Inspirasi,  Tip Jalan-Jalan

6 ketakutan untuk mengembara & cara mengatasinya

Sering kita mendengar orang yang tidak pernah keluar mengembara menyatakan ketakutkan mereka sebagai penghalang. Begitu juga orang yang terlalu banyak berfikir, sehingga langsung tidak berani mencuba sekali pun untuk mengembara apatah lagi ke luar negara.

Adakah yang mereka takutkan itu benar-benar wujud? Jika ya, bagaimana pula golongan pengembara tegar, adakah mereka tidak berdepan dengan ketakutan yang sering disebutkan?

Mari kita lihat, apakah 6 ketakutan biasa dan yang paling sering disebut orang dan bagaimana para pengembara tegar mengatasinya.

1.  TAKUT tidak boleh berbahasa asing/Inggeris

Bagaimana mahu ke Jepun sekiranya rakyatnya tidak tahu berbahasa Inggeris, dan kita pula tidak tahu berbahasa Jepun?

Mudah sahaja. Tuhan menciptakan suatu bahasa yang mudah difahami oleh apa jenis bangsa pun di dunia iaitu bahasa isyarat tubuh. Selain daripada itu, kita boleh gunakan gambar untuk bertanyakan sesuatu. Dan, pada zaman internet ini, gunakan sahaja Google Translate!

Sumber: Shutterstock.com

Tapi, bagi mendapatkan layanan lebih mesra daripada penduduk tempatan, kita boleh ambil tahu perkataan asas dalam bahasa mereka terutamanya ‘maaf, encik (excuse me)’ dan ‘terima kasih.’

Bahasa Inggeris membantu serba sedikit. Tetapi bukan dalam semua keadaan. Di Jepun, Korea Selatan, Turki, Perancis, dan banyak lagi negara lain walaupun rakyatnya ‘orang putih’, mereka tidak mahir pun berbahasa Inggeris. Malah negara seperti Perancis yang ada sejarah peperangan dengan bangsa Inggeris, amat tidak suka apabila kita menegur mereka dalam bahasa ‘musuh’ itu. Jika ada pun, hanya di sekitar kawasan tumpuan pelancong. Saya sendiri diketawakan kerana cuba bertanya dalam Bahasa Inggeris semasa di Paris. Jadi, tidak mengapa kita tidak mahir. Belasah cakap Melayu sahaja pun boleh… malah lebih dilayan!

2.  TAKUT susah dapat makanan Halal

Ini yang paling ditakuti oleh umat Islam. Selain takut tidak jumpa makanan yang halal dimakan, ada juga ketakutan ‘tekak tidak boleh terima makanan asing.’

Sumber: Shutterstock.com

Pertama sekali, kita mesti ada ilmu tentang hukum halal – haram dalam menentukan makanan. Di Malaysia khususnya, ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengeluarkan sijil Halal bagi makanan berstatus halal. Boleh rujuk senarai penuh untuk negara-negara lain di sini: http://www.halal.gov.my/v4/index.php/my/badan-islam/badan-luar-negara-diiktiraf

Walau bagaimanapun, ada juga makanan yang halal dimakan walaupun tiada sijil halal. Contohnya, makanan laut dan makanan vegetarian. Di kebanyakan negara, mereka sangat menghormati pengamal vegetarian. Jadi, minyak masak yang digunakan pun bukanlah minyak haiwan. Amat jarang yang menggunakan minyak masak daripada haiwan, walaupun di Korea Selatan yang begitu gemar memakan daging khinzir. Mereka menggunakan minyak masak daripada kekacang. Hanya untuk masakan seperti sup, baiklah dielakkan kerana ada yang menggunakan tulang khinzir ataupun daging untuk mereneh walaupun itu sup ikan.

Apapun, sekiranya rasa waswas itu tinggi, jangan makan. Mudah sahaja.

Bagi yang ‘tekak tidak boleh terima makanan asing’ ataupun yang ‘perut hanya mahu nasi’ pula, bawa sahaja bekalan makanan segera dari rumah. Makanan kering dan tahan lama seperti serunding dan sambal ikan bilis sangat membantu. Juga, bawalah nasi segera ataupun ketupat segera. Nah, selesai masalah.

3.  TAKUT tidak tahan cuaca sejuk

Ini yang paling mudah. Pergilah mengembara sewaktu musim panas.

Bagaimana mahu tahu musim apa pada bulan berapa? Google sahaja. Contohnya, ‘New Zealand season month.’ Pasti akan tertera jawapannya.

Ataupun, pergilah ke negara yang tiada empat musim, seperti Singapura, Brunei, Indonesia, dan negara-negara dalam Asia Tenggara yang lain. Ingat, mengembara bukanlah mesti ke Eropah sahaja. Dari Kuala Lumpur ke Langkawi pun masih dikira mengembara.

