Berita: KTMB tawar tempat duduk Kelas Perniagaan dalam ETS2

Berita: KTMB tawar tempat duduk Kelas Perniagaan dalam ETS2

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

 

Berita baik buat pengembara sekalian! Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini telah memperkenalkan perkhidmatan gerabak Kelas Perniagaan bagi Kereta Api Elektrik ETS2 untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa. Bakal mula beroperasi pada 11 Oktober, gerabak eksklusif ini telah menerima sambutan hangat daripada orang ramai, dengan tempahan tiket yang telah mula dijual dari 12 September lalu. 

Kredit: Facebook / KTM Berhad

Antara tambahan kemudahan yang ditawarkan dalam gerabak ini termasuklah tempat duduk yang lebih luas dan boleh dibaringkan sehingga 45 darjah, perkhidmatan pramugara dan pramugari KTMB, kit perjalanan, kemudahan hiburan Video-On-Demand, zon WiFi percuma dan port USB di tempat duduk. Tampil dengan gaya yang lebih mewah, kini barulah anda boleh mengembara macam bos! 

Kredit: Youtube / KTMB Rail Channel

Menariknya, harga promosi yang ditawarkan bagi perjalanan dari 11 sehingga 31 Oktober 2019 hanyalah RM50 bagi tiket sehala dari KL Sentral – Ipoh, dan RM112 dari KL Sentral — Padang Besar! Warga emas, pesara kerajaan dan isteri, OKU, dan kanak-kanak (4 hingga 12 tahun) layak menerima 50% diskaun konsesi, dan perjalanan percuma diberikan bagi kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun (tanpa tempat duduk). Harga tiket juga termasuk makanan yang akan disediakan dalam gerabak eksklusif tersebut. 

Setakat ini, hanya satu gerabak Kelas Perniagaan dengan 36 tempat duduk yang tersedia daripada enam gerabak ETS2. KTMB akan memperkenalkan lebih tambahan buat gerabak eksklusif ini secara berjadual sehingga tahun depan. Sekarang, bolehlah anda balik kampung ataupun pergi bercuti dengan lebih selesa tanpa menempuhi kesesakan trafik di lebuh raya!

Saksikan video penuh di bawah:

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share