Berita

TERKINI: Cukai Pelancongan Malaysia: Apakah kesannya kepada anda?

Pada Jun lalu, kerajaan Malaysia telah mengumumkan perlaksanaan Cukai Pelancongan yang akan dikenakan kepada pelancong yang menginap di hotel.

Menurut kerajaan, cukai tersebut bertujuan untuk menjana dana untuk menyokong pembangunan industri pelancongan Malaysia.

Cukai ini pada mulanya dirancang untuk dilaksanakan mulai 1 Julai dan seterusnya, tetapi telah ditangguhkan ke tarikh lain, memandangkan Jabatan Kastam memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan mekanisma pengumpulan cukai.

Sehingga itu, mereka yang merancang untuk mengembara ke Malaysia dalam masa terdekat pasti tertanya-tanya tentang cukai terbaru ini, jadi kami telah menyusun senarai jawapan paling terkini untuk apa-apa soalan yang anda mungkin ada.

TERBARU:  Pada 26 Julai, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz mengumumkan bahawa rakyat Malaysia dikecualikan sepenuhnya daripada membayar Cukai Pelancongan, yang dijangka akan dilaksanakan mulai 1 Ogos dan seterusnya.

Beliau menambah bahawa pelancong asing masih perlu membayar cukai, walaupun kadarnya telah diselaraskan kepada kadar rata RM10 untuk satu malam dan satu bilik untuk semua jenis hotel dan penginapan.

“Kami akan mengenakan tarif rata RM10 dari hotel bintang lima hingga hotel tanpa bintang untuk pelancong asing, dan rakyat Malaysia akan dikecualikan daripada cukai merangkumi semua klasifikasi hotel,” katanya.

Bilakah cukai akan dilaksanakan?

Berdasarkan laporan media tempatan, cukai tersebut dijadualkan untuk dilaksanakan mulai 1 Ogos 2017. Tarikh sah masih belum diumumkan.

Siapa yang perlu membayar cukai?

Hanya pelancong asing yang perlu membayar cukai.

Mereka yang telah menempah penginapan mereka melalui ejen pelancongan sehingga Mac 2018 juga akan dikecualikan.

Berapakah kadar cukai yang dikenakan?

Pelancong asing perlu membayar kadar rata sebanyak RM10 untuk satu malam, setiap bilik untuk semua jenis penginapan.

Cukai ini dibayar kepada hotel, yang akan dikutip oleh Jabatan Kastam, sebagai tambahan kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sebarang caj perkhidmatan lain.

Adakah jenis penginapan lain termasuk di bawah sistem cukai ini?

Cukai tidak akan dikenakan untuk rumah tumpangan, penginapan di kampung, premis yang dikendalikan oleh institusi keagamaan untuk tujuan bukan komersial, premis yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan untuk tujuan bukan komersial, dan premis dengan kurang daripada 10 bilik.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata bahawa pengendali Airbnb juga tertakluk kepada cukai tersebut.

Bagaimana pula dengan negeri-negeri yang sudah mempunyai caj pelancongan?

Sesetengah kerajaan negeri mengenakan cukai tempatan, seperti Cukai Warisan Melaka, Fi Kerajaan Tempatan Pulau Pinang dan Fi Promosi Pelancongan Langkawi.

Walau bagaimanapun, kerajaan tempatan telah diminta untuk menghentikan pengumpulan caj berasaskan penginapan sebaik sahaja Cukai Pelancongan berkuatkuasa.

 

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share