan Taman Warisan di Teluk Bahang ialah satu tarikan yang tak patut diketepikan. Ia menempatkan lebih 70,000 patung, koleksi seperti dinosaur, patung Barbie, watak buku komik, dan figura aksi. Tidak disangkal lagi, tempat ini sangat popular dikalangan kanak-kanak dan penggemar patung!
Sumber: Shutterstock.com
Jika anda mahu percutian yang santai tanpa perlu terlalu mengikut jadual aktiviti, Pulau Redang ialah pilihan yang bijak. Terletak di Terengganu, Pulau Redang ialah satu daripada sembilan pulau yang membentuk taman marin, dengan peluang yang luas untuk pelancong yang gemarkan aktiviti mencabar seperti snorkeling dan menyelam. Air yang begitu jernih, terumbu karang yang sihat, dan kepelbagaian hidupan laut seperti anak ikan jerung ialah sebab utama pelancong dan penggemar alam semulajadi datang melawat tanpa jemu setiap tahun.
Sementara orang dewasa dan anak-anak yang lebih dewasa melakukan aktiviti air, si kecil pula boleh berenang di kolam renang yang disediakan oleh hotel atau pusat peranginan, atau berkelah di pantai sambil membina istana pasir dan mandi manda.
Tambah aktiviti anda dengan melihat penyu bertelur di Pusat Perlindungan Penyu Chagar Hutang, di mana penyu-penyu dari Indonesia dan Filipina, datang untuk mengawan dan bertelur. Pelawat juga boleh menolong para sukarelawan di pusat tersebut dan belajar lebih lanjut tentang haiwan menakjudkan itu. Belajar sambil bercuti? Jomlah!
4. Johor Bahru, Malaysia
Sumber: Shutterstock.com
Jika anda ada anak-anak kecil, Johor Bahru akan menjadi tempat kegemaran anda untuk bercuti. Ia ialah impian bagi semua orang.
Kunjungi The Little Big Club dan lihat Barney & Friends, Thomas the Tank Engine, Bob the Builder dan Angelina Ballerina menjadi nyata! Terdapat tiga tingkat ruang bermain tertutup, permainan, persembahan muzikal, sesi bertemu mesra yang akan mencuri hati pengunjung. Jadi bersedia untuk meluangkan masa seharian di sana.
Keseronokan tidak berakhir di situ, kerana kanak-kanak perempuan akan melonjak kegirangan apabila mereka masuk ke Bandar Hello Kitty yang dipenuhi fantasi merah jambu yang comel. Ia terletak di dalam bangunan yang sama seperti The Little Big Club dan Hello Kitty juga mengadakan persembahan muzikal yang mempersonakan.
Beri kejutan kepada anak-anak lelaki anda dengan lebih 40 permainan dan taman air di Legoland Malaysia, salah satu taman hiburan yang menjadi kegilaan di Johor. Kami pasti, tamat sahaja percutian ini, anda akan digelar ibu bapa paling hebat!
Sumber: Shutterstock.com
Kota Kinabalu ialah destinasi percutian yang menarik bagi ibu bapa yang mahukan aktiviti berilmu dan eksplorasi bersama anak-anak. Antara aktiviti itu seperti Pusat Perlindungan Orang Utan di The Rasa Ria Nature Reserve, sebuah tempat yang ditubuhkan oleh Rasa Ria Resort Shangri La dan Spa dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah. Ia menempatkan rumah bagi haiwan terancam yang telah diselamatkan seperti orang utan, sebelum menghantar mereka ke Pusat Rehalibitasi Orang Utan Sepilok. Di sana, haiwan pintar ini dapat belajar kemahiran untuk meneruskan hidup sebelum ia dilepaskan semula ke dalam hutan. Kawasan tropikal dengan keluasan sepanjang 64 ekar ini menyejukkan mata anda dengan kehijauannya.
Bergantung kepada tujuan percutian anda, sama ada anda mahu bersantai dan membeli belah, berinteraksi bersama orang tempatan, mencuba makanan tempatan; atau anda bersedia untuk menaiki feri bagi menerokai pulau-pulau berdekatan yang menjanjikan flora dan fauna, keretapi wap, berakit, pilihan anda tidak akan berkesudahan.
Sumber: Shutterstock.com
Bandung ialah destinasi percutian yang mungkin sesuai dengan anda – mesra bajet, mesra kanak-kanak, percutian luar negara yang tidak terlalu jauh, dan syurga membeli-belah bagi para wanita. Yang menariknya, selain daripada trafik yang tak berkesudahan dan orang ramai yang membeli-belah, Bandung juga menempatkan pusat rekreasi untuk kanak-kanak yang patut dikunjungi.
Tidak dilupakan juga De’Ranch, penginapan bercirikan kampung dengan aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak seperti menunggang kuda, Delman (kereta kuda), mencari emas, aktiviti air seperti bot, memancing, dan aktiviti lasak lain seperti flying fox atau taman permainan. Bayaran masuk yang telah dibayar boleh ditukar dengan susu percuma. Cuaca yang dingin dan nyaman akan membuatkan percutian ini menyeronokkan buat semua. Bersedia untuk pengalaman koboi anda? Yee-haw!
Sumber: Shutterstock.com
Dikenali sebagai destinasi bagi berbulan madu, Bali menawarkan lebih dari lokasi romantik. Cuba keluar dari aktiviti yang biasa seperti taman tema, zoo, pusat perlindungan haiwan, dan tempah kelas memasak untuk keluarga anda? Pastinya anda akan menikmati masa berkualiti dan gembira bersama keluarga!
Jika anda tidak suka memasak, mungkin coklat ialah pilihan yang lebih baik. Kunjungi Pod Chocolate Factory & Café untuk belajar tentang proses menukar koko menjadi coklat kegemaran semua. Anda juga dapat merasa pengalaman membuat koko mentah, melihat bagaimana kekacang koko dipanggang dan sudah tentu, memilih dan membuat perisa sendiri.
Jika keluarga anda sukakan sesuatu yang berkaitan dengan air dan mahukan sesuatu yang mencabar, cubalah aktiviti meluncur! Ia pastinya suatu keseronokkan baru buat anak-anak anda!
Sumber: Shutterstock.com
Singapura, negara yang tidak asing bagi rakyat Malaysia. Walaupun negara ini kecil, tarikannya sesuai untuk yang muda mahupun tua. Zoo Singapura ialah salah satu tarikan yang mesra keluarga. Ia menawarkan pertunjukkan haiwan, dan pelawat dapat bertemu secara dekat dengan haiwan-haiwan di zoo ini seperti orang utan, ular sawa dan pelbagai burung kakatua yang berwarna-warni. Ketika anda berada di sana, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri Night Safari, zoo pertama yang dibuka pada waktu malam. Night Safari menempatkan lebih 2,500 haiwan daripada 130 spesis.
Antara tarikan menyeronokkan lain ialah Pulau Sentosa dan bersedialah untuk berada seharian di sana untuk mengunjungi Underwater World, Taman Rama-Rama dan Dunia Serangga, Taman Penggembaraan MegaZip, dan 4D Adventureland (banyak lagi!). Kanak-kanak pasti teruja di sini sementara ibu bapa berehat di pantai yang dijaga dengan baik.
Oh, untuk merasai pengalaman di Hollywood, Resorts World Sentosa yang berada di Pulau Sentosa, menempatkan Universal Studios Singapura. Taman tema ini memiliki spa, hotel dan pelbagai lagi, serta menjanjikan memori indah.
Sumber: Shutterstock.com
Ah, pulau yang dapat mengukir senyuman, tentunya ia perlu ada dalam senarai ini kan? Tapi berlainan dengan bandar Bangkok yang sentiasa sibuk, Phuket menjanjikan sesuatu yang berlainan untuk cuti sekolah nanti. Phuket ialah pulau berbukit-bukau yang ditemui di Laut Andaman dan menempatkan lebih dari 30 pantai seperti Pantai Karon, Pantai Patong dan Pantai Kamala. Cara terbaik untuk melihat sendiri keindahan pantai-pantai ini ialah dengan melakukan ‘island hoping’. Pengalaman ini pasti tidak dapat dilupakan oleh anak-anak anda!
Tapi sebenarnya, ada satu tempat yang mungkin menjadi kegemaran kanak-kanak – yang dipanggil Baan Teelanka – Rumah Terbalik. Setiap dekorasi dan perabot dipaku ke siling untuk memberikan ilusi terbalik. Walaupun tempat ini kecil, ia pasti membuatkan kanak-kanak teruja!
Sumber: Jimmy Tran / Shutterstock.com
Hanoi, bandar kedua terbesar di Vietnam, ialah destinasi menarik di mana pertembungan antara yang baru dan lama, serta Timur bertemu Barat disebabkan oleh peperangan dan penjajahan. Untuk permulaan, apa kata berjalan-jalan bersama anak-anak di Old Quarter, dan menjelajah jalan-jalan sempit dan kafe-kafe di tepi jalan, berbual bersama penjaja dan mungkin mengayuh basikal bersama keluarga! Cara terbaik untuk merasai sendiri kehidupan di Vietnam.
Jika anda belum pernah melihat pertunjukan boneka, aktiviti ini mesti dilakukan! Misteri pemain boneka, muzik live dan animasi boneka menjadikan ia sesuatu yang menarik dan sesuai untuk kanak-kanak.
Bagi mengalihkan perhatian kanak-kanak sementara ibu bapa berehat, kunjungi Taman Cong Vien Nghia Do, dikatakan taman terbaik di Hanoi. Taman ini memiliki tasik yang cantik dan laluan pejalan kaki yang bersih serta kawasan berpagar sekitar tempat permainan kanak-kanak. Taman ini juga dilengkapi dengan rumput tiruan dan banyak permainan yang menyihatkan seperti zipline.
Destinasi di atas tentunya dapat memberi inspirasi ppercutian bersama keluarga anda! Jadi, ke mana destinasi anda yang seterusnya?
Diterjemahkan oleh Lina Khazali