Perjalanan MRT Blue Line di Bangkok ditawarkan PERCUMA sehingga 28 Sep ini

Perjalanan MRT Blue Line di Bangkok ditawarkan PERCUMA sehingga 28 Sep ini

Siapa saja yang mampu menolak tawaran PERCUMA? (Semestinya bukan kami!) 

Kredit: Facebook / MRT Bangkok Metro

Buat mereka yang bakal ke Bangkok dari sekarang sehingga 28 September 2019, anda boleh menikmati perjalanan percuma menaiki MRT Blue Line di stesen-stesen yang baru dilancarkan! Laluan tambahan yang dikendalikan oleh Bangkok Expressway dan Metro PLC di bawah konsesi Mass Transit Authority of Thailand ini memudahkan anda untuk mengembara di sekitar bandar. 

Kredit: Facebook / Bangkok Metro 

Bersih, cantik, dan masih dalam keadaan tip-top, stesen-stesen yang baru dibuka ini termasuklah stesen Wat Mangkon, Sam Yot, Sanam Chai, Itsaraphap, Tha Phra, Bang Phai, dan Bang Wa. Sepanjang tempoh percubaan, penumpang dapat menikmati perjalanan percuma di mana-mana laluan baru ini dan hanya mula dikenakan bayaran (sekitar THB 16 – THB 42) bermula 29 September 2019. Tetapi, jika anda menaiki kereta api dari atau ke stesen Hua Lamphong, bayaran THB 16 bagi setiap perjalanan akan dikenakan. 

Kredit: Wikimedia / Sirakorn Lamyai

Empat daripada stesen-stesen tersebut menampilkan karya dan seni bina yang meraikan kepelbagaian budaya serta warisan Thailand yang unik. Stesen Sanam Chai yang berdekatan Grand Palace dikatakan paling cantik antara kesemuanya, dan ia diinspirasikan oleh bilik diraja dari zaman Rattanakosin. Tersembunyi di sebalik bangunan dengan seni bina bergaya Sino-Portuguese, stesen Wat Mangkon yang berhampiran Chinatown pula menyerlah dengan gabungan elemen warisan Cina seperti motif naga, serta sentuhan warna merah dan emas. 

Kredit: BK Magazine

Tambahan laluan MRT Blue Line baru saja dilancarkan pada 12 Ogos yang lalu dan pembinaan lengkap bagi projek ini dijangka siap pada tahun 2020. Setakat ini, laluan MRT Blue Line dihubungkan dengan kereta api BTS Skytrain melalui pertukaran di stesen Asok. Dengan kekerapan setiap 5 minit semasa waktu puncak (6 pagi – 9 pagi dan 4.30 petang – 7.30 petang) dan kurang dari 10 minit pada waktu bukan puncak, MRT Blue Line adalah sistem transit kedua popular di Bangkok yang membawa hampir 350,000 orang penumpang setiap hari. 

Kredit: Unsplash / Jakob Owens 

Walaupun anda perlu membayar perkhidmatanuntuk menaiki kereta api ini selepas tempoh promosi tamat, ia masih berbaloi kerana laluan-laluan baru ini memudahkan perjalanan anda ke tempat-tempat tarikan popular di Bangkok seperti Kuil Wat Pho, Grand Palace, dan Chinatown yang sebelum ini sukar diakses. 

_________________________________________________________________________

Dah sedia untuk ke Bangkok? Belum terlambat untuk anda menikmati tawaran Sale-abration kami!

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share