Sumber: Shutterstock.com

Kalau masih teringin juga nak merasa cuaca sejuk, cuba melancong pada musim bunga dan musim luruh. Cuacanya masih boleh tahan!

4.  TAKUT sesat jalan atau tidak pandai baca peta

Jangan masuk ke hutan belantara. Pergilah ke tempat yang ramai manusia. ^_^

Ya, ada orang memang tidak pandai baca peta terutama perempuan. Tiada masalah. Di kebanyakan negara, papan tanda ada bertulis huruf Rumi (kalaupun tidak Bahasa Inggeris). Terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Sumber: Shutterstock.com

Bagi anda yang pertama kali mahu cuba mengembara ke luar negara, berlatihlah ke negara yang mudah-mudah dahulu seperti Indonesia dan Singapura. Kemudian, naik tarafkan perjalanan ke bandar-bandar tumpuan pelancong yang moden seperti Seoul, Tokyo, ataupun Hong Kong. Selepas membiasakan diri berjalan di tempat asing dan sudah lebih yakin, barulah alihkan kompas ke destinasi luar bandar yang tidak jadi tumpuan pelancong.

5.  TAKUT ditipu oleh scammer

Pelancong dengan scammer, ibarat gula dengan semut. Di mana ada pelancong, di situ ada scammer. Jadi, mental dan jiwa kita mesti sentiasa bersedia dari awal.

Apa yang boleh kita lakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa scammer ialah baca sebanyak-banyak perkongsian pengalaman daripada pengembara lain. Kebanyakan modus operandi scammer adalah sama di dalam sesebuah negara. Contohnya, penipuan teksi di kawasan pelancongan di Istanbul, penipuan beca di Manila, penipuan tiket kereta api di Delhi, penipuan pakej pelancongan di Lombok, dan macam-macam lagi. Belajar daripada pengalaman pengembara lain dan ambil iktibar, kerana scam boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Sumber: Shutterstock.com

Satu tip yang saya boleh kongsikan ialah, hati-hati dengan orang yang tiba-tiba datang mendekati kita dan menawarkan bantuan ataupun harga murah. Biasanya orang itu adalah scammer.

Namun, sekiranya dirompak serta diugut dengan senjata tajam, sebaiknya jangan melawan dan serahkan sahaja wang yang ada. Wang boleh dicari ganti, namun nyawa tiada gantinya.

Salah satu langkah keselamatan yang boleh kita ambil lebih awal ialah menyimpan nombor telefon kedutaan / konsulat negara kita dalam bentuk bercetak (bukan sekadar dalam telefon bimbit). Mudah untuk kita laporkan sekiranya kejadian yang berlaku adalah serius. Dan lebih bagus lagi, kita beli insurans kembara.

Dengan mental dan jiwa yang siap sedia, jika terkena juga, kita tidaklah begitu panik dan mampu berfikir untuk mengambil tindakan seterusnya.

6.  TAKUT bencana alam dan peperangan

Di sebalik pesona sakura, Jepun ada gempa bumi dan tsunami. Di sebalik kemajuan pesat pelbagai industri di Korea Selatan, hubungan mereka dengan Korea Utara sentiasa tegang.

Kalau hendak difikirkan semua ini, memang kita tidak akan mampu ke mana-mana. Tetapi, tanyakan semula diri sendiri. Adakah tempat yang benar-benar selamat dalam dunia ini?

Manusia dengan risiko, ibarat laut dengan air. Tanpa air, laut tidak boleh jadi laut. Walaupun kita cuma keluar rumah untuk ke tempat kerja ataupun ke kedai membeli keropok, risikonya tetap ada dan saiznya pelbagai skala.

“Tanpa risiko, manusia tidak akan jadi manusia.”

Ketakutan hanya mainan psikologi. Semakin kerap kita sebut kita ‘takut’, semakin takut kita akan jadi. Katakan ini kepada diri anda,

“Berhenti menakutkan diri sendiri!”

Pilih untuk menjadi manusia dengan semangat dan jiwa yang kuat. Tidak perlulah terlalu berani. Cukup sekadar berani mencabar diri sendiri untuk keluar dari zon selesa lagi empuk yang memanjakan kita setiap hari.

Tuhan menciptakan bumi dan isinya yang unik dan pelbagai untuk kita nikmati dan syukuri. Kesan-kesan sejarah manusia terdahulu, dikekalkan supaya dapat kita lihat dengan mata di kepala dan memahami pengajarannya melalui mata hati. Jadi, selagi diberi usia dan kudrat upaya, keluarlah mengembara dan cipta sejarah diri sendiri.

 

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share