0

Traveloka MY

19 Aug 2019 - 7 min read

Dekati ‘hidden gem’ Vietnam melalui 6 tempat tarikan di Sapa

Sapa ternyata bukanlah tempat pertama yang difikirkan apabila bercakap tentang destinasi percutian di Vietnam. Malah mungkin ada di antara anda yang belum pernah mendengar tentangnya, betul tak?

Kredit: Unsplash / Giuliano Di Paolo

Terletak dalam provinsi Lao Cai di bahagian utara Vietnam dan berhampiran sempadan China, bandar pergunungan Sapa menyimpan banyak khazanah alam yang menarik. Ia masih dianggap sebagai hidden gem kerana kurang diketahui pelancong, dan persekitarannya masih terpelihara dengan baik. Mengembara di sini pasti memberikan pengalaman yang luar biasa!

Apa yang ada di Sapa?

Kredit: Unsplash / Apaha Spi

Sapa menyambut kedatangan anda dengan keindahan alam semula jadi seperti latar gunung-ganang, dan sawah padi berteres yang menghiasi kawasan tanah tinggi di sekitarnya. Bandar ini popular dalam kalangan pengembara backpacker dan pendaki yang ingin menakluk puncak tertinggi di IndoChina.

Kredit: Unsplash / Ives Ives

Di sebalik semua itu, keunikan kebudayaan Sapa turut menarik perhatian. Ini disebabkan kepelbagaian suku kaum tempatan yang menetap di sini, seperti etnik Red Dao, Tay, Giay, Phu La (Xa Pho), dan yang paling terkenal — Hmong. Penduduk di sini mencari rezeki melalui jualan hasil pertanian, fabrik, dan kraftangan.

Apa yang penting, ketahanan fizikal anda perlu berada dalam keadaan baik untuk menyelami rahsia yang ada di sini sepenuhnya. Lihat senarai tempat tarikan di Sapa yang mesti diterokai:

1. Gunung Fansipan

Kredit: Unsplash / Minh Bach

Berketinggian 3,143 meter, puncak tertinggi Indochina ini boleh ditakluk dalam masa 10 – 12 jam oleh para pendaki gunung yang handal. Di puncak Gunung Fansipan, anda akan diberi ganjaran landskap banjaran gunung Hoang Lien Son yang indah tidak terkata! Di sini juga anda dapat menikmati keajaiban flora dengan lebih daripada 1,600 spesis tumbuhan yang rare. Pada bulan Februari, keindahan bunga mekar ini boleh dilihat sepanjang laluan pendakian.

Cara lain untuk menikmati panorama dari puncak Gunung Fansipan adalah dengan menaiki kereta kabel dua hala dalam perjalanan selama 15 minit. Ataupun, lakukan sedikit pengembaraan dengan menaiki 600 anak tangga ke atas dalam masa kurang daripada sejam. Rancang untuk memulakan perjalanan pada awal pagi bagi mengelak kesesakan pelancong.

Tips pengembaraan: Anda juga boleh menikmati pendakian sambil berkhemah selama 2 hari 1 malam atau lebih dengan pemandu pelancong tempatan. Waktu terbaik untuk mendaki Gunung Fansipan adalah dari September hingga Mac.

2. Silver Waterfall

Suasana romantik air terjun ini pasti membuat anda jatuh cinta! Juga dikenali sebagai Thac Bac Waterfall, air terjun bertingkat ini mengalir dari puncak gunung Lo Sui Tong, melalui batu-batu kasar, dan dikelilingi kehijauan Taman Negara Hoang Lien. Terletak 30 minit dari bandar Sapa, air terjun ini boleh juga diamati dari tepi jalan raya semasa dalam perjalanan. Ada juga yang mengatakan ia menyerupai seekor naga putih dari jarak jauh!

Walaupun di sini anda tidak dibenarkan bermandi-manda, mengagumi pemandangannya sahaja sudah cukup memuaskan. Bagi mereka yang ingin melihat Silver Waterfall dengan lebih dekat, ikuti laluan yang disediakan sehingga anda tiba di sebuah jambatan melengkung, iaitu tempat terbaik untuk menikmati pemandangan air terjun setinggi melebihi 100 meter ini.

Tips pengembaraan:Harga kemasukan ke Silver Waterfall adalah 20,000 VND. Elakkan melawat semasa hari hujan atau kabus tebal kerana laluan perjalanan yang agak merbahaya.

3. Muong Hoa Valley

Salah satu pemandangan yang sinonim dengan Sapa ialah lembah Muong Hoa Valley, iaitu kawasan sawah padi terbesar di bandar ini. Ia juga merupakan kawasan penempatan etnik Hmong, Tay dan Red Dao. Dengan suasana kehijauan yang menyegarkan mata, keunikan rupa bumi di sini mencuri perhatian para pengkaji sedunia termasuklah dari Russia dan Perancis.

Daya tarikan lembah ini yang memukau bukan sahaja menenangkan, malah memberikan anda perspektif baru tentang alam semula jadi Vietnam. Terokai kawasan ini sambil trekking di sepanjang Sungai Muong Hoa atau menunggang motorsikal di sekeliling sawah padi. Anda juga boleh mendapatkan servis pemandu pelancong tempatan yang boleh berbahasa Inggeris untuk menguruskan lawatan anda.

Tips pengembaraan: Lembah Muong Hoa menawarkan panorama sawah padi menghijau yang menakjubkan semasa musim menuai, biasanya dari September hingga Oktober.

