0

Traveloka MY

14 Mar 2017 - 6 min read

Jalan-Jalan Cari Makanan Halal di Seoul

Dari istana lama yang menyingkap kisah silam, sehinggalah ke kereta api bawah tanah yang menuju ke masa hadapan. Pasar lama ke haute couture. Dan dari kuil tradisi sehingga ke bangunan pencakar langit; Seoul, ibu kota Korea Selatan, ialah syurga bagi pengembara.

Sementara tarikan yang ditawarkan membuatkan anda terpersona, sebagai pengembara Muslim di Seoul, pastinya anda tertanya-tanya adakah bandar ini menawarkan makanan halal. Jika anda fikir nasi segera dan mi segera makanan paling sesuai untuk anda di sana, anda pasti silap.

Nah, ini dia 8 makanan Halal yang anda boleh cuba di jalanan untuk mengisi perut anda ketika melawat bandar dinamik bernama Seoul ini!

1. Tteokbokki (Kek beras)

Tteokbokki

Sumber: Shutterstock.com

Berjalan di lorong-lorong di Seoul, anda pasti akan jumpa pelbagai pojangmacha (penjaja jalanan) yang menjual pelbagai makanan mengiurkan, yang tidak asing lagi sebagai snek popular orang Korea.

Tteokbokki ialah kek beras goreng yang digaul bersama pes sos cili manis dan pedas yang dipangil gochujang. Kombinasi mudah kek beras yang kenyal bersalut sos pedas ini pasti membangkitkan deria rasa anda dan membuatkan anda mahukannya lagi.

Tip Halal: Tteokbokki kadang kala dihidangkan dengan mi segera, kek ikan, mandu goreng, telur rebus dan juga bawang serta kubis. Ada juga tempat yang menghidangkan tteokbokki makanan laut. Secara amnya ia tidak dihidangkan dengan daging tapi, untuk memastikan ia halal, pastikan anda bertanya dahulu. Tentu lebih mudah dan anda juga boleh menikmati snek ini tanpa was-was!

2. Pajeon (lempeng daun bawang)

Pajeon

Sumber: Shutterstock.com

Korea sangat dikenali dengan lempengnya, Pajeon, yang juga makanan jalanan yang popular di sana. Pajeon mengandungi telur, tepung gandum dan daun bawang, serta sering dihiasi dengan makanan laut seperti udang dan sotong (dikenali sebagai Haemul Pajeon). Ia dihidangkan bersama sos soya dan sos cili yang membuka selera.

Jika anda kurang gemar makanan laut, pilih sahaja pajeon sayuran. Nikmati lempeng Korea ini bersama kopi segera Korea dan anda akan berasa pengalaman minum petang di jalanan Korea!

Tip Halal: Jika anda sukakan Pajeon dan mahu mencuba lebih lagi, lawati Lorong Pajeon (ya, ia wujud) yang terletak di Universiti Kyung Hee.

Bagaimana untuk ke sana: Ambil kereta api bawah tanah line 1 ke Station Hoegi dan pergi ke exit 9.

3. Bungeoppang dan Gyeranppang

Bungeoppang

Sumber: Shutterstock.com

Jika anda mencari sesuatu yang besar dan mengenyangkan, anda kena mencuba bungeoppang atau gyrenppang.

Snek Korea yang enak dimakan panas-panas ketika cuaca sejuk ini berbentuk ikan yang diisi dengan pilihan inti seperti kacang merah, kastad krim atau keju.

Gyeranppang

Sumber: Shutterstock.com

Gyeranppang, pula ialah gabungan sarapan kegemaran ramai. Telur mata kerbau dan roti yang disatukan menjadi hidangan lazat. Telur tersebut akan dibakar sekali di dalam atau di atas roti berbentuk oblong, ditaburkan dengan daun parsley, dan kekacang. Hidangan ringkas ini pasti menggembirakan anda yang mahukan kelainan dalam roti anda.

4. Twigim

twigim

Sumber: Shutterstock.com

Mungkin cara terbaik untuk memenuhi keinginan anda kepada snek Korea ialah dengan merasai hidangan yang digoreng dalam api yang panas. Twigim, seperti hidangan tempura enak yang dicelup dengan pelbagai bahan dan kemudian digoreng sehingga rangup. Twigim terdiri daripada sotong, udang dan sayur-sayuran seperti cili, daun bayam, ubi keledek (terbaik!) dan telur rebus. Pilih yang mana satu kegemaran anda dan nikmatinya panas-panas.

Tip Halal: Hampir semua penjaja menjual twigim makanan laut dan sayuran. Ada yang menjual twigim mandu (dumpling) yang diisi dengan daging. Elak dari membeli twigim jenis itu dan tak perlu risau yang selebihnya ya!

5. Chamchi (Tuna) Kimbap

Chamchi Kimbap

Sumber: Shutterstock.com

Lawatan ke Korea tak lengkap kalau tak mencuba kimbap.

Nasi melekit dan padat ini dibalut dengan rumpai laut yang disapu dengan minyak bijan dan ditabur dengan bijian bijan. Intinya pula dipenuhi dengan sayur jeruk, kimchi dan daging, makanan laut atau tauhu.

Tip Halal: Terdapat pelbagai jenis kimbap yang tersedia termasuklah yang mengandungi ham (khinzir), tapi anda boleh memilih Kimbap Chamchi yang diisi dengan tuna atau yang hanya diisi dengan sayuran – sayuran jeruk pedas yang membangkitkan selera. Dan jika anda mahu berjimat, pilih kimbap mini yang enak dan sihat untuk makan tengah hari anda!

6. Ojingeo Gui (satay sotong panggang)

Ojingeo Gui

Sumber: Shutterstock.com

Orang Korea gemar makanan yang dicucuk dengan lidi. Dan ‘satay Korea sotong’ ini paling popular dan agak mudah didapati di pelbagai pasar utama dan jalan-jalan yang menjual makanan.

Hidangan mudah ini terdiri daripada sotong yang dipotong dan dipanggang di atas arang barbeku. Jika anda penggemar barbeku Korea, anda akan ketagih rasa satay sotong yang amat berbeza ini.

Tip Halal: Hidangan ini tidak dicampur dengan daging lain. Dan jika anda mahukan rasa yang lebih memuaskan, cuba sotong yang dibakar dengan mentega.

7. Eomuk (Kek ikan)

Eomuk

Sumber: Shutterstock.com

Tidak seperti makanan Korea yang dijual di jalanan, yang digoreng atau diselaputi dengan mentega, eomuk ialah alternatif yang lebih sihat kerana ia terdiri dari pelbagai jenis ikan yang dijadikan kek ikan.

Makanan lazat yang dicucuk dengan lidi, dan direbus dalam kuah panas dengan sayuran dan makanan laut ini cukup mengasyikkan. Pilih sebanyak mana kek ikan yang anda mahu dan nikmati ia dengan mencelupkannya ke dalam kuah berperisa atau menghirup kuahnya begitu saja. Kuah yang tersedia ialah percuma untuk pelanggan.

Tip Halal: Tambahkan perisa eomuk dengan mencelupkannya ke dalam sos gochujang (pes cili). Juga percuma untuk pelanggan gerai!

8. Hotteok

Hotteok

Sumber: Sarunyu L / Shutterstock.com

Jika perut anda sudah terisi dan anda mahu merasa pencuci mulut pula, makanan yang paling disarankan ialah Hotteok atau lempeng Korea.

Hotteok ialah pencuci mulut tradisional Korea yang mengandungi doh yang diisi dengan madu, gula perang, kekacang dan kulit kayu manis. Lempeng ini digoreng sehingga garing dan dihidangkan panas-panas atau ada sesetengahnya lebih kenyal tetapi penuh dengan keenakkan bagi penggemar makanan manis. Setiap penjaja mempunyai cara dan resipi tersendiri bagi menghasilkan Hotteok, jadi anda boleh cuba setiap tempat yang menawarkan makanan ini, dan pilih yang sesuai dengan citarasa anda (Abaikan kalori ketika bercuti ya!)

Tip Halal: Anda mahu merasa hotteok yang tidak manis? Anda boleh ke Insa-dong. Di sana, intinya diisi dengan mi dan sayuran. Pastikan ia tidak mengandungi daging.

Jika anda fikir Seoul hanya tentang K-pop, istana dan tempat membeli belah bagi produk kosmetik, kami harap ini dapat mengubah pandangan anda. Bandar yang menarik ini ialah rumah kepada destinasi makanan terkemuka, dan sudah tentulah makanan yang dijual di jalanan juga hebat dan murah. Ini juga ialah sebab paling baik kenapa anda perlu memasukkan Seoul sebagai destinasi harus dilawati musim ini!

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka