chasing reindeers
Inspirasi

#KenapaSayaMengembara: Cabaran Menepis Stereotaip

 

female traveler

Ketika saya masih muda, peluang terbesar iaitu belajar dan tinggal di Australia selama tiga tahun telah mengubah hidup saya. Tapi, sibuk belajar dan bekerja untuk menampung kehidupan saya di sana, membuatkan Australia asing buat saya. Berkenalan dengan rakyat tempatan ialah perkara terakhir dalam fikiran saya. Kehidupan saya di sana sama seperti kehidupan saya di Malaysia, cuma lebih mahal. Kemudian saya sedar, kebanyakkan rakyat Malaysia yang merantau ke Australia untuk menyambung pelajaran terkena perangkap yang sama. Kami telah tinggal di tanah asing tanpa berasa ingin tahu tentang keadaan sekeliling, tanpa mencabar kehidupan yang selesa dan tanpa belajar apa-apa yang baru. Selepas tamat pengajian, saya kembali ke Malaysia dengan azam yang baru.

Saya bukanlah jenis yang suka membuat senarai perkara yang ingin dicapai dalam hidup. Tak pernah ada senarai sebegitu dalam hidup saya dan tempat yang ingin saya lawati sebelum berumur 30 tahun. Tapi apabila saya berumur 23 tahun, saya sedar yang kehidupan saya adalah lebih daripada bekerja selama 8 jam (atau lebih) di pejabat dan menunggu gaji setiap bulan.

“Adakah ini sudah cukup?” Itu soalan yang saya selalu tanya kepada diri saya. Saya tak senang duduk. Saya ketagih pengembaraan yang tak melibatkan LRT dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya setiap pagi. Jadi saya buat keputusan nekad dengan berbekalkan pasport dan menaiki kereta api dari Butterworth ke Bangkok. Saya jadi teruja apabila dapat berbual dalam bahasa Hokkien dengan seorang wanita Thailand yang sudah tinggal lama di Pulau Pinang. Bahasa pertuturan saya tak lah berapa baik, tapi ia memberi peluang kepada saya untuk berhubung dengan orang yang tidak dikenali.

Kemudian saya terfikir, mungkin inilah yang saya cari selama ini.

1.    Saya mengembara kerana perasaan ingin tahu

girl cycling

Dari kisah kanak-kanak Enid Blyton sehingga ke muka surat berwarna-warni National Geographic, saya asyik tertanya-tanya, bagaimana agaknya kehidupan orang lain di luar sana. Bagaimana menjadi seorang pembuat kek, seorang kelasi, penjual Pad Thai, penyeludup, atau seorang penari?  Perasaan ingin tahu mengubah saya menjadi seorang penjelajah, di mana saya dapat terbang ke negara lain dan menyelami masyarakat yang berlainan. Tanpa elemen ‘kebiasaan’ dan tanah air sendiri, dengan pantas saya sedar betapa mudahnya untuk mengikut kata hati.

old train

Menjadi orang asing begitu menyeronokkan. Segalanya perlu dipelajari semula – bermula dari cara untuk memesan sepinggan mee sehinggalah untuk mencari tandas awam. Keterujaan bangun pagi di tempat lain membuatkan saya menantikan hari-hari baru. Apa yang saya akan lalui dan temui semuanya secara spontan.

2.   Saya mengembara untuk menikmati ketidakselesaan

snacks

Mungkin ada yang kurang bersetuju tapi lebih jauh saya berada dari zon selesa, lebih baik rasanya. Inilah masa yang terbaik untuk mencabar diri dan melihat sejauh mana kemampuan saya. Apabila anda percaya pada sesuatu, anda boleh atasi apa saja halangan. Apa yang saya belajar?  Sesuatu yang tak dapat mematahkan semangat saya, akan buat saya lebih kuat dan berkebolehan.

asking question

Dengan mengembara saya dapat mengatasi perasaan malu dan memulakan perbualan dengan orang yang tak dikenali walaupun dalam bahasa asing.  Saya lebih menghargai betapa bagusnya tanah air sendiri ketika saya menaiki bas sepanjang malam dan terpaksa menggunakan tandas yang kotor, dipenuhi labah-labah besar. Ya, saya lebih berani dan berfikiran terbuka. Perasaan kurang selesa menemukan saya dengan diri baru yang saya tidak pernah tahu wujud sebelum ini.