4. Cat Cat Village

Lihat keunikan budaya yang asli di Sapa dengan lawatan ke Cat Cat Village. Terletak di kaki lembah Muong Hoa, perkampungan tradisional ini wujud sejak abad ke-19 semasa ramai keluarga berketurunan Hmong dan Red Dao berpindah ke utara Vietnam. Menerusi laluan pejalan kaki yang disediakan, anda dapat mendalami kehidupan harian mereka yang sebenar.

Sambil menenun kain dan membuat kraftangan, penduduk di sini masih tidak kedekut dengan senyuman. Anda juga dapat menemui beberapa rumah terbuka yang digelar sebagai rumah pameran. Berfungsi sebagai muzium, rumah-rumah ini mempamerkan peninggalan budaya yang penting buat etnik-etnik tempatan di Cat Cat. Bayaran kemasukan berharga 25,000 VND, dan anda akan diberikan peta laluan untuk membantu anda menjelajah perkampungan ini.

Tips pengembaraan: Teruskan perjalanan untuk melihat Cat Cat Waterfall dan membeli-belah di pasar jualan tempatan. Luangkan masa sekurang-kurangnya 3 jam untuk meneroka Cat Cat Village sepenuhnya.

5. Tram Ton Pass

Suka memandu kereta sambil menikmati pemandangan? Jika ya, Tram Ton Pass tidak akan mengecewakan anda! Terletak 17 km dari bandar Sapa, ia dikenali sebagai Heaven’s Gate kerana pemandangan puncak di hujung jalannya yang sentiasa diselubungi awan. Jalan di lereng bukit sepanjang 50 km ini menawarkan pengalaman cuaca yang berlainan — ada sesetengah laluan yang panas disinari matahari, dan ada yang sejuk berkabus.

Laluan ini mempunyai struktur yang tidak rata dan agak merbahaya apabila berkabus atau dilalui angin lintang. Jadi, pilih untuk meneroka Tram Ton Pass dengan menyewa kenderaan pacuan empat roda atau bersama pemandu pelancong berpengalaman. Jangan lupa singgah di spot pemandangan atas bukit dan beberapa laluan trekking yang boleh diterokai dalam perjalanan!

Tips pengembaraan: Sekiranya anda gemarkan aktiviti lasak, cuba mountain biking di sekitar Tram Ton Pass. Anda juga mempunyai pilihan untuk menyewa motosikal dari bandar Sapa untuk bersiar-siar di sini.

6. Sapa Market

Kredit: Flickr / Philipp Manila

Etnik tempatan Sapa ternyata mempunyai kemahiran seni yang hebat, dan ia terbukti melalui beraneka produk tenunan dan kraftangan yang dihasilkan dengan penuh ketelitian. Semua ini boleh dilihat di Sapa Market, pasar dalam bangunan yang terletak di tengah-tengah bandar. Mempunyai dua tingkat, bahagian bawah menawarkan pilihan cenderahati dan hasil pertanian segar, manakala tingkat atas menawarkan fabrik, aksesori, dan kraftangan tempatan yang unik.

Anda boleh membeli pakaian tradisional etnik Hmong yang berwarna-warni, barangan kulit buatan tangan, sarung kusyen tenun, dan pelbagai jenis hiasan. Hasil beg tangan dan kasut berwarna-warni di sini juga akan membuat anda rambang mata! Selain itu, terdapat sayur-sayuran dan buah-buahan segar untuk dibeli sebagai bekalan anda di Sapa.

Tips pengembaraan: Dibuka setiap hari dari 6 pagi hingga 6 petang, pasar ini paling sibuk pada hari Sabtu apabila ramai etnik tempatan berkumpul untuk berjual-beli. Cuba untuk menawar harga bersama penjual dengan berhemah.

Persediaan perjalanan ke Sapa

Untuk mereka yang pertama kali ke sini, berikut adalah maklumat yang perlu diketahui sebelum memulakan pengembaraan di Sapa:

Pengangkutan: Cara termudah untuk mengakses bandar Sapa adalah dari Hanoi dengan menaiki sleeper bus (6 jam). Pilihan lain termasuk menaiki kereta api dari Hanoi ke Lao Cai (8 – 9 jam) dan kemudian menaiki bas dari Stesen Lao Cai untuk ke bandar Sapa (1 jam). Di bandar, tempah servis pemandu pelancong atau sewa motosikal dengan anggaran harga 100,000 VND sehari.

Makanan halal: Sapa sememangnya bukan tempat pengembaraan kulinari halal. Pelancong Muslim dinasihatkan untuk membawa makanan segera, seperti pek makanan pengembaraan (adventure food) yang mempunyai pad pemanas sendiri tanpa perlu menggunakan api.

Suhu: Suhu di kawasan tanah tinggi ini tidak menentu, tetapi anda perlu menjangkakan cuaca sejuk lebih-lebih lagi pada awal pagi dan malam yang selalunya berkabus. Bawa pakaian yang sesuai seperti jaket tebal, baju hujan, dan kasut bertutup.

Waktu terbaik untuk melawat: September hingga November untuk menikmati pemandangan dan aktiviti outdoor, dengan hari yang lebih panas dan malam yang sejuk dan selesa. Elakkan melawat semasa musim hujan dari Jun hingga Ogos.

_________________________________________________________________________

Dah teruja untuk meneroka hidden gem di Vietnam ini? Biar kami tambah perisa! Lihat pilihan penginapan di pusat bandar Sapa yang menarik di Traveloka.

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka