0

Traveloka MY

07 May 2019 - 7 min read

M Boutique Hotel: Penginapan di Ipoh buat mereka yang berjiwa hipster

Diterjemahkan oleh: Farah Hanan Azahar

Meluangkan hujung minggu untuk bersantai di Ipoh atau ibu negeri Perak ini memang sentiasa menyeronokkan. Pertama, kerana perjalanan dua jam ke utara dari Kuala Lumpur yang ditemani pemandangan indah gua batu kapur dan Banjaran Titiwangsa dari jauh.

Kedua, sama seperti Pulau Pinang, beberapa bahagian lama Ipoh telah diberi nafas baru dengan kemunculan banyak kafe hipster dan hotel-hotel baru sejak beberapa tahun yang lepas. Bandar ini maju dengan pelombongan bijih timah pada awal abad ke-20, dan daya tarikan Ipoh terletak pada seni bina kolonial yang masih boleh dilihat pada bangunan seperti Stesen Keretapi Ipoh dan St. Michael’s Institution. Disebabkan ramai pengusaha bijih timah yang kaya di sini memiliki kereta, Ipoh juga merupakan bandar pertama di Malaysia yang menerapkan sistem grid untuk jalan raya mereka.

Luangkan tengah hari anda di kawasan warisan yang dikenali penduduk tempatan sebagai Old Town, dan anda akan rasa seperti dibawa kembali ke zaman kegemilangan Ipoh — di mana tauke-tauke Cina berkumpul untuk membincangkan urusan perniagaan mereka di kedai kopi Kong Heng, sementara penjaja jalanan sibuk ulang-alik menyediakan kopi dan teh yang dipesan para pelanggan.

Ipoh juga terkenal dengan pilihan hotel-hotel yang unik dan menarik. Ini termasuklah M Boutique Hotel dengan suasananya yang rustik dan eksentrik. Terletak dalam perjalanan 10 minit menaiki kereta dari Old Town, M Boutique Hotel ialah penginapan paling sesuai untuk mereka yang mengutamakan keselesaan dan gaya.

Tiba di lobi, kami terpegun melihat keterperincian hotel ini yang mengagumkan. Tingkap yang luas dari lantai mencecah siling membenarkan cahaya matahari menyinari kawasannya yang malap, berlantai kayu gelap, dengan sofa panjang berwarna biru di ruang menunggu — menampakkan perbezaan ketara antara konsep vintaj dan kontemporari. Meja di kaunter resepsi dimodelkan daripada bar-bar Eropah dengan laci yang mengisi ruang dinding di belakang. Rasa macam kami tersalah masuk set filem Wes Anderson pun ada!

Kami tertawa kecil selepas disapa mesra oleh pelayan tetamu yang memakai tanda nama “Star Lord”. Idea yang menarik untuk membuka bicara dengan orang baru!

Hotel butik tiga tingkat ini menempatkan 93 buah bilik dan setiap tingkat mempunyai hiasan dalaman dengan tema dan suasana yang tersendiri. Tingkat pertama bertema “The Adventure”, dan rekaannya diinspirasikan daripada ekspedisi safari. Tingkat kedua pula bertema “The Majestic”, di mana rekaannya berlatarkan konsep industrial yang rustik dari abad ke-20. Tingkat ketiga diberi tema “The Excelsior”, dengan rekaan paling berwarna-warni dan moden berbanding kesemua tingkat.

Untuk penginapan kami, kami diberi bilik Superior dengan katil berkanopi saiz queen di tingkat pertama. Mengikuti tema safari, bilik kami dihiasi sebuah poster besar bergambar gajah yang digantung pada dinding batu bata merah, sarung kusyen bercorak zebra dan patung hiasan kuda yang diletakkan di atas meja solek. Cahaya lampu yang lembut memberikan bilik ini suasana yang lebih mewah.

Bilik ini dilengkapi dua pasang jubah mandi, sebuah TV flat screen, air botol dan snek. Akses WiFi juga tersedia dengan rangkaian yang baik dalam premis hotel ini. Di dalam bilik terdapat banyak tempat soket, jadi anda tidak perlu berebut dengan pasangan anda untuk mengecas telefon!

.

Lantai hitam putih dan jubin siling membuatkan bilik air ini nampak lapang dan terang. Selepas seharian berpanas di luar, mandi air sejuk dalam bilik air yang kemas ini memang menyegarkan!

Banyak kemudahan hotel ini terletak di tingkat pertama. Di sini terdapat bilik rehat, gimnasium, bilik mesyuarat dan ruang dobi yang dibuka 24 jam sekiranya anda ingin mencuci baju pada tengah malam. Bilik rehat ini dihias dengan cantik dan sesuai untuk anda bersantai, melepak bersama kawan-kawan, membaca atau menikmati secawan kopi ketika bersendirian.

Bilik ini disertakan dengan sarapan percuma. Anda boleh memilih di antara hidangan tempatan seperti nasi lemak atau Ipoh white coffee di Old Town White Coffee Grand (dipisahkan daripada lobi hotel dengan panel tingkap kaca), dan sarapan ala Eropah di Myth Eatery and Bar pada aras bawah untuk menikmati roti, hirisan daging masak sejuk dan sandwic. Apa pun pilihan anda, pastikan anda bersarapan tanpa terburu-buru untuk menghayati suasananya yang cantik.

Suka kelengkapan mandi dengan pati serai yang disediakan dalam bilik air secara percuma? Jangan bawa pulang sekadar botolnya yang kecil, kerana anda boleh membeli botol bersaiz besar di lobi! Sekiranya anda ingin membawa pulang memori dari hotel ini, mereka turut menjual baju-T, tuala dan perhiasan rumah.

Penilaian kami: Keterperincian rekaan dalaman hotel ini, keselesaan dan kemudahan di bilik, serta petugas mereka yang mesra, membuatkan penginapan santai hujung minggu kami sangat menenangkan. Kami rasa, anda dah cukup gembira hanya berehat dan lepak di sini tanpa perlu keluar dari premis hotel.

Tarikan dan Aktiviti

Tapi, tak seronoklah kalau hanya duduk dalam bangunan je, sedangkan anda boleh meneroka seni jalanan, makan-makan di kopitiam dan membeli cenderahati di Old Town! Kami dah kumpulkan beberapa tempat yang anda mesti kunjungi sambil menjejak kopi di Ipoh.

Mengopi di Chang Jiang White Coffee

Perjalanan ke Ipoh tidak lengkap tanpa menikmati secawan white coffee yang dibru segar. Walaupun banyak kopitiam terkenal di Old Town, kami pilih yang jauh sikit dari kawasan warisannya. Jika anda boleh melawat hanya satu kopitiam di Ipoh, pergilah ke Chiang Jiang di Jalan Windsor, iaitu sebuah kedai kopi yang terletak dalam banglo dari zaman selepas penjajahan yang telah diubahsuai. Kedai ini bukan sahaja menghidangkan white coffee yang sedap, malah ia juga menyediakan menu mesra Muslim (pork-free) termasuk roti bakar kaya, mi wantan dan bubur nasi.

White coffee sememangnya berpengaruh besar di Ipoh. Menurut Lonely Planet, bandar ini merupakan yang ketiga teratas menyaingi Chiang Mai dan Tokyo. Nama white coffee ini berasal daripada proses memanggang biji kopi dalam marjerin, yang memberikan rasa kopi bermentega dan aromatik.

Chang Jiang White Coffee

Alamat: No. 7, Jalan Windsor, Ipoh

Waktu operasi: 8.00 pagi – 6.00 petang (setiap hari)

Beli buku dalam bekas bilik kebal bank

Book Xcess Kong Heng ini baru dibuka di Kong Heng Square yang trendy dalam kawasan Old Town. Dahulunya merupakan tapak bagi United Asian Bank, ia telah ditukar menjadi kedai buku berkeluasan 3,000 meter persegi. Di sini terdapat lebih daripada 15,000 buah buku yang meliputi pelbagai genre termasuklah novel, sci-fi, seram, sastera, novel remaja, perniagaan dan resipi. Paling menarik, banyak bilik kebal serta peti simpanan masih dikekalkan dan dijadikan rak buku. Perasaan yang berbeza semasa membelek buku-buku dalam bilik kebal ini! Anda juga boleh melawat Yasmin Ahmad Newseum di aras bawah tanah untuk menonton beberapa iklan terbaik yang dihasilkan oleh pembuat filem terkemuka, arwah Yasmin Ahmad, serta membaca beberapa salinan skrip filem asal yang ditulis oleh beliau.

BookXcess Kong Heng

Alamat: No. 91, Jalan Sultan Yussuf, Ipoh

Waktu operasi: 8.00 pagi – 10.00 malam (setiap hari)

Pergi melalui terowong masa

Untuk suka-suka bernostalgia, kunjungi Time Tunnel Ipoh yang terletak berhampiran Kong Heng Square. Mempamerkan pelbagai barangan klasik, tempat ini akan membuat anda teringat kembali suasana rumah nenek moyang anda pada zaman dahulu! Ia juga sesuai dikunjungi bersama anak-anak anda untuk menunjukkan mereka perubahan jelas yang boleh dilihat dalam tempoh dua generasi.

Time Tunnel Ipoh Old Town

Alamat: Jalan Panglima, Ipoh

Waktu operasi: 9.00 pagi – 4.30 petang (setiap hari)

_________________

Dengan pelbagai pilihan penginapan di seluruh negara, pasti anda sukar untuk memilih. Jika anda tidak mahu ketinggalan tawaran penginapan terbaik di Malaysia, pastikan anda melihat artikel ‘Penginapan Hebat’ Traveloka setiap minggu!

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka