Rasa Halal Serata Dunia

Ini senarai makanan ‘Paling Sedap’ di Ipoh

Walau apa jua pun tujuan anda bercuti, sama ada untuk merasai dim sum yang asli atau menikmati pencuci mulut yang manis lagi sejuk, ikuti pengembaraan jalan-jalan cari makan kami selama 3 hari 2 malam di 10 tempat makan di Ipoh.

Kalau anda nak tahu, kami makan 5 hingga 6 hidangan sehari hanya untuk mencadangkan makanan terbaik di Ipoh untuk anda. Percayalah, kalau anda mempunyai selera yang besar, pilihan tempat makan di sini tak akan pernah habis!

 

Sarapan di Restoran New Hollywood

Mulakan hari anda dengan sarapan besar di Restoran New Hollywood. Restoran ini terdiri daripada pelbagai penjaja yang menjual makanan seperti kuetiau goreng, chee cheong fun, mi wantan, yau char kway (cakoi) dan roti bakar telur goyang yang klasik atau roti bakar dengan telur separuh masak.

Pendapat kami: Perut kami kenyang dan gembira.

Tip: Pastikan anda datang awal, kalau tak susah nak dapat meja.

 

Restoran New Hollywood

38, Jalan Lee Kwee Foh, Taman Canning, 31400 Ipoh.

Waktu operasi: 7 pagi – 4 petang setiap hari (Ditutup pada setiap Isnin)

 

Makan tengah hari di Kedai Kopi Yong Suan

Nasi ganja!? Apa??! Sabar, abang-abang kakak-kakak. TIADA bahan terlarang yang digunakan dalam masakan ikonik di Ipoh ini. Google “Yong Suan” dan 80% gambar yang terpapar ialah gambar-gambar pelanggan beratur dalam barisan yang panjang. Tapi jalan-jalan cari makan anda pasti tak lengkap tanpa mencuba nasi ganja yang sedap ini. Memang patut cuba!

Tip: Lengkapkan makan tengah hari anda dengan puding karamel untuk menghilangkan rasa pedas nasi ganja.

Kedai Kopi Yong Suan

2, Jalan Yang Kalson, Taman Jubilee, 30300 Ipoh.

Waktu operasi: 9.30 pagi – 6 petang setiap hari

 

Nikmati snek di Funny Mountain Soya Beancurd

Kadangkala cuaca di Ipoh sangat panas. Jadi, bayangkan tempat pencuci mulut popular yang sejuk lagi menyegarkan pasti penuh dengan pelanggan.

Tapi, tunggu dulu! Bagaimana kalau kami kata anda tak perlu pun keluar kereta untuk membeli? Pandu lalu saja untuk membeli susu soya segar dan tau fu fah di kedai ini.

Funny Mountain Soya Beancurd

50, Jalan Mustapa Al-bakri, Taman Jubilee, 30300 Ipoh.

Waktu operasi: 10.30 pagi – 7.20 malam setiap hari (Ditutup pada setiap hari Selasa)

 

Minum petang di Kafe Setinggan

Anda tentu dah pernah makan laksa, kan? Kalau belum, apa kata mula dulu dengan laksa telur goreng bersarang? Rasanya sama saja cuma yang uniknya laksa ini ditambah telur dadar yang digoreng seakan sarang burung dan diletak di atas laksa.

Pendapat kami: Kami agak terkejut bagaimana enaknya kombinasi telur dadar dan laksa apabila dimakan bersama.

Fakta menarik: Laksa telur goreng bersarang bermula dengan trak makanan yang kecil sebelum pemiliknya membuka kedai di Cafe Setinggan.

Kafe Setinggan

1, Jalan Margosa B/15, 31350 Ipoh.

Waktu operasi: 12 petang – 7 malam setiap hari (Ditutup setiap Jumaat)

 

Makan malam di Gerai Nasi Goreng Udang

Gerai yang kelihatan bersahaja ini sebenarnya menyediakan nasi goreng yang ‘power’. Nasi goreng yang dihidangkan mampu memberikan letusan rasa dalam mulut anda dengan campuran udang, sotong dan cili serta lebih istimewa, sos rahsia mereka. Yang terbaik ialah, pinggan anda akan dipenuhi dengan udang dan sotong jadi bersedia untuk tersenyum sambil menjamu selera!

Gerai Nasi Goreng Udang

24, Medan Selera SSI Corner, Jalan Panglima Bukit Gantang, Pusat Bandaraya, 30100 Ipoh.

Waktu operasi: 4 petang – 12.15 malam setiap hari

 

Sarapan di Mee Daud Mat Jasak

Mi kicap dan mi kari di Mee Daud Mat Jasak memang betul-betul kena dengan selera kami. Kedai antara tempat untuk bersarapan terbaik dan sememangnya dengan mudah menewaskan kedai mi lain.

Pendapat kami: Makanan sedap, pemilik kedai yang mesra.

Fakta menarik: Kedai mi legenda ini telah lama beroperasi sejak 30 tahun yang lalu. Bermula daripada sebuah kedai mudah alih pada sekitar tahun 1970-an.

Mee Daud Mat Jasak

1 & 2, Jalan Dato Onn Jaafar, Kampung Jawa, 30300 Ipoh.

Waktu operasi: 8 pagi – 12 petang dan 4.30 petang – 10.30 malam setiap hari

 

Nikmati snek di Kafe Setinggan

Singgah sebentar di Kafe Setinggan untuk merasai pau yang anda pasti mahu kongsi di Instagram. Pau di sini diberi rupa unik dengan pelbagai bentuk. Anda juga boleh merasai pelbagai perisa seperti coklat, cendawan, jagung, durian dan macam-macam lagi. Cuba beberapa perisa kerana bagi kami, satu tak cukup!

Kafe Setinggan

1, Jalan Margosa B/15, 31350 Ipoh.

Waktu operasi: 12 tengah hari – 7 malam setiap hari (Ditutup setiap Jumaat)

 

Makan tengah hari di Nasi Ayam Fuziah

Dah lapar? Rasai Nasi Ayam Fuziah yang terkenal di Ipoh. Nasi ayam di kedai ini dihidangkan dengan nasi yang wangi dan berlemak, ayam panggang dengan sos rahsia, serta semangkuk sup ayam serta dua sos berlainan. Nak tip daripada kami? Pesan bahagian paha kerana bahagian dada selalunya lebih kering.

Fakta menarik: Resepi nasi ayam ini dipelajari daripada suami Puah Fuziah Arshad ketika beliau bekerja di Singapura.

Nasi Ayam Fuziah

78, Jalan Mustapha al-Bakri, Perak, 30300 Ipoh

Waktu operasi: 11.30 pagi – 10.30 malam (Ditutup setiap Ahad)

 

Minum petang di Popia SS Ali

Kedai mudah alih yang mula beroperasi sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan ini bermula dengan menjual popia berharga 10 sen seketul. Kini Popia SS Ali telah menjadi terkenal dan membuka beberapa cawangan di Perak, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur. Kami lebih menyukai popia basah berbanding popia versi lain, tapi kedua-duanya sama sedap.

Pendapat kami: Sosnya yang berasa pedas dan manis memang kena dengan selera kami.

Popia SS Ali

18, Jalan Raja Musa Aziz, Taman Jubilee, 30300 Ipoh

Waktu operasi: 5 petang – 9 malam setiap hari

 

Nikmati snek di Bits & Bobs

Gambar ais kepal berwarna-warni yang tular di Internet buat anda ingin tercari-cari tempat menjualnya? Singgah di Bits & Bobs dan ambil gambar serta kongsi dengan pengikut akaun anda di Instagram. Cuaca panas dan penat berjalan-jalan sepanjang hari pasti melegakan dengan ais parut manis pelbagai rasa di sini.

Terdapat pelbagai perisa yang boleh anda cuba, tapi kami pilih sarsi dan roselle. Ais krim kelapa juga sempurna untuk menghilangkan dahaga!

Peringatan: Menikmati ais kepal sangat janggal dan comot.

Bits & Bobs

99, Jalan Sultan Yusof, 30000 Ipoh.

Waktu operasi: 11 pagi – 4 petang (hari biasa) | 10 pagi – 5.30 petang (hujung minggu)

 

Makan malam di Greentown Dimsum Cafe

Dim sum adalah satu kemestian kalau anda ke Ipoh. Banyak restoran dim sum di Ipoh tapi yang halal tentulah di Greentown Dimsum Cafe.

Apa yang patut anda cuba di sini? Kami cadangkan kek lobak goreng, pau ayam barbeku dan tauhu gulung stim – dah cuba baru tahu!

Greentown Dimsum Cafe

10, Persiaran Greentown 4, Greentown Avenue, 30450 Ipoh.

Waktu operasi: 8 pagi – 9 petang setiap hari (Ditutup pada setiap Selasa)

______________________________________________________________________

Sedia untuk percutian anda di Ipoh? Pakai baju yang selesa, pastikan selera anda ‘besar’ dan anda sedia ke sana. Pastikan anda tempah penginapan anda di Traveloka!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

162 Shares
Share162
Tweet
+1
Pin
Share