Article

6 restoran mesra Muslim di Taipei

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

 

Taipei, negara yang penuh dengan budaya dan kepelbagaian. Jika anda bercadang untuk ke sana nanti, pastinya mencari tempat makanan yang halal adalah topik penting.

Taiwan hanya mempunyai 0.3% populasi Muslim, iaitu bersamaan lebih kurang 60,000 orang. Bagi pengembara Muslim yang melancong ke negara di mana majoriti rakyatnya bukan Islam, mungkin anda ragu-ragu untuk menikmati makanan yang ada.

Bandar Taipei juga dikenali dunia dengan makanan tempatan yang menarik. Ini adalah 6 restoran yang sesuai untuk anda menjamu selera di sekitar Taipei:

1. Chang’s Beef Noodle Shop

Kredit: Chang’s Beef Noodle Shop Facebook
Kredit: Cattareeya Kayee (Facebook)

Antara makanan tempatan yang menjadi rebutan di sini ialah mi daging. Sambil jalan-jalan di bandar Taipei, anda pasti melihat ramai orang menikmati hidangan ini dengan penuh berselera.

Teringin nak mencubanya? Anda boleh ke restoran ini yang terletak di daerah Zhongzheng. Walaupun ia cukup terkenal dengan hidangan mi daging tempatan yang enak dan halal, di sini juga ada pilihan menu lain seperti pelbagai dimsum tempatan.

Pengiktirafan: Disahkan halal oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan

Alamat: No. 21, Yanping South Road, Zhongzheng District, Taipei

 

2.  Yong He Dou Jiang Da Wang (Soy Milk King)

Kredit: Robyn Lee (Flickr)

Untuk pengalaman sarapan tradisional di Taiwan, kami cadangkan kedai makan ini yang menawarkan hidangan berasaskan soya. Turut merupakan pilihan popular orang tempatan, kebiasaannya ia mula penuh sekitar jam 9 pagi, jadi anda disyorkan untuk datang lebih awal.

Di sini anda boleh menikmati susu soya asli dengan steam bun untuk menambah selera. Menu lain yang mesti dicuba ialah youtiao, iaitu sejenis kuih tempatan mereka yang mirip seperti cakoi.

Pengiktirafan: Mesra Muslim oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan

Alamat: No. 102, Section 2, Fuxing South Road, Da’an District, Taipei

 

3.  Silks Palace

Kredit: Silks Palace

Ada rancangan melawat National Palace Museum dalam itinerari anda di Taipei? Selepas melihat pelbagai koleksi artifak purba di muzium yang megah ini, singgah untuk makan tengah hari di Silks Palace yang terletak dalam kawasannya. Suasananya yang bergaya dan luas juga sesuai untuk pelancong berkumpulan.

Restoran bertaraf Michelin ini menawarkan pelbagai makanan tempatan Taiwan dan terkenal dengan cara persembahan makanannya yang bagus. Bagi pelancong beragama Islam, pastikan anda memesan daripada pilihan makanan mesra Muslim yang disediakan.

Pengiktirafan: Mesra Muslim oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan

Alamat: No. 221, Section 2, Zhishan Road, Shilin District, Taipei

 

4.  Really Good Seafood

Kredit: Wendy Tour Taiwan (Flickr)

Kalau anda sangat suka makanan laut, inilah peluang untuk makan besar di Taipei! Di sini, anda boleh memilih sendiri makanan laut yang ingin dimasak kerana ia menyediakan akuarium yang diisi ikan hidup dan juga pilihan makanan laut lain yang segar-segar. Ataupun, anda boleh bertanya kepada pelayan anda tentang hidangan yang disyorkan oleh chef.

Restoran ini terletak di daerah Da’an yang memang popular dengan tempat makan dan pasar malam. Berhiaskan kaligrafi Cina, ruang makan restoran ini juga memberikan suasana yang lebih eksklusif.

Pengiktirafan: Mesra Muslim oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan

Alamat: No. 222, Section 1, Fuxing South Road, Da’an District, Taipei

 

5.  Taj Indian Muslim Restaurant

Kredit: Taj Indian Restaurant Facebook

Tak boleh hidup tanpa nasi atau makanan pedas? Jangan risau! Di daerah Daan, anda boleh mengunjungi restoran India Muslim ini untuk menikmati nasi briyani serta hidangan lauk-pauk lazat seperti masala yang ditawarkan dalam menu yang halal.

Pengiktirafan: Disahkan halal oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan

Alamat: No. 1, Lane 48, Section 4, Shimin Boulevard, Da’an District, Taipei

 

6.  Ice Monster

Kredit: Ice Monster Facebook

Jika anda dahagakan sesuatu yang manis dan sejuk, Ice Monster mampu memenuhi keinginan anda. Kunjungi cawangan utamanya di Zhongxiao Road untuk pengalaman menjamu selera yang lebih selesa.

Menu paling popular di sini ialah ais kepal mangga yang dihidang dengan potongan mangga segar, aiskrim mangga dan sos mangga manis. Selain itu, anda juga boleh menikmati bermacam-macam perisa ais kepal lain dan juga pencuci mulut tempatan yang sangat memuaskan!

Pengiktirafan: Mesra Muslim oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan

Alamat: No. 297, Sec. 4, Zhongxiao East Road, Taipei, Taiwan

 

Selepas makan kenyang-kenyang, ada banyak lagi pengembaraan lain menanti anda. Sekiranya anda ingin meneroka bandar ini dengan lebih mudah, kami cadangkan anda untuk mendapatkan Taipei Unlimited Fun Pass yang meliputi pelbagai tempat tarikan dan pengangkutan awam. Selamat bercuti di Taipei!

________________________________________________________________________

Dah tak sabar nak merancang perjalanan anda? Tunggu dulu. Lihat tawaran percutian kami yang terbaru di sini untuk menikmati lebih penjimatan!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share