3.   Saya mengembara untuk mengumpul pengalaman

Selama berpuluh tahun pengalaman saya mengembara, barangan mewah tak penting dalam hidup saya. Memiliki beg galas 45L seakan-akan harta bagi saya, dan yang penting bagi saya hanyalah barangan keperluan diri dan sedikit pakaian. Yang lain boleh dipakai buang. Jika sesuatu itu tidak memberi impak kepada pengembaraan saya, contohnya seperti pakaian mahal, alatan canggih atau cenderamata sekalipun, ia tak akan dibawa bersama. Sejak sekian lama, aset saya hanyalah masa dan kebebasan. Dengan dua komponen penting ini, peluang untuk keluar dari rutin dan melakukan sesuatu yang baru sentiasa ada.

Sejak itu saya pernah berenang bersama paus jerung, tidur bersama pada pukul 3 pagi dengan orang asing di rumah yang entah di mana, melihat matahari terbit dan terbenam ditengah-tengah dunia yang tidak dijangka, mengejar rusa kutub di Norway, berparti dikawasan hutan di Mauritius, bekerja di kafe di London dan Perth, terselamat dari penipuan teksi di Mesir, bekerja di atas kapal pelayaran mewah dan banyak lagi.
chasing reindeers

Dengan sebegitu banyak pengalaman dan kisah, tak sabar rasanya nak berkongsi dengan anak cucu saya di masa akan datang. Saya harap, kisah ini, akan memberi inspirasi kepada mereka untuk memiliki impian yang besar dan menjelajah dunia ini seperti saya. Kisah-kisah yang dapat mencetuskan imaginasi dan mencambahkan rasa ingin mengembara akan memberi kesan yang jauh lebih besar dari semua harta benda yang ada. Sebuah rumah, kereta, alatan elektronik mungkin dapat memberikan kegembiraan sementara, tapi bolehkan ia meninggalkan anda suatu warisan?

4.   Saya mengembara untuk mencabar stereotaip

bus

Pengembaraan saya ke Myanmar secara solo sebelum ini membimbangkan ayah saya. Pada tahun 2006, negara itu kurang dikenali dunia dan agak merbahaya. Dia risau saya akan dilanda masalah, diculik oleh Junta atau ditangkap.

Namun apabila saya pergi ke sana, ia betul-betul berlainan dari apa yang saya bayangkan. Ya, ada sebahagian tempat ditutup untuk pelancong kerana tidak selamat dan lain-lain, tetapi secara amnya orang Burma adalah antara yang paling lemah-lembut dan paling baik yang pernah saya kenal. Jadi, lebih banyak saya mengembara, lebih banyak yang saya tahu tentang keadaan sebenar. Media terkenal dengan peranannya sebagai penyebar stereotaip. Saya lebih suka untuk mengetahui sendiri jika Albania benar-benar berbahaya, jika Romania penuh dengan perompak gipsi atau Kemboja hanyalah terkenal dengan Angkor Wat. Selalunya saya akan menemui sesuatu yang bertentangan, dan yang bertentangan itu sentiasa mengujakan.

5.   Saya mengembara untuk mendapat pengajaran dan inspirasi

train

Berpeluang untuk mengagumi tarikan sejarah, melihat lanskap indah serta mengamati seni dan budaya hebat ialah alasan yang cukup bagus untuk mengembara, tetapi yang paling penting, berada di negara orang dapat membantu anda melihat dunia dari sudut yang berbeza. Berbanding dengan hanya memandang dari satu sudut sahaja, dunia akan mengubah tanggapan anda tentang sesuatu yang anda sentiasa fikir ‘betul’ atau ‘normal’. Budaya yang berbeza dapat menawarkan tanggapan yang berbeza tentang kecantikan, keamanan, kejayaan, ataupun kebahagiaan. Melakukan sesuatu dengan cara yang berlainan mungkin dapat mematangkan anda dan mengajar erti kehidupan, mempelajari sesuatu seperti melukis, menari, mencintai, menulis dan banyak lagi. Pertemuan dengan masyarakat dari seluruh dunia akan memberikan kegembiraan dan menghubungkan anda. Pengembaraan akan mengajar anda tentang kehidupan yang tidak dapat diberikan oleh mana-mana guru.

Pengembaraan telah memperkayakan jiwa saya dan memenuhi hidup saya dengan segala kemungkinan. Ia membolehkan saya untuk berkawan dengan orang yang biasanya saya tidak temui. Ia telah mencabar saya, memaksa saya, membuatkan saya melihat luar dari kotak.

Sejujurnya, saya mengembara kerana mahu melihat sejauh mana, seorang gadis biasa seperti saya, tanpa duit yang banyak dan bakat yang hebat, boleh pergi. Jawapan yang kemudiannya saya dapati ialah, sangat jauh. Seorang kawan pernah berkata, jika anda berani keluar dari kepompong anda, dunia akan membuka jalannya untuk anda.

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share