Article

Berseronok di kafe berinspirasikan Harry Potter di Pulau Pinang

Potterhead, angkat tongkat sakti anda! Kafe yang diinspirasikan daripada filem Harry Potter telah muncul di George Town, Pulau Pinang.

Nampak tak kami seronok gila? Kredit: GIPHY

Dinamakan sebagai Potterhead Malaysia, kami tahu kafe seperti ini bukanlah yang pertama di Malaysia tapi bagi saya, ia lebih mudah diakses lebih-lebih lagi yang suka ke Pulau Pinang untuk jalan-jalan cari makan atau staycation.

Terletak di antara bangunan warisan di Lebuh Keng Kwee, luaran kedai yang tidak terlalu menyerlah ini membuatkan kafe ini tidak mudah dilihat oleh Muggle. Lebih-lebih lagi kalau ada perjumpaan kumpulan peminat Potterhead Malaysia yang sering mengadakan acara dan aktiviti untuk ahli-ahli sihir di Pulau Pinang.

      

Kafe yang dimiliki oleh dua orang adik-beradik perempuan ini dibina untuk mengumpulkan peminat-peminat Harry Potter dan berkongsi apa sahaja tentang watak ikonik ini.

Apabila anda menjejakkan kaki ke dalam kafe, anda akan dibawa ke dalam dunia Wizarding World yang mengibas kembali suasana seolah-olah di Hogwarts. Lihat surat-surat dari Hogwarts, Mirror of Erised dan banyak lagi. Nak lebih seronok, runut bunyi dari filem ini juga dipasang setiap masa.

Kalau teringin nak rasa seperti pelajar Hogwarts, anda juga boleh cuba memakai jubah dan selendang dari rumah Slytherin, Gyffindor, Hufflepuff dan Ravenclaw. Ada juga prop untuk melengkapkan pakaian anda seperti penyapu dan topi.

Dah penat bergambar dan mencuba baju, anda boleh memesan segelas Butterbeer yang sejuk, penuh berkrim dan manis. Jangan risau, minuman ini tiada alkohol. Kafe ini juga menyediakan minuman lain yang dinamakan sempena nama ramuan seperti Polyjuice Potion dan Felix Felicis.

Kalau nak kudap-kudap, kafe ini menyediakan hidangan manis seperti Whomping Waffle, yang disediakan bersama ais krim berperisa Butterbeer dan sama ada dicampur dengan kekacang atau popcorn. Anda juga boleh mencuba hidangan yang disediakan panas-panas seperti potato wedges, kentang, nugget ayam dan nugget ikan yang didatangkan dengan sos pencicahnya.

Cabar kawan anda (atau musuh) untuk bermain permainan yang bertemakan Harry Potter seperti Scrabble atau Clue. Anda juga boleh melihat koleksi barang kemas dan barangan HP yang berkilauan. Malah Niffler pun tak dapat menahan godaan ini!

Anda pasti akan rasa seronok dikelilingi watak kesayangan anda, Harry Potter, sampaikan anda tak sedar masa berlalu terlalu pantas!

Memandangkan Portkey tidak disediakan untuk membawa anda ke sana, anda hanya perlu ‘accio’ telefon bimbit anda dan tempah perjalanan ke Pulau Pinang dengan Traveloka untuk pengembaraan yang penuh magis di Potterhead Malaysia!

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

A storyteller with an insatiable sense of curiosity. Travel junkie. Card-carrying member of many fandoms. Heavily dependent on caffeine. Loyal cat servant. Former journalist at the New Straits Times and Hybrid News.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

49 Shares
Share49
Tweet
+1
Pin
Share