0

Traveloka MY

17 May 2019 - 6 min read

8 kuih-muih yang menjadi buruan di bazar Ramadan

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

Selain mengisi bulan Ramadan dengan penuh amalan mulia, tipulah kalau kita tidak mengisi perut yang kosong dengan pelbagai juadah berbuka puasa, kan?

Setiap tahun, pasti ada makanan baru yang viral akan dibawa ke bazar Ramadan dan buat ramai orang tercari-cari. Contohnya seperti ‘bomboloni’ atau kuih donat gebu ala pastri Itali yang berinti pelbagai perisa ini:

Kredit: Facebook / Muhammad Nor Firdaus Luloh

Tetapi, kuih-muih klasik yang telah lama menjadi tradisi hidangan bulan Ramadan juga apa kurang hebatnya. Hampir waktu Iftar, kita dah bersedia dengan pelbagai makanan di atas meja — kurma, air, pembuka selera, makanan utama, dan semestinya pencuci mulut seperti kuih-muih!

Ada beberapa jenis kuih yang menjadi pilihan ramai, dan walaupun ada di antaranya yang mudah dicari pada hari biasa, sekarang ia lebih dihargai sebagai pelengkap juadah berbuka puasa. Jom kenali kuih-muih yang menjadi rebutan di bazar Ramadan ini dengan lebih lanjut!

1. Samosa

Berasal daripada bahasa Parsi “sanbosag” yang bermaksud ‘segi tiga cantik’, samosa memang sesuai dijadikan snek untuk minum petang (semasa bukan bulan puasa). Ia juga merupakan kuih kegemaran di sekitar Asia dan Timur Tengah. Tetapi lain tempat, lain cara masakannya.

Di Malaysia, samosa digoreng rangup dan berinti ubi kentang, daging, ayam, atau sayur-sayuran, dan lebih enak dicicah dengan sos pedas-pedas manis yang disertakan. Jika di India, samosa berinti sayur-sayuran akan dihidang dengan sos pudina atau chutney. Kuih kegemaran Maharaja Mughal pada zaman dahulu ini juga pernah disebut dalam puisi oleh Ishaq ibn Ibrahim al-Mausili dari abad ke-9, di mana beliau memuji keenakan samosa.

Tip pro: Penduduk di Petaling Jaya pasti tidak asing lagi dengan param Kelana Jaya yang telah bertapak sekitar tahun 1996. Cari gerai Azmera Samosa untuk membeli samosa enak berinti ayam atau daging pada harga serendah 80 sen sebiji.

2. Cara berlauk

Siapa yang tidak kenal kuih ini, kan? Boleh dikatakan selalu dilihat, cara berlauk tersedia pada waktu sarapan, di pasar tani, ataupun dihidangkan di kenduri. Dengan hirisan cili merah, rempah dan daging cincang yang ditaburkan di atas, kuih tradisional yang enak ini sesuai sebagai pembuka selera sebelum anda menikmati makanan berat.

Cara berlauk biasa dimasak dalam acuan berbentuk separa bujur, tetapi ada juga yang membuatnya dalam acuan berbentuk bunga. Selain itu juga terdapat kuih cara manis — berwarna hijau dengan isian air gula di tengah yang lebih sesuai sebagai pencuci mulut.

Tip pro: Disebabkan cara berlauk dimasak segar dan berisi pelbagai inti, ia tidak sesuai untuk disimpan lama kerana kuih ini mudah melekit dan basi.

3. Popiah basah

Kredit: Flickr / Boo Lee

Sekiranya anda mengutamakan pemakanan sihat atau mencari peluang untuk diet sambil berpuasa, popiah basah semestinya cadangan hidangan yang baik. Lain dengan popiah goreng atau spring roll, popiah basah sebenarnya susah untuk dimasak dan dihidang dengan cantik kerana kulitnya yang nipis dan inti yang berat. Seseorang itu memerlukan kemahiran memasak A+ untuk membuatnya!

Asal-usul kuih popiah secara umum pernah menjadi kontroversi beberapa tahun lalu. Sebenarnya, nama “poh piah” diambil daripada dialek Teochew yang bermaksud ‘penkek nipis’ dan ia berasal dari Fujian, China.

Tip pro: Sanggup beratur panjang untuk popiah? Di bazar Ramadan Seksyen 14 Petaling Jaya, gerai Popiah Basah Penang milik Pak Kassim yang telah menjaja di sini sejak lebih 30 tahun lalu sememangnya berbaloi untuk dikunjungi.

4. Akok

Kredit: Facebook / Viral Oh Viral

Ada di antara anda yang belum pernah merasa kuih akok? Tidak dinafikan, kuih tradisional Melayu yang berasal dari Pantai Timur ini ialah pilihan pencuci mulut yang menyelerakan setelah berbuka puasa. Dengan rasa berlemak manis telur, ia sesuai dihidangkan kepada tetamu kerana sesiapa saja pasti menyukainya.

Terdapat pelbagai variasi masakan kuih akok, seperti akok kemboja, akok pisang, akok pandan, dan akok nisan. Buat pengetahuan anda, akok nisan diberi nama kerana bahan masakannya yang menggunakan nisan, iaitu sejenis manisan yang terhasil daripada mayang pokok kelapa. Dia kawasan utara, manisan ini dikenali sebagai nira.

Tip pro: Di Pantai Timur, kuih akok biasanya dimasak menggunakan telur itik sebagai bahan utama. Ada orang yang kurang menggemarinya disebabkan bau hanyir telur itik. Lebih baik jika anda bertanya dulu tentang jenis telur yang digunakan sebelum membeli.

5. Lopes

Kredit: Fried Chillies

Apa yang kami tahu, nama kuih ini sama sekali tiada kena-mengena dengan selebriti antarabangsa terkenal yang anda fikirkan itu.

Kuih tradisi Melayu ini terkenal di negeri Kedah dan Johor. Ia diperbuat daripada beras pulut, disadur dengan kelapa parut kering, dan dimakan dengan kuah gula melaka yang lebih enak jika disejukkan. Berbanding zaman dulu-dulu, sekarang ini agak sukar untuk mencari kuih lopes asli yang dibalut dalam bekas daun pisang.

Tip pro: Jika anda berniat untuk membeli kuih ini dan menikmatinya esok hari, pastikan anda segera simpan dalam peti ais kerana saduran kelapa parut mudah membuatkannya basi.

6. Agar-agar santan

Kredit: Flickr / Boo Lee

Selepas berbuka puasa dengan makanan berat, pencuci mulut ringkas seperti potongan agar-agar sejuk sangat melegakan tekak! Boleh didapati dalam pelbagai perisa, inti, warna, dan bentuk, kami yakin anda mudah mencari beraneka jenis agar-agar di bazar Ramadan sekitar anda.

Yang menjadi kegemaran semasa bulan Ramadan ialah agar-agar santan pandan. Diperbuat daripada lapisan agar-agar dan campuran pandan dengan santan, agar-agar ini sememangnya sesuai untuk menyejukkan badan.

Tip pro: Di bazar Ramadan Jalan Telawi 1, Bangsar, ada satu gerai yang menjual beraneka agar-agar yang berwarna-warni! Anda pasti mudah menjumpainya kerana ia sentiasa dipenuhi orang. Tetapi ingat, jangan membeli mengikut nafsu untuk mengelakkan pembaziran :)

7. Kuih bakar

Kredit: Flickr / Nurainnie Ahmad

Turut dikenali sebagai bahulu kemboja, kuih tradisional berbentuk bunga ini pun agak mudah dicari lebih-lebih lagi pada bulan puasa kerana ia merupakan hidangan pencuci mulut yang asas. Aroma kuih bakar yang harum juga membuatkannya lebih menyelerakan.

Dengan taburan bijan di atas, padat berisi bahan-bahan seperti tepung gandum dan pandan, kuih ini berasa manis, lembut dan berlemak. Acuan khas digunakan untuk memasak kuih ini dan ia dibakar menggunakan dapur arang.

Tip pro: Kuih bakar sememangnya menjadi pilihan ramai dan sesuai dibawa sebagai hidangan moreh di masjid. Ia mudah dicari dan dibeli dengan pesanan yang banyak. Nikmati kuih bakar yang panas-panas kerana bahagian luarnya lebih garing.

8. Tepung pelita

Sila beri laluan buat kuih paling popular ini.

Bagi yang masih belum mengenalinya, kuih tepung pelita memang cukup sinonim dengan bulan Ramadan. Dihidang dalam bekas daun pandan, kuih ini ada dua lapisan. Bahagian atas atau dipanggil ‘kepala’ diperbuat daripada santan putih dan bawahnya pula berasa pandan. Manis berlemak, lembut dan cair dalam mulut, tepung pelita lebih lazat jika dinikmati semasa ia sejuk.

Di negeri Perak, ada versi kuih ini yang tersendiri — sama rupa, tetapi lain sedikit rasanya. Dipanggil kuih limas, rasanya lebih padat dan pekat. Bezanya, kuih tepung pelita diperbuat daripada tepung beras manakala limas pula menggunakan tepung gandum.

Tip pro: Untuk membeli tepung pelita, tiba lebih awal untuk mengelak kekecewaan kerana permintaan kuih ini memang tinggi semasa bulan puasa. Kena dengan slogan mereka, ‘Rasa Sebulan, Rindu Setahun’, kami cadangkan anda mencuba Tepung Pelita Paya Jaras yang kini dijual di banyak bazar Ramadan.

Dah terliur? Cepat-cepat serbu bazar Ramadan berhampiran anda untuk mencari kuih-muih ini sebelum semuanya habis lesap dibeli!

_____________________

Suka makan? Kami pun! Perhatikan ruang ini dan nantikan artikel kami yang seterusnya untuk mendapatkan inspirasi makanan yang terbaik.

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka