Kisah Pengembaraan

Malaysia: 5 perkara yang saya sedar tentang tanah air sendiri

Saya berasa selesa dan tenang apabila saya berada di tempat lain. Namun tempat lain itu bukanlah tempat yang jauh; tapi hanyalah keluar daripada rumah yang menjadi kediaman saya sejak zaman kanak-kanak dan jauh dari Kuala Lumpur.

Semasa pertama kali diri saya dikuasai dengan perasaan untuk mengembara, saya tidak dapat mengembara ke negara-negara seperti Norway dan Brazil kerana kewangan yang terhad. Jadi, rasa kegelisahan yang semakin membuak-buak mendorong saya untuk melakukan sesuatu. Jika saya tidak boleh menjelajah ke tempat yang jauh, mungkin saya boleh mula mengembara dekat-dekat sahaja.

Perjalanan ini biasanya berlaku secara spontan dan tanpa dirancang. Satu tempat biasanya mendorong kepada penjelajahan ke tempat lain. Sebab itulah, saya banyak menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di sekitar bandar pada waktu malam untuk mencari tempat berehat, merayau-rayau mencari tempat makan atau mencari sesuatu yang menarik untuk dilakukan, memulakan perbualan dengan penduduk tempatan di pekan, berkhemah di pantai dan lain-lain. Sedikit demi sedikit saya meneroka setiap lapisan negara, pekan demi pekan, yang telah membawa saya ke penemuan yang mengejutkan. Inilah perkara yang saya pelajari daripada perjalanan saya di tanah air saya sendiri.

1.  Malaysia tidak berbahaya seperti yang didakwa oleh media

Tajuk berita seperti rompakan di tempat letak kereta, peragut yang menunggang motosikal, pemandu teksi yang kuat menipu biasanya terpampang dalam media digital dan media cetak di Malaysia. Jadi, tidak hairanlah jika ayah saya panik apabila saya beritahu tentang pengembaraan solo saya. Walaupun saya telah menaiki bas antara negeri semalaman, merayau-rayau di sekitar stesen bas Pudu Sentral pada waktu malam, tidur dalam bilik asrama bercampur, berkhemah di Pantai Cherating, keluar makan lewat malam di sekitar Chow Kit, melakukan perjalanan merentas desa dengan menunggang motosikal bersama rakan-rakan yang lain, mengembara tumpang dengan sebuah keluarga di Cameron Highlands, tidur di ladang getah; saya tidak berasa terancam atau takut langsung. Tiada satu saat pun saya risau tentang keselamatan saya atau ragu-ragu kerana bertemankan orang asing. Orang ramai tidak pedulikan saya, tetapi ramai juga yang mesra dan baik apabila didekati. Tiada sesiapa pun yang bertindak agresif. Saya tidak perlu memeluk beg galas saya semasa tidur di dalam bas kerana takut dirompak. Penjual tidak menipu saya walaupun hakikatnya saya tidak pernah mendedahkan yang saya ialah orang tempatan.

Saya tidak berasa lebih terdedah kepada bahaya berbanding di negara-negara lain seperti Vietnam atau England.

2.  Orang Malaysia benar-benar mesra dan santai

Kita sering fikir yang kita hidup di kalangan masyarakat yang bermusuhan dan kurang ajar serta tidak mesra. Apabila anda terjumpa pemandu yang kurang ajar dan tidak bertimbang rasa di jalan raya, anda menyumpah-seranah. Anda terfikir, ke mana perginya semua orang yang baik? Mereka masih wujud di sini kerana saya sentiasa merasakan kemesraan masyarakat Malaysia. Tidak seperti di sesetengah negara lain orang tempatan di Malaysia berasa lebih teruja untuk sekadar berbual dengan seorang pengembara. Berdasarkan pengalaman peribadi saya, mereka tiada agenda tersembunyi berbanding sedikit rasa ingin tahu tentang perjalanan atau latar belakang saya. Wajah mereka sentiasa tersenyum lebar apabila mengetahui yang saya sebenarnya ialah orang Malaysia (Saya sentiasa disalah anggap sebagai pelancong beg galas Jepun). Malah, penjual kuih-muih di pasar malam di Kota Bharu memberi saya lebih banyak kuih kerana dia fikir yang saya fasih bercakap bahasa Melayu. Sehinggalah dia dapat tahu yang saya sebenarnya ialah orang Malaysia dan kami berdua ketawa bersama-sama!

Penjelajahan di sekitar tanah air saya juga membantu saya berhubung dengan strata masyarakat berbeza yang biasanya saya tidak pernah bertemu secara dekat. Melihat nelayan berlayar pada waktu awal pagi dan kanak-kanak di kampung bermain di tepi jalan yang membuatkan saya berasa seperti kita semua ialah sebahagian daripada gambaran yang lebih besar. Secara asasnya, ia membantu saya menyedari bahawa bukan semua rakyat Malaysia berkongsi latar belakang, minat, atau kelebihan yang sama dengan saya. Ia membuatkan saya berasa bahawa terdapat dunia yang lebih besar daripada dunia saya dan ironinya ialah dunia yang lebih besar ini berada dekat dengan saya.

3.  Kenapa menaiki kereta kalau ada bas mewah antara negeri yang boleh memberi keselesaan yang sama?

Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur

Pernahkah anda menaiki bas yang menghala ke selatan dari Terminal Bersepadu Selatan? Pernahkah anda menyedari betapa cantiknya stesen itu, betapa berkesannya sistem tiket dan berapa banyak booth tiket yang tersedia? Setelah anda menaiki bas, anda boleh duduk di kerusi yang lembut dengan ruang letak kaki yang luas. Dua jam perjalanan ke Melaka hanya menelan belanja sebanyak RM10 sahaja! Malah, bas antara negeri di Eropah pun tidak boleh bersaing dari segi kos dan keselesaannya.

Inilah sebab mengapa saya sentiasa memilih untuk menaiki bas untuk pergi menjelajah. Hampir semua orang yang bekerja di industri pelancongan bercakap dalam bahasa Inggeris. Jadi nak keliru pun susah.

Di kebanyakan bandar dan pekan, rangkaian bas tempatannya sangat bagus sehingga anda tidak perlu menaiki teksi. Peta tempatan mudah didapati, rumah tamu yang mampu milik tidak sukar untuk dicari dan anda boleh berkunjung sendiri ke tempat tarikan dalam negara menggunakan pengangkutan awam.

Berjalan di kawasan sekitar menggunakan pengangkutan awam membolehkan saya mengenali rakyat Malaysia dengan lebih mendalam. Banyak yang saya belajar apabila melihat gelagat penumpang lain. Ia sesuatu yang menyegarkan apabila melihat semua orang melakukan aktiviti harian mereka dengan cara mereka sendiri. Kadang kala, saya bertemu dengan pengembara yang hebat ketika saya dalam perjalanan menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur. Seorang lelaki Cina pertengahan umur yang pulang ke rumah untuk menghadiri perkahwinan anak perempuannya tidak sabar-sabar berkongsi portfolio fotografinya dengan saya. Dia ialah seorang jurukamera yang sedang meningkat naik dan baru sahaja menemui fotografi pada usia lanjutnya. Kisah tentang keluarganya mungkin saya tidak ketahui jika saya tidak bercakap secara terbuka dengan orang asing.

4.  Kepelbagaian menjadikan kita menarik

Malaysia menawarkan pelbagai jenis kepelbagaian bagi semua perkara: pelbagai budaya yang tidak terbilang banyaknya,, pertembungan antara yang baru dan lama, yang hodoh dengan yang cantik, landskap bergunung-ganang dan teluk yang luas, pekan yang lengang dan bandar yang hiruk-pikuk. Semuanya sama-sama berselirat dan bercampur aduk yang menjadikan negara ini suatu warna-warni yang kaya daripada berjuta-juta jaluran berbeza yang pelbagai. Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila menemui penjual char kuey teow berbangsa Cina menyiapkan hidangan dengan cepat di suatu sudut sementara seorang lelaki India Muslim di seberang jalan memasak hidangan yang sama, tetapi dengan versi yang lebih pedas: Mee Goreng Mamak Pedas. Loghat bahasa dan dialek berbeza yang dituturkan boleh didengari dalam ruang perkongsian awam kecil. Surau India Muslim, kuil Buddha dan gereja Methodist Tamil boleh ditemui berdekatan antara satu sama lain. Saya tidak terfikir hakikat ini sehinggalah saya melakukan separuh perjalanan mengelilingi dunia kemudian (Saya berada di Jerman sekarang). Saya menyedari yang Malaysia ialah salah sebuah negara yang paling menarik untuk dilawati di Asia Tenggara. Bagi seorang pengembara, amat mustahil bagi mereka untuk berasa bosan dengan Malaysia!

5.  Masih ada tempat yang belum diketahui

Saya mempunyai dua peluang untuk mencipta Diari Motosikal versi saya sendiri; sekali ketika menjelajahi kawasan di sekitar Semenanjung Malaysia dan satu lagi di sekitar Sabah. Sebagai seorang pembonceng, saya berasa kagum dengan kawasan sekitar ketika kami melalui kawasan tersebut. Saya dan rakan motosikal saya menunggang melalui jalan kampung yang panjang dan terbentang, tasik takungan yang tenang, hutan hujan dan pinggir laut yang hening.

Ada kalanya saya dapat menjelajahi lebih daripada sekadar tempat tarikan pelancongan di Malaysia. Kami juga berpeluang menemui sesetengah bandar yang aneh tetapi menarik dan tempat yang menakjubkan apabila kami melalui kawasan itu. Tempat lain ialah seperti permata yang tersembunyi yang didedahkan kepada saya oleh seseorang yang berpengetahuan luas tentang tempat tersebut. Ia suatu yang menakjubkan apabila melihat betapa banyak tempat ‘rahsia’ yang terdapat di Malaysia, yang mana alam semula jadi masih asli dan sebahagian besarnya tidak terjejas oleh pembangunan.

Akhirnya saya sedar, kita perlu bermula dengan mengembara  di negara kita sendiri sebelum terbang ke negara lain. Lain kali jika ada orang Malaysia mengeluh tentang rutin harian mereka, cabar mereka untuk memilih satu tempat di mana-mana sahaja pada peta Malaysia dan suruh mereka pergi menjelajah. Mungkin perjalanan ke sana sahaja boleh menjadi suatu pengembaraan. Cubalah!

 

Diterjemahkan oleh: Murni Jamaludin

243 Shares
Share243
Tweet
+1
Pin
Share