Inspirasi

5 perkara penting yang kami belajar daripada pengembara wanita di ZafigoX

Semua orang mengembara. Tak kira jarak – dalam mahu pun luar negara, kita mengembara untuk bercuti, untuk bekerja, dan untuk berkembang. Tapi mengembara ini bukan selalunya mudah.

Walau bagaimanapun, mengembara sebagai seorang wanita ada cabaran-cabaran yang unik terutama sekali daripada segi keselamatan kalau mengembara secara solo.

Namun, ada yang mampu bertahan tanpa mengira halangan.

Bulan lalu, wanita-wanita hebat ini telah bersatu di ZafigoX, persidangan pengembaraan pertama yang diadakan oleh Zafigo, laman web dari Malaysia yang menampilkan koleksi panduan dan kisah-kisah menakjubkan yang didedikasikan kepada pengembara wanita di Asia dan Timur Tengah.

Berani, bijak dan bersifat tegar, pengembara-pengembara ini datang dari seluruh pelusuk dunia – Amerika, Asia, Australia dan di mana sahaja tempat menetap mereka, untuk berkongsi kisah bagaimana mereka mengatasi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang pengembaraan mereka serta apa yang mereka perolehi daripada pengalaman bermakna tersebut… Dengan harapan untuk memberi inspirasi supaya lebih ramai wanita mengorak langkah untuk mengembara.

Ini antara pengajaran yang paling kami gemari yang kami pelajari sepanjang tiga hari persidangan tersebut:

#1. Jangan jadikan ketakutan anda sebagai penghalang

Sumber: rawpixel.com / Unsplash

Daripada saat kita berkongsi impian pertama untuk mengelilingi dunia, perasaan bimbang memang tidak boleh dielakkan.

Walau bagaimanapun, selagi anda tidak mencuba, selagi itulah anda tidak tahu. Jadi jika anda mendapat panggilan dari negara lain, jangan jadikan kerisauan anda menjadi penghalang.

Salah seorang ahli panel di ZafigoX ialah Petrina Thong. Katanya, perasaan ingin tahu tentang mengembara tumpang (hitch-hiking) membuatkan beliau mahu mencuba sendiri. Beliau telah terbang ke Stockholm, Sweden dengan hanya USD200 di dalam poket dan mengembara tumpang hingga pulang ke Kuala Lumpur.

“Tak mengapa kalau anda tidak tahu apa yang berlaku… Ia memberikan kebebasan kepada anda,” katanya apabila memberi komen tentang pengalaman yang membuka matanya.

Seorang lagi ahli panel, Kelly Lewis, penulis pengembaraan dan pengasas Go! Girl Guides, berkata yang wanita selalunya ada persepsi mental yang tidak menggalakkan tentang mengembara iaitu ia tidak boleh dilakukan, tidak berbaloi, atau tidak selamat.

“Tapi sebenarnya ada banyak cara untuk melihat dunia, dan ia bergantung kepada anda untuk menentukan hala tuju anda… Jika itulah impian anda, anda boleh lakukannya,” beliau menambah lagi.

#2. Bersedia

Sumber: rawpixel.com / Unsplash

Jika anda gemarkan unsur yang lebih bersahaja ketika mengembara, lebih baik kalau anda bersedia sehabis boleh. Jadi sebelum anda pergi, buat dulu kajian!

Jin Jeong dari Korea Selatan, yang meluangkan masa selama enam tahun mengembara secara berbasikal merentas dunia, asyik mengingatkan perkara yang sama. “Apabila membuat persediaan untuk sesuatu perjalanan, pastikan anda bertanya kepada pengembara lain tentang keadaan keselamatan atau berita terbaru tentang destinasi anda,” katanya. Beliau juga menambah yang anda patut selalu memeriksa perkara seperti keperluan visa dan kadar mata wang.

Pengasas Zafigo, Marina Mahathir, berkata beliau mendapat idea untuk mewujudkan laman web ini ketika tahun 2014 kerana kekurangan maklumat untuk wanita yang ingin mengembara.

“Kebanyakkan laman web pengembaraan tidak menumpukan kepada isu yang dialami oleh wanita apabila mereka mengembara, sebab itulah Zafigo diwujudkan,” katanya.

#3.  Guna segala yang negatif sebagai batu loncatan

Sumber: Danka & Peter / Unsplash

Ramai ahli panel di ZafigoX mengatakan apabila mengembara, ada banyak perkara yang diluar kawalan kita dan kemalangan boleh berlaku. Tapi mereka setuju yang: “Jangan jadikan ia sebagai penghalang impian anda.”

Mereka yang berkongsi kisah peribadi tentang kesukaran yang mereka hadapi juga menganggap banyak yang telah dipelajari tapi tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mengembara.

Dr. Catheryn Khoo-Lattimore, pengkaji pengembaraan, menggalakkan pengembara wanita mencari aktiviti yang boleh memberi kekuataan dalaman kepada mereka. “Keluar daripada zon selesa anda, kerana kajian menunjukkan yang jika anda mengatasi risiko, anda akan merasai kebebasan,” katanya.

#4.  Dengar kata hati anda

Sumber: Heidi Sandstrom / Unsplash

Ahli panel ZafigoX bukan sahaja menggalakkan wanita untuk mengatasi rasa ragu-ragu mereka, malah menasihatkan para pengembara untuk mendengar kata hati mereka dan membuat tindakan yang wajar ketika mengembara – kerana ini yang selalunya menyelamatkan anda.

Jin, yang telah mengayuh basikal sejauh 67,000 kilometer merentas 70 buah negara, berkata yang paling penting: “Anda patut mempercayai diri anda.”

#5.  Jangan memandang rendah ketahanan diri anda

Sumber: Paul Gilmore / Unsplash

Menurut Marina, yang berkongsi pengalamannya ketika muda, beralih angin ke persekitaran yang lain ialah “baik untuk jiwa seseorang.”

“Anda mempunyai asas untuk perbandingan kebudayaan dan ia mengubah pandangan anda terhadap orang dan tempat … atau kadang-kadang menguatkannya. Saya pulang ke rumah orang yang lebih kuat, dengan lebih percaya diri, “katanya.

Akhirnya, di ZafigoX kami sedar yang setiap orang ada motivasi mereka sendiri dan cara tersendiri untuk mengembara, tapi tak kira apa pun, anda boleh mencari seseorang yang mempunyai impian yang sama seperti anda. Kenali lebih banyak komuniti pengembara yang pasti menerima anda dengan tangan yang terbuka.

Mulakan pengembaraan anda hari ini – lawati www.traveloka.com untuk menempah hotel dan penerbangan anda. Destinasi seterusnya: dunia!

